GAMBAR EDISI TERBARU

GAMBAR EDISI TERBARU
Kekal bersama...selamanya.
Showing posts with label KENANGAN LALU. Show all posts
Showing posts with label KENANGAN LALU. Show all posts

Monday, March 14, 2011

SAUDARA SAYA

Mariani Duaji mungkin tak sedar yang saya ada hubungan kekeluargaan dengannya. Ayahnya Tok Komo dan emaknya berkait dengan atuk dan uwan saudara saya di Semeling. Tentu Mariani ingat dan tau tentang Atuk Muhamad Chichah dan uwan Ambam. Mak Teh Midah dan Acik Timah ialah mak saudara sepupu saya. Keluarga Rahman Rais dan Ramli Rais adalah keluarga yang cukup rapat dengan keluarga saya.  Begitu juga abang ipar Mariani iaitu abang Atan juga orang saya di Sungai Jelutong. Namun begitu saya dan Mariani tidak rapat masa sekolah. Satu lagi cerita yang nak saya kongsikan kedai Tok Komo menjadi port kami setiap malam Sabtu menonton cerita melayu. Apabila  cerita lawak P Ramlee mini ciniplek di sebelah kedai ayah Mariani akan pecah panggung. Itulah hiburan kami budak kampong pada zaman itu.

Latipah Rahman juga ada bau-bau bacang dengan saya. Saya panggil ayah Tipah "atuk' dan arwah emaknya "uwan". Ayah Latipah membuka kedai runcit dan kedai kopi di simpang Jelutong sejak sekian lama. Semasa bujang kecil saya sering lepak-lepak di kedai ayah Latipah. Bila dan bujang besar mak Latipah lebih mesra melayan saya. Setiap kali menunggu bas untuk ke Batu Kikir atau Kuala Pilah saya ambil kesempatan berbual mesra dengan mak Latipah. Emaknya selalu memuji Latipah dan kakaknya Zainun. Latipah juga tidak perasan yang keluarga saya sangat rapat dengan keluarga ayah saudaranya "atuk Bakar". Tentu Latipah tau Jala, Ujang Kori, Ustaz Razi (Ujang Lisut), Timah serta adik beradiknya. Seperti  Mariani saya juga tidak rapat dengan Latipah masa sekolah. Sudah perangai saya malu dengan kawan perempuan masa tu. Sampai sekarang pun saya begitu. Malu tapi peramah. Tentang Latipah saya kagum dia lebih cantik dan anggun sekarang dari zaman sekolah dulu. Katanya masa reunion dia banyak makan panadol.

Sarip memang sah waris saya. Sarip panggil mak saya "uwan". Bermakna Sarip tu pangkat anak saudara dengan saya. Di sebelah isterinya pula saya panggil mak mertua Sarip tu "uwan". Bermakna isteri Sarip termasuk Sarip sendiri ialah bapak saudara dan mak saudara saya. Jadi panggilan mana yang tepat? Mungkin kerana kekeliruan itu Sarip hanya memanggil saya abang saja. Walau se kampong hubungan saya dan Sarip biasa saja. Tak lah terlalu rapat. Masa sekolah dia dalam kumpulan elit manakala saya dalam kumpulan low profile.

Badariah Jamaludin juga saudara dan sekampong. Apa-apa majlis di rumah saya atau di rumahnya sudah pasti kedua-dua keluarga akan hadir. Saya sangat menghormati ayahnya. Raya puasa yang lalu saya sembahyang Jumaat di masjid kampong saya. Selesai sembahyang saya bersalam dengan ayah Badariah. Dia melihat saya dari atas sampai ke bawah. Saya tanya mengapa dan jawapannya rupa saya sekarang saling tak tumpah macam rupa arwah abah saya. Saya banyak kenangan indah bersama Badariah semasa sekolah. Hampir setiap hari saya dan dia akan balik satu bas dan turun di simpang Jelutong. Hanya saya dan dia... kerana itu setiap hari saya berpeluang berjalan berduaan dengannya. Suatu hari hujan dan Badariah menawarkan untuk berpayung bersama. Bila sampai di pintu pagar rumahnya Badariah menawarkan payungnya untuk saya gunakan. Saya cuba menolak tapi dia beriya-iya benar. Kerana keikhlasannya saya menerima pinjaman payungnya dan selamatlah buku saya dari kena hujan. Emak saya tau saya rapat dengan Badariah dalam bentuk itu dan bila dah kerja Badariah adalah satu dari tiga calon menantu yang mak saya short listedkan. Dua lagi ialah Khairiyah anak cikgu Jaafar dan Suri. Malangnya ketiga-tiga yang disenarai pendekkan itu tak menjadi. Mungkin nama-nama yang saya sebutkan itu tidak menyedari mereka telah menjadi calon pilihan emak saya.

