GAMBAR EDISI TERBARU

GAMBAR EDISI TERBARU
Kekal bersama...selamanya.
Showing posts with label KENGKAWAN. Show all posts
Showing posts with label KENGKAWAN. Show all posts

Monday, April 4, 2011

THE UNTOLD STORIES - PART 2


Saya hampir tidak ada cerita yang menarik mengenai saya dan Sarip masa sekolah.  Walaupun sekampong dan ada hubungan kekeluargaan namun hubungan kami biasa saja. Saya menyedari beliau menjadi perhatian dan “pet” kepada banyak guru. Dari segi pencapaian akademik kami setanding cuma dia terlalu bernasib baik dari saya.

Saya tau dia dari keluarga susah malah lebih susah dari saya. Posting beliau mengenai zaman remaja menceritakan segalanya dan itulah cerita yang jujur. Namun Sarip pandai menyembunyikan  latar belakangnya dengan sikap riang happy go lucky yang semua orang tidak menyangka dan menyelami perasaan susahnya ketika itu.

Saya cemburu juga bila Sarip dapat ke form six sementara saya menganggur dalam dua minggu. Saya kecewa tidak dapat menyertai kawan-kawan lain yang ke TMS menyambung form six. Dengan bantuan Cikgu Mokhtar (Arwah) saya dan beberapa lagi kawan kita dapat menjadi guru sementara.  Terubat hati saya yang gagal apabila menerima gaji pertama saya sebagai guru sementara. Gaji pertama saya habiskan dengan membeli sepasang kasut Johnson, sehelai jean Levis dan sehelai baju Leeman. Saya ingin merasa keselesaan kasut Johnson yang Rashid telah pakai setahun terdahulu.

Semasa Sarip ke UM saya tidak bersama kerana saya masa  itu sedang mengikuti latihan Pembantu Hospital ( HA- sekarang : Pembantu Pegawai Perubatan) di Hospital Seremban. Saya mendengar cerita betapa seronoknya orang kampong atas kejayaannya itu. Orang kampong sanggup menyewa bas menghantar beliau ke UM. Seluruh kampong berbangga dengan pencapaian budak yang se orang ni. Sekali lagi saya mencemburuinya  dan saya gagal.  Walaupun sebagai mahasiswa UM Sarip tidak sombong dengan saya dan masih sudi bersama saya menggerakkan belia di kampong kami  dalam beberapa aktiviti belia terutamanya berkaitan dengan kebudayaan.

Berbanding dengan Sarip saya lebih jinak dengan Iskandar, Nordin Baharudin, Majid Kasbi dan beberapa yang lain. Iskandar masa tu “domut” dan tidak lah popular sangat. Dia juga pendiam dan takutkan perempuan (macam saya – sebab tu saya hairan dia berubah bila dah umur meningakt). Saya pasti dia tak ada girl friend masa di sekolah. Begitu juga Nordin dan Majid. Iskandar juga dari keluarga susah macam saya dan Sarip. Kalau Sarip menyembunyikan kesusahannya dengan sikap riang dan bersahaja tetapi Iskandar pula menyembunyikan itu dengan mencipta jenaka yang boleh buat orang ketawa besar. Oleh kerana saya dah lali dengan bahan lawaknya itu maka saya tak lah berapa nak gelak bila dia buat lawak.

Salim pada saya lebih banyak “genggilan” dan panas baran. Sampai sekarang saya tak berani nak cakap sembarangan  dengannya. Saya akan tengok mood dia dulu dan tengok apa yang dia cakap. Selalunya saya tidak akan bangkang apa yang dia cakap sebab tak pasal dia akan meninggikan suara, berubah air muka dan dalam posture untuk bertindak kalau sesuatu tu dia tak berkenan.

Namun begitu di sebaliknya Salim baik hati. Dia mudah menceriakan keadaan sampai sanggup memelok kita bila dah lama tak jumpa. Lihat saja bila jumpa Hj Zain dan lain-lain cikgu masa di Ilham dulu. Begitu lah Salim dulu dan sekarang. Dia juga open minded dan tak kisah menceritakan hubungan cinta lama beliau masa sekolah dulu. Setelah bergelar “Pak Haji” dia dah banyak berubah. Sesuatu yang menarik  tentang Salim dia lebih handsome masa tua dari zaman muda dulu.

Saya tidak begitu rapat dengan kawan perempuan, malah saya mengaku tak pernah bercinta dengan sesiapa semasa sekolah. Saya cuma agak rapat dengan Aminah Sani dan Maimon Maarof (Datin – Tingkatan V). Saya rapat dengan Aminah kerana kami sama-sama tidak mengambil subjek History. Jadi semasa time belajar history saya dan Aminah sama-sama ke library untuk mengulangkaji bersama. Oleh kerana tiga kali seminggu saya dan Aminah beriringan ke library adik-adik di kelas yang kami melintas menyangka saya ada hubungan dengan Aminah. Mereka akan bersorak jika nampak saya dan Aminah ke library.

Saya dan Rashid serta beberapa orang lain pernah ke rumah Aminah dan makan tengahari. Begitu juga rumah Maimon memang tidak asing bagi saya. Walau pun sudah bergelar datin Maimon masih mesra dengan saya seperti dulu.

BERSAMBUNG …………
ISMAIL@CHANG CAPIT