GAMBAR EDISI TERBARU

GAMBAR EDISI TERBARU
Kekal bersama...selamanya.

Friday, April 27, 2012

KISAH SEDIH HUJUNG MINGGU

Oleh Jokiden

 

Setelah bercuti di kampung masing-masing tiga orang sahabat Salleh, Sallam dan Shukor kembali ke flat kediaman mereka di Sentul Kuala Lumpur. Semuanya penat akibat perjalanan jauh. Salleh berasal dari Simpang Renggam Johor.  Sallam kembali dari kampungnya di Besut Terengganu dan Shukor bercuti dua hari di kampungnya di Padang Besar.

Kenderaan yang membawa ketiga-tiga mereka tersekat sewaktu hendak memasuki Kota Raya, sebabnya di semua penjuru kawalan pemeriksaan polis masih dilakukan walaupun demontrasi Bersih sudah berakhir pada hari sebelumnya iaitu Sabtu.

Keadaan jalan yang sesak di semua kawasan dan keengganan pemandu teksi mengambil penumpang menyebabkan mereka hanya bertemu semula di flat sekitar jam 11 malam. Letih..

Di flat tersebut mereka tinggal di tingkat 30, menyewa dari seorang peniaga India. Orang agak ramai ketika itu berlegar-legar di bawah flat. Mereka mendapat tahu bahawa semua lift di flat itu rosak sejak semalam dan masih belum mampu dibaiki.

"Macam mana ni, dah pukul 12 malam aaa, esok nak kerja, takkan nak tidur bawah ni je.." kata Salleh merungut. Akhirnya kata putus diambil, mereka mengikut jejak langkah sebahagian warga flat iaitu menaiki tangga.

"Biar betul 30 tingkat ni.." kata Sallam. "Alah kita menapak perlahan-lahan, penat kita berhenti, lama-lama sampailah.." Kata pula Shukor. "Ok mari..sebelum tu, semua beg yang berat-berat ni kita tinggalkan di tempat jaga ni, nanti bila lift dah ok kita turun ambil." Kata Salleh.

Untuk menghilangkan rasa penat mereka bersetuju setiap orang menceritakan satu kisah sedih supaya memberi motivasi dan mengurangkan rasa penat memanjat tangga.

Shukor memulakan cerita, dia kembali ke Perlis untuk menentukan tarikh pertunangannya dengan gadis pilihan hatinya sejak kecil. Dia bercerita penuh emosi, bagaimana masa kecil sering berkejaran di bendang bersama dengan buah hatinya itu. "Itu kisah gembira, nostalgia dan macam cerita hindustan tu.. apa yang sedihnya.?" tanya Sallam

"Yang sedihnya minggu lepas seorang Datuk bawa dia lari dan kahwin di Siam, tanpa bagitau aku.." kata Shukor. "Laa..." kata Salleh dan Sallam serentak dan mereka terduduk di flat tangga itu berihat sebentar.

"Kita dah sampai tingkat 10 ni..kau pulak cerita.." Kata Salleh kepada Sallam, sambil mereka meneruskan perjalanan.

Sallam menceritakan perkembangan terkini kampungnya, Besut, bagaimana gembiranya keluarga dia menyambut dia kali ini. Neneknya yang sangat menyayanginya sejak kecil sempat memberi dia wang saku kali ini sebanyak RM33.00. Dia juga menceritakan Terengganu sudah banyak berubah, lebuh raya sudah siap dan pelancong semakin ramai datang ke sana.

"Kenapa nenek kau bagi RM33.00, sepatutnya kau yang bagi dia..?" tanya Salleh, "Dia perli aku, umur aku dah 33 tahun tapi belum bertemu jodoh lagi.." Kata Sallam ketawa. Mereka sudah sampai ke tingkat 20.

"Apa yang sedihnya dalam kisah kau ni..?" Shukor tak sabar ingin tahu. "Yang sedihnya tadi semasa bersesak-sesak di Pudu Raya dompet aku kena seluk dan habis semua dokumen aku hilang termasuk duit pengeras RM33.00 yang nenek aku bagi..

"Ish..ish..ish..kau jangan nak mintak duit aku sok.." kata Salleh dan Shukor serentak. Mereka mendaki lagi untuk 10 tingkat yang terakhir. Giliran Salleh pulak membuat cerita. "Tak mahu cerita purba.. kita mahu cerita moden dan terkini.." Kata Sallam memberi amaran.

Salleh memulakan ceritanya. Johor terutama Wilayah Iskandar kini semakin maju. JPO semakin mendapat sambutan dan ramai sangat orang terutama warga Singapura datang membeli belah di situ. Mersing akan menjadi pusat pelancongan terkenal suatu hari nanti. Pelbagai kisah menarik diceritakan oleh Salleh sehingga mereka tidak sedar mereka telah sampai di tingkat ke 30 di mana dalam keletihan mereka menyandarkan badan masing-masing di dinding rumah sewa mereka.

"Habis apa kisah sedih terkini kau, asyik cerita yang elok-elok je, ..kami nak dengar ni?" Tanya Shukor tak sabar. Salleh terus memejamkan matanya. 

"Hoiii Salleh.. apa kisah sedih kau..?" sergah pula Sallam..

"Yang sedihnya malam ni kita kena tidur kat sini je..baru aku perasan kunci grill dan kunci pintu tertinggal dalam beg aku kat jaga di bawah sana..huuaawaaa!!!" kata Salleh..

"Celakakkkkk kau..!!!!" Kata Sallam dan Shukor serentak.
        

No comments:

Post a Comment