GAMBAR EDISI TERBARU

GAMBAR EDISI TERBARU
Kekal bersama...selamanya.
Showing posts with label kawan2ku. Show all posts
Showing posts with label kawan2ku. Show all posts

Friday, April 1, 2011

THE UNTOLD STORIES


Setelah beberapa minggu kita bercerita mengenai makanan maka hari ini saya nak mengubah tajuk semula. Saya ingin mengimbau  kenangan manis saya bersama kawan-kawan semasa di SMBK. Seperti yang saya nyatakan dulu Rashid adalah antara kawan saya paling rapat. Hal ini mungkin disebabkan saya lebih dulu mengenali beliau dari yang lain. Kerana rapat itu saya selalu ke rumah beliau jika ada kesempatan, selalunya semasa cuti penggal. Keluarga Rashid walaupun agak ramai tapi sangat baik dengan saya. Emaknya, ayahnya dan adik beradiknya yang lain juga baik. Rashid hanya ada se orang adik perempuan yang sangat manja. So awal-awal lagi Rashid dah warning saya. “Kau jangan nak kacau-kacau adik den”.  Kehebatan Rashid masa tu ialah dia saja yang berani pakai  kasut Johnson hitam ke sekolah.
.
Satu lagi sebab saya selalu ke rumah Rashid ialah saya suka makan lauk ikan sungai di rumahnya. Abah Rashid rajin menjala ikan di empang bangkong. Hari raya  antara rumah yang saya wajib pergi ialah rumah Rashid. Begitu juga sebaliknya. Masa  baru berkahwin saya bawa isteri saya ke rumahnya. Tahun berikutnya  Rashid pula membawa isterinya ke rumah saya . Begitulah akrabnya saya dengan Rashid.
              .
Semasa saya sering ke rumah Rashid, suatu hari saya singgah di rumah Rashidi. Dia tinggal di rumah Penghulu Mukim Juasseh yang tak jauh dari simpang Juasseh sekarang. Rumah papan tu sudah  tiada. Mungkin telah diruntuhkan. Semasa saya sampai Rashidi sedang memasak makan tengahari untuk adik-adiknya. Ayah, emak dan abangnya tiada di rumah masa tu. Jadi Rashidi berbakat menyediakan makan tengahari. Saya teruja untuk mengetahui  cara Rashidi memasak. Resepinya simple. Ikan kembong dengan sayur kangkong. Setelah  disiang dan di basuh  Rashidi menggoreng ikan tersebut buat seketika.  Saya membantu menyiang kangkong.
                
Selepas ikan digoreng setengah masak Rashidi menggaulkan lada, kunyit, bawang  dengan santan. Saya pelik apabila Rashidi memasukkan ikan tersebut dalam santan yang hampir menggelegak.  Bila saya tanya mengapa ikan itu digoreng dulu baru dimasak lemak Rashidi memberi tau  supaya ikan tu tak hancur bila dimasukkan kangkung nanti.
Saya mendapat tips baru. Memang betul ikan tu tak hancur bila kangkong dimasukkan sebagai perencah.  Saya tak puji Rashidi masa makan tu tapi dalam hati saya,  ada bakat juga Rashidi ni memasak. Dan memang benar, secara jujur saya katakana masakannya itu sedap. Sekarang Rashidi mungkin lebih pandai memasak.
Dengan Hamid Bawal juga saya rapat. Ada dua peristiwa yang tidak akan saya lupakan mengenai Hamid. Pertama dia telah menipu saya. Masa di Form Five sebelum ujian maths pagi itu Hamid mengajak saya ke tandas dan memberi saya dua tiga sedut rokok. Pelik semacam sedap saja saya menjawab maths pagi itu dan bila keputusan keluar saya dapat markah 29 yang tak pernah saya dapat sebelum itu.  Hamid gelak besar dan memberitahu dia bubuh ganja dalam rokok tu. “Hampeh…. Hamid dah tipu den”. Itulah kali pertama dan terakhir saya hisap ganja.
                                       .
Kedua : Semasa Cikgu Mokhtar (Allahyarham) memangku jawatan pengetua, (Hj Zain berkursus di Vietnam) beberapa peraturan yang menyusahkan telah diperkenalkan. Saya berpakat untuk menulis surat bantahan dalam bentuk surat layang. Untuk mengelakkan identiti kami dikenali  Hamid mendapat pertolongan kakaknya. Saya mendraf dan mengedit surat tersebut.  Selepas diposkan dan esoknya sekolah menerima surat layang tersebut Cikgu Mokhtar telah mengumpulkan  buku latihan form V dan tingkatan V. Tujuannya untuk membandingkan tulisan dalam surat untuk mencari siapa penulis sebenar. Cikgu Mokhtar gagal mengesan kerana tulisan itu tak mungkin serupa dengan tulisan kita semua. Saya dan Hamid berjanji tidak akan memecahkan rahsia ini. Untuk pengetahuan semua inilah kali pertama saya mendedahkan  hal ini. Saya harap Hamid tak akan marahkan saya kerana telah mendedahkan rahsia kita. Atas inisiatif saya dan Hamid  Cikgu Mokhtar tidak lagi menguatkuasakan peraturan yang menyusahkan itu dan selamatlah kawan-kawan yang selalu melanggar peraturan dari kena denda.
                                
Mengenai Jalil  beliau selalu ceria semasa di sekolah. Maklum dia memang jejaka pujaan dan diminati ramai junior perempuan. Dia kata rambang mata nak pilih. Satu kenangan saya dengan Jalil : Dia jadi ketua mereka-mereka yang naik bas dari  Terusan dan Kuala Kepis. Jambatan kayu di empang bangkong terbakar dan bas sekolah terpaