GAMBAR EDISI TERBARU

GAMBAR EDISI TERBARU
Kekal bersama...selamanya.

Sunday, November 6, 2011

SELAMAT HARI RAYA KORBAN

Oleh:
Jokiden 


Maha Besar Allah dan segala puji bagi Allah.

Rakan-rakan yang dikasihi,

Selamat menyambut Hari Raya Korban, saya dan keluarga mengambil kesempatan ini untuk memohon ampun dan maaf sekiranya terdapat kesalahan dan kesilapan saya dan keluarga sepanjang persahabatan kita samada yang saya sedari atau tidak sedari.

Bergemanya takbir Aidil Adha ini menginsafkan setiap insan betapa kerdilnya kita ini. Bersyukur kerana kita masih bernafas untuk meneruskan sisa-sisa hidup kita di bumi Allah ini semata-mata untuk menambahkan amal ibadat kepadaNya. Tidak dijadikan manusia dan jin kecuali untuk beribadat kepada Allah.
 

Korban Di Surau Saya 6/11/11

4 Ekor Lembu Tumbang


Dari dulu hingga sekarang saya ghairah menantikan ketibaan Hari Raya kerana salah satu sebabnya ialah saya sangat suka kepada gema takbir. Peluang untuk bertakbir hanya dua kali setahun. Pada Hari Raya Puasa waktunya amat terbatas, namun semasa Hari Raya Korban kita boleh bertakbir selama 4 hari.

Bertahun-tahun lamanya saya melalak seorang diri, bertakbir sepanjang malam. Kini dengan kecanggihan teknologi saya menghayati gema takbir di semua siaran TV, menerusi VCD, Kaset, Hp dan menerusi youtube di internet. Saya bertakbir dan mendengar takbir dimana saja yang saya suka termasuk di dalam kereta ketika memandu. Kelakuan ini telah sedia dimaklumi oleh keluarga dan tiada bantahan dari mereka. Dan ketika menulis inipun saya sedang menghayati takbir dari Radio Brunei Darul Salam. Syahdu!!!!

Semasa kecil di kampung ketika itu mengikuti orang dewasa bertakbir dari rumah ke rumah amat menyeronokan.. MCC tentu boleh mengimbau suasana silam itu dengan lebih enak. Meredah lorong kecil kerana tidak ada jalan besar menuju ke setiap rumah dan tidak ada habuan duit raya seperti hari ini. Selalunya aktiviti tersebut berakhir sekitar jam 2.30 pagi.

Kini di Taman saya juga menganjurkan majlis bertakbir dari rumah ke rumah ini, namun jumlah penyertaan dihadkan kepada 10 ketua keluarga bagi setiap kumpulan. jumlah kanak-kanak agak ramai dan tuan rumah kena sediakan duit raya..hahaha..Selalunya sekitar jam 12 malam ianya selesai dan kembali ke rumah saya sambung takbir saya sendiri hingga ke pagi..

Mengiringi gema takbir ada ketikanya ialah titisan air jernih di kedua kelopak mata. Ada orang amat sukar mengeluarkan airmata, keras hati, namun sesetengah orang pula hatinya mudah terusik dan mudah menuitiskan air mata, tambahan lagi apabila mendengar kelunakan suara takbir.

Pada malam raya ketika mendengar alunan takbir pertama selepas azan maghrib, saya teringatkan seorang kawan dan saya cuba membayangkan situasinya ketika itu. Saya pasrah dan amat pilu. Beberapa jam sebelum itu sekitar jam 2 ptg saya turut menghantar jenazah anak gadis sulungnya berusia 25 tahun, dikebumikan di Makam Tuan Hj Said.

Anaknya terlibat dalam kemalangan jalan raya dan meninggal di tempat kejadian. Berpisah selamanya dengan orang tersayang disaat menyambut kedatangan hari lebaran adalah perkara besar dalam hidup ini. Kita sering mendengarnya. Saya cuba bayangkan keadaan rakan saya tersebut kerana sebelum itu anaknya masih dihadapan mata, tiba-tiba lenyap dan tidak  akan kembali lagi. Tentu dia terpandangkan tempat tidur anaknya yang kosong, pakaian anak yang masih tergantung, tuala mandi anaknya, selipar anak di luar rumah, cawan yang sering dan amat suka digunakan oleh anaknya. Ini memilukan saya.

