Selain dari SMBK, satu lagi yang menimbulkan nostalgia kepada kita ialah pekan kecil Batu Kikir itu sendiri. "Batu Kikir kau telah kehilangan jambatan bosimu" kata Ustaz Jajuli semasa reunion dulu. Pada saya Batu Kikir bukan saja kehilangan jambatan bosinya tetapi telah kehilangan identitinya.
.
.
Masa itu Batu Kikir hanya pekan kecil berbangunan kayu dan beratapkan zink dan sebahagiannya beratapkan rumbia. Catatan saya bermula di kedai kopi "Asau". Di situ ada sebuah "juke box" yang memberi hiburan percuma kepada kami. Disebelahnya kedai Hj Ahmad yang menjual kain baju, kasut tapak hijau dan lain-lain keperluan rumah sementara disebelahnya wakil pos. Kedai buku kecil di sebelahnya kepunyaan keluarga Haji Kamarudin atas nama Pustaka HM Joned. Di depan kedai Hj Ahmad ada bangku panjang tempat orang ramai duduk sambil menunggu bas untuk ke Bahau atau ke Kuala Pilah.
.
.
Di hujungnya kedai tukang jahit, kedai kopi mamak, kedai sayuran dan ikan serta kedai basikal. Diseberang jalan bertentangan kedai Asau ialah kedai Syarikat. Setiap pagi kedai tersebut akan penuh dengan budak-budak sekolah bersarapan. Menu sarapan paling istimewa ialah nasi lemak. Nasi lemak masa tu 20 sen saja sepenuh piring. Agak saya dan pengelaman saya hanya setengah saja budak-budak yang makan tu membayar harga nasi lemak yang dimakan. Selebihnya keluar begitu saja.
.
.
Barisan ini yang menghala ke Bahau adakedai menjual ikan dan sayuran. Tokeynya Safiee yang anaknya pernah bercinta dengan Rashid. Seterusnya kedai jahit, kedai emas diikuti dengan kedai runcit Hj Ahmad, kedai runcit melayu yang agak berjaya masa itu dan di hujung sekali kedai runcit Kadeer abang kepada Hamid Bawal.
.
.
Di sebelah kiri kedai syarikat menghala ke Kuala Pilah ada kedai yang dipanggil kedai "ayan" . Kedai ini menjual baldi dan serbaneka yang dibuat dari ayan. Di sebelahnya kedai runcit cina yang ramai orang melayu sebagai pelanggannya kerana harga barang di kedai ini agak murah. Kemudian diikuti oleh kedai jahit yang agak besar di Batu Kikir masa itu iaitu kedai Jahit Sin Hin.
.
.
Di sebelah kedai jahit itu kedai kopi Hokkian. Roti bakar dengan kaya di kedai ini sangat sedap. Agak saya sama sedapnya dengan roti bakar di stesen kereta api Kluang. Di Batu Kikir masa itu ada dua buah kedai tukang besi membuat parang. Setiap hari saya asyik melihat cina tersebut dengan tekunnya membakar besi, mengetuk dan menempanya menjadi parang atau lain-lain peralatan besi.
.
.
Pejabat pos sekarang ialah kilang kayu dan di penghujungnya tidak ada apa-apa bangunan kecuali belukar kecil. Begitulah bayangan pekan Batu Kikir yang asal yang telah ditelan pembangunan. Masa itu pekan Batu Kikir tidak sebuk . Kenderaan awam utama ialah bas. Dari Kuala Pilah ke Bahau dikuasai oleh bas UNION atau bas merah panggilan orang tua yang tidak tahu membaca. Sekarang bas itu ditukar nama ke UNITED Bas. Basnya sekarang agak lama dan selalu tersadai kerana tak mampu bersaing dengan syarikat bas lain. Dari Kuala Pilah ke Simpang Pertang tentu masih ingat bas LIM. Ramai yang memanggil LIM sebagai "Lama I Menunggu" kerana bas itu selalunya tak tepat masa tibanya Menghala ke Padang Lebar dan Tengkek pula ada "Malay Transport", Syarikat Bas Melayu yang hidup segan mati tak mahu. Akhirnya syarikat bas ini mati juga dengan sendirinya. Saya juga naik bas ini untuk ke sekolah. Selebihnya saya naik basikal kerana tak cukup duit. Pemandu bas ini orang kampong saya. Namanya Pak Cik Sudin. Sekarang Pak Cik Sudin tidak membawa bas lagi tetapi bertukar profesyen berniaga sayuran kampong di pasar tani Kuala Pilah. Se orang lagi personaliti Malay Transport ialah "Che Tom" . Anak gadis yang berpewatakan orang bujang.
.
.
Nostalgia tentang Batu Kikir tidak akan lengkap tanpa menyebut nama-nama Atuk Silong dan Wak Sarkam. Keduanya ada masalah mental. Atuk Silong rumahnya cantik di sebelah kedai Asau. Di depannya ada pokok ciku yang rendang dan pokok mangga yang besar. Hobinya menulis apa saja di dinding rumahnya dan di mana saja ikut suka hatinya. Namun begitu tulisannya sangat cantik. Wak Sarkam pula terkenal dengan basikal dan parang panjangnya. Jika ia ke Batu Kikir dengan selepang merahnya sambil menyanyi lagu Jawa sesekali ia akan melibaskan parang panjangnya.
.
.
Bangunan yang masih kekal dari dulu hingga kini ialah Balai Polis. Lain-lain telah bertukar kepada bangunan kedai batu dua tingkat. Kita mungkin sudah lupa di mana letaknya kedai gambar Zul dan kedai rojak mamak yang paling sedap di Batu Kikir.
.
.
Batu Kikir membangun mengikut pembangunan tetapi ia bukan sahaja kehilangan jambatan bosinya tetapi telah menghilangkan nostalgia kita tentangnya.
ISMAIL@CHANG CAPIT.