GAMBAR EDISI TERBARU

GAMBAR EDISI TERBARU
Kekal bersama...selamanya.
Showing posts with label BERMALAM DI MASJIDIL HARAM. Show all posts
Showing posts with label BERMALAM DI MASJIDIL HARAM. Show all posts

Tuesday, March 8, 2011

KENANGAN DARI TANAH SUCI - FINAL

JANGAN CELUPAR - PAY CASH :
"Jika ke Tanah Suci jangan cakap yang bukan-bukan. Semua akan berlaku sekelip mata"  itu pesanan yang selalu kita terima. Di jalan menuju ke Masjidil Haram  terdapat banyak burung merpati yang sangat jinak berterbangan. Burung-burung tersebut diberi makan oleh orang yang lalu lalang setiap hari. Secara tidak sengaja saya berbisik perlahan, " dimana burung ini berak agaknya?" sebab tidak ada najis burung di jalan yang dilalui ke masjid.. Beberapa langkah kehadapan saya terasa sesuatu jatuh di atas kepala saya. Subhanallah.... burung merpati tersebut betul-betul menjatuhkan najisnya atas kepala saya. Natijahnya saya seolah telah mempersoalkan kuasa Allah ke atas burung tersebut. Saya insaf dan meminta ampun serta merta.

MURAHNYA REZEKI :
Berjalan ke masjid sebelum maghrib, sementara menunggu solat maghrib atau isyak, semasa mengerjakan saie banyak orang Arab bersedekah. Ada yang menyediakan limau, air teh arab, roti dan yang paling banyak kurma. Ramai juga yang membuat kenduri. Kenduri orang Arab simple sekali. Bentang plastik antara jemaah dan taburkan kurma. Sediakan cawan-cawan kecil air teh dan edarkan kepada jemaah. Itu saja kendurinya tanpa apa-apa tahlil dan doa. Begitu juga tiada doa selepas solat. Satu malam sebelum maghrib sebuah keluarga bangsawan Arab mengadakan kenduri. Saya agak keluarga bangsawan dari segi pakaian dan penampilan mereka. Saya sempat dihulurkan pinggan berisi kurma oleh salah se orang keluarga bangsawan tersebut. Lembut dan sedap sungguh tekstur kurma tersebut. Maklum buah makanan keluarga bangsawan.

BERMALAM DI MASJIDIL HARAM :
Bila saya menyatakan hasrat untuk tidur di Masjidil Haram tidak ada rakan sebilik yang mahu mengikut saya. Malam itu selepas solat isyak saya tidak balik ke hotel.  Saya teruskan aktiviti membaca quran, sembahyang sunat sehingga saya terasa penat. Apabila terasa agak mengantuk saya berbaring dengan badan menghadap ke Kaabah. Saya tertidur. Tidak ada apa-apa berlaku sehingga se orang polis Arab membangunkan saya. Saya tawaf beberapa kali dan berdoa di Hijr Ismail. Apabila terasa penat saya berbaring semula di depan Kaabah bertentangan dengan Hajarul Aswad. Sejuk tidur beratapkan langit dan berlantaikan marmar. Saya bermimpi .................     " se olah saya berada di suatu tempat yang sangat aneh. tak dapat digambarkan di mana. kemudian saya terlihat sesuatu yang tidak digambarkan keindahannya ....  dalam hati  (semasa bermimpi) saya berkata "ini kah tuhanku?" seketika kemudian saya terjaga kerana kesejukan yang amat sangat. Subhanallah..... mana mungkin saya yang sekecil ini boleh melihat itu semua.. mana mungkin. Mainan syaitan lah itu  kerana syaitan berada di mana-mana untuk menyesatkan manusia hatta di depan Kaabah. Muazzin melaungkan azan subuh dan saya menyiapkan diri untuk solat subuh.

AKHIR BICARA :
Kepada rakan-rakan catatan ini sebagai berkongsi pengelaman. Dijauhkan diri saya dari berperasaan angkuh atau apa saja niat yang tidak baik. Rakan yang mendahului saya sekadar perkongsian pengelaman dan rakan yang belum akan tiba pula giliran anda. Terima kasih kerana sudi membaca dan memberi komen. Minggu depan saya akan mendaftar untuk menunaikan fardu haji pula.

Ismail Mad Isa