Saya minta maaf pada LAR, catatan ini tidak bermaksud untuk mengembalikan kenangan lama beliau kerana kita juga amat bersimpati dengan beliau. Cuma sekadar perkongsian perasaan kerana kita juga akhirnya suatu hari nanti akan berpisah juga dengan orang yang kita sayangi. Berpisah sementara pun sudah cukup membebankan perasaan, apa lagi berpisah selamanya.

Dugaan tersebut tentunya besar bagi kita insan kerdil ini, namun kita dituntut supaya memaksimumkan kesabaran kita dan pastilah ganjaran yang amat besar menanti kita di sisi Allah kelak.

Seperti selalu, saya berserta dengan komuniti Taman saya mengadakan penyembelihan lembu korban setiap tahun selepas solat sunat. Pada tahun ini 4 ekor lembu telah disumbangkan oleh penduduk Taman dan kami bergotong royong dari awal hingga akhirnya. Sekembalinya ke rumah sekitar jam 12.30 tengah hari saya mendapat berita bahawa suami mak lang saya telah meninggal dunia pada jam 11 pagi di Pasir Besar kerana sakit tua. Kami bergegas ke sana. Saya dapati keluarganya tetap sugul walaupun telah menjangkakan pada bila-bila masa sahaja ketua keluarga tersebut akan pergi selamanya lantaran sakit yang berpanjangan.

Saya membatu menguruskan jenazah sehingga selesai hampir waktu maghrib. Dikeheningan petang tersebut saya dan ahli keluarga yang hadir semasa pengkebumian itu merasa tersentuh dengan bacaan talkin Imam 1 Masjid Pasir Besar. Wan dan mak saya yang uzur meneruskan hari rayanya di sana sementara kami kembali ke Seremban.

Dalam perjalanan ke Pasir Besar, sewaktu melintasi rumah Dr Rashidi, saya sempat menoleh ke arah rumahnya di Ulu Bendul itu. Saya dapati banyak kenderaan, mungkin lebih 20 buah. Agaknya ramai keluarga beliau yang datang atau mungkin juga Dr kita tu mengadakan upacara korban di rumahnya. 

Pada petang raya, terlalu ramai pengguna jalan raya dan kenderaan sesak dimana-mana sahaja. Di lebuhraya kesesakan berlaku dari Bangi hingga ke Seremban hampir 50 km tu. Di bukit Putus jalan yang boleh dilalui hanya dalam tempoh 6 ke 8 minit pada petang tersebut menyaksikan jam yang teruk dan masa yang diambil untuk jarak singkat itu ialah 90 minit. Ada waktunya pengguna jalan raya terlalu mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan akibat tersebut boleh menyusahkan orang lain.

Kemalangan boleh terjadi dimana-mana dan pada bila-bila masa dan itu semua menjadi penyumbang kepada kesesakan jalanraya. Perbalahan kecil oleh dua orang pengguna pula adakalanya menyebabkan kesesakan  beberapa kilometer kerana pemandu yang lain akan memandu perlahan sambil menonton.




Teringat juga kepada rakan-rakan yang menyambut perayaan nun jauh di perantauan. Dr Ahmad Zuhaidi mungkin masih berada di Afrika. DAJA mungkin telah berada di Jakarta. CTN mungkin di Alor Star bersama anak dan cucu. Zali mungkin di JB, Tahir di Klang, NSR mungkin di Kg Medan dan Wahab, Ruby serta Zaharin mungkin di Manjung. Dimana pun kita berada, walaupun jauh beribu batu, kita tetap pandang langit yang sama, lalu kita sebenarnya dekat.

 
Apapun diharapkan semua rakan-rakan selamat menuju ke distinasi masing-masing ketika meraikan Hari Raya Korban ini. 

Allahu Akbar..Allahu Akbar..Walillah hilham..   Selamat Hari Raya.