ISMAIL@CHANG CAPIT

Thursday, March 10, 2011

SMBK : DOWN MEMORY LANE

Dikalangan kawan-kawan saya adalah yang terawal memasuki SMBK.  Saya, Rashid, Ali  (Ali Grebel – abang Sarip)  dan Halim Gumpal mamasuki SMBK melalui kelas peralihan (Remove Class) Batu Kikir English Secondary School ( SK Batu Kikir sekarang).  Batu Kikir English School  terdiri dari murid Standard One hingga ke Form Three.  Guru Besar (Pengetua) masa itu ialah Encik S Thiru Ghanam. Guru-guru yang masih saya ingat ialah : Cikgu Zulkafli Tahkim (Bobok) , Mr Rajoo, Mr Veloo, Mr Gurcharan Singh (mendiang), Mr Ajmeer Singh. Lain-lain saya dah tak berapa ingat.
.
Sekolah asal saya  SK Sungai Jelutong  (SKSJ) – sekolah kecil yang jauh di pendalaman pada masa itu ( sekarang dah jauh berubah). Masa di darjah enam di SKSJ saya memilih untuk ke tingkatan satu aliran melayu di SMBK. Apabila abah saya meminta saya ke aliran inggeris saya menurut sahaja. Lama kemudian baru saya tau cerita sebenar mengapa saya ke aliran inggeris dan tidak ke aliran melayu. Cikgu saya masa di SKSJ (Cikgu Kamarul Ariffin bin Hashim) telah menemui abah saya secara peribadi dan mahu serta mencadangkan saya ke aliran inggeris kerana pencapaian saya yang baik dan konsistan semasa di SKSJ.
.
Sampai sekarang cikgu Kamarul merupakan cikgu terbaik saya semasa di sekolah rendah. Saya mempunyai hubungan yang istimewa dengan beliau. Sehingga ke akhir hayat beliau sebelum menghembuskan nafas terakhir dia sempat menanyakan saya kepada isteri saya yang semasa itu merawatnya di hospital Kuala Pilah. Saya terkilan kerana tidak dapat menziarahi beliau di saat terakhir. Semasa pengkebumiannya pun saya tidak ada di Kuala Pilah kerana sedang mengikuti kursus. Beliau meninggal kerana penyakit diabetis – penyakit yang sama yang saya hidapi sekarang.
.
Hanya empat orang dari SKSJ yang ke aliran inggeris di tahun itu iaitu : saya, Ali, Ramlah Ibrahim dan Fakarudin Jaafar. Ramlah dan Fakarudin tidak ada masalah. Fakarudin ayahnya Cikgu Jaafar  (aruah) – bekas Senator dan Tokoh Guru NS tahun 90han)  Ramlah pula dari keluarga yang agak ok. Maka saya dan Ali dijuih bibir juga oleh orang kampong. Abah saya buruh kerajaan yang hanya cukup makan dan Ali pula tanpa ayah disarai oleh bapa saudara.
.
Ali mendapat biasiswa ke awal remove class. Dia bebas dari membayar yuran ( school fees) sebanyak RM 7.50 sen sebulan. Maka tinggallah saya terkontang kanting. Nak menjelaskan yuran sebanyak RM7.50 sen sebulan itu amatlah azabnya. Saya merasakan kepayahan yang amat sangat dan merasa menyesal ke aliran inggeris. Saya sedar tentang kesusahan dan tidak cukup wang abah saya untuk menjelaskan school fees yang hanya sebanyak RM7.50 sen sebulan  itu. Nilai sebanyak itu hanya boleh didapati dengan menjual 2 ekor ayam jantan baru nak tumbuh taji.
.
Apabila tidak dapat menjelaskan yuran dan tertunggak beberapa bulan sudah semestinya saya menerima hukuman. Hukuman masa itu sungguh mudah tetapi sudah tidak dipraktikan lagi pada hari ini.  Rakan lain yang selalu menerima denda yang sama ialah Mohamad Ibrahim bin Yaakob – budak Bukit Kerdas dan sekarang GPK di SK Serting Hilir Kompleks dn Marzuki bin Pilus – budak Majau yang saya tak tahu di mana dia sekarang.  Hukuman yang saya sebutkan tadi ialah :  Pertama dijemur di tengah panas di “court” antara dua blok bilik darjah ( tempat tersebut masih ujud hingga kini). Bahang panas  matahari seolah tidak saya rasakan dibenam oleh rasa malu dengan denda tersebut. Apalagi dalam usia kanak-kanak banyak juga kawan-kawan yang tidak bersimpati. Kawan saya si Ibrahim selalu memberi peransang kepada saya semasa saya menunjukan muka sedih dalam bahasa kanak-kanak: “sabarlah…… sudah nasib kita… insyaallah kita akan berjaya satu masa nanti” . Ternyata kata-kata Ibrahim itu benar kerana kami sama-sama jadi cikgu akhirnya. Saya harap Cikgu  Ibrahim menjadi guru yang baik hingga kini.
.
Hukuman yang kedua ialah disuruh pulang ke rumah dan jangan datang ke sekolah sehingga yuran dijelaskan. Saya sering menangis di depan emak saya tentang hukuman yang saya terima. Emak saya diam saja tanpa berkata apa-apa. Esok atau lusanya emak akan memberi duit untuk membayar yuran yang saya tak tahu  dari  mana dia dapat.
.
Atas faktor kewangan emak saya telah membuat keputusan paling drastik. Adik perempuan saya diberhentikan sekolah untuk menoreh dan apabila ada peluang untuk bekerja sebagai kuli kong di Felda Pasoh beliau memerah keringat untuk mencari  beberapa ringgit sehari. (Masa itu Felda Gugusan Pasoh baru dibuka). Sehingga kini adik perempuan saya yang dulu dengan  rela hati mengorbankan masa depannya demi masa depan saya dan adik beradik yang lain masih tinggal di kampong menjaga emak saya dan beberapa orang anak saudara. Apabila sesekali balik kampong bagai akan mengalir air mata saya oleh keinsafan  tentang pengorbanan orang yang terdekat dengan saya.  Pada emak saya berhajat sekali untuk meletakkan dia di bahu saya dan mendukungnya mengelilingi Kaabah. Pada adik perempuan saya : saya akan tetap membelanya apabila emak saya telah tiada. Saya tidak pernah menjentik dan memarahinya walaupun ada masanya dia melukakan hati saya dengan kata-katanya.
. 
Di awal tahun juga cukup memberi masalah pada saya. Buku teks kena beli. (Masa tu tak ada skim pinjaman buku teks seperti sekarang). Mujur juga Kak NorHasnah Hasan bermurah hati meminjamkan buku lamanya untuk saya gunakan. Kak Nor Hasnah setahun lebih tua dari saya. Dia juga jadi cikgu. Jawatan terakhirnya GPK di SK Juasseh Pusat. Terima kasih Kak Hasnah atas budi baik itu.
.
Atas faktor yang saya ceritakan tadi saya tidak menjadi star semasa di SMBK.  Pelajaran saya agak merosot. Semasa form two aliran inggeris dan melayu digabungkan dan kami semua berpindah ke bangunan SMBK sekarang.  Masalah masih saya bawa walaupun telah berpindah ke premis baru. Hasilnya saya gagal LCE pertama. Begitu juga Rashid. Tahun itu juga berlaku kejutan. Star di SMBK –Juriah Kasim (kakak Tahir) juga gagal LCE. Saya mengulang semula di SMBK, Rashid mengulang di Methodist Seremban dan Juriah di SM Datuk Mansur, Bahau.
.
Itulah sebabnya mengapa ramai kawan-kawan di Form 3A yang selepas LCE berpindah ke TMS tidak berapa  perasankan saya. Selepas second try saya mendapat keputusan yang  agak baik dan boleh memasuki aliran sains di TMS.  SMBK nak tubuhkan form four pertama . Maka kami tidak diminta untuk berpindah ke TMS. Apalagi kata-kata – GPK masa tu (Cikgu Yunus) yang menakut-nakutkan kami untuk ke aliran sains. Saya telah menetapkan tekad untuk terus berada di SMBK. Pertama jika berpindah ke TMS tentu kos belanja sekolah saya meningkat sama ada bayaran makan asrama (jika duduk di asrama) atau tambang bas (jika berulang). Adik saya _Fadzil_ masa itu dapat tempat di KGV – Rancangan Khas. Tentu belanja untuk dia lebih tinggi. Jadi saya berkorban untuk adik saya.
.
Apabila berada di Form Four saya mendapat keyakinan diri semula.  Walau begitu saya masih lagi low profile. Juga saya berkawan dengan member-member yang low profile. Rashid balik semula ke SMBK, dan beliau menjadi kawan saya paling rapat. Selain itu saya juga rapat dengan Hamid Bawal. Iskandar pula kawan saya yang tidak pernah hilang dari zaman sekolah, zaman kerja dan zaman tua kerana di takdirkan tuhan kami bekerja dalam satu organisasi.
.
Semasa di form four saya  mendapat hadiah biasiswa persekutuan sebanyak RM25.00 sebulan. Bermakna saya bebas dari membayar school fees. Ini sangat melegakan saya. Dengan biasiswa yang diberikan itu juga saya dapat bergaya dengan seluar panjang putih dan berkasut tapak hijau (badminton master)
.
Minat saya pada sastera dan kebudayaan tumbuh masa di form V. Itu atas dorongan cikgu Ramlah dan Cikgu Sulaiman. Saya kurang ingat bagaimana ia bermula. Seingat saya Cikgu  A Rahim , cikgu saya semasa di SKSJ menghubungi saya untuk menyertai satu kursus penulisan anjuran PENS (Persatuan Penulis Negeri Sembilan) di Seremban. Di situ saya mengenali penulis-penulis yang sudah ternama seperti Ustz Ayub Yassin, Dharmala NS, Dharmawijaya, Mahaya Yassin, Norman HD  dan lain-lain. Pembimbing kursus tersebut antaranya Abdullah Hussain (penulis novel Interlok yang dipertikaikan sekarang) , Dr Anwar Ridhwan, Subky Latif. Yang lain-lain saya dah lupa.  Menariknya saya adalah peserta tunggal yang masih bersekolah.
.
Minat tersebut saya bawa sehingga meninggalkan alam persekolahan. Setiap tahun saya dan kawan-kawan sekampong (termasuk  Sarip) membuat pemetasan di kampong atas nama persatuan belia. Semasa saya di Kolej Perguruan juga saya saya memasuki pertandingan drama antara maktab-maktab perguruan dan memenangi tempat pertama dan pengarah terbaik. Pensyarah drama saya masa itu ialah Dr Noordin Hassan – salah seorang Sasterawan Negara.
.
Pandangan Prof Rashidi tentang saya tepat sekali. Beliau adalah kawan, adik, penganalisis dan penulis autobiografi saya yang baik.  Sesekali apabila di usia emas menimbau nostalgia lama seperti mendengar lagu di Klasik Nasional. Menghibur dan mengasyikan.
.
Sekian untuk posting kali ini. Di posting akan datang saya akan cuba menghayati down memory lane bersama rakan-rakan semasa di SMBK.  Memang benar kita selamanya bersama……..
.
ISMAIL  @ CHANG CAPIT.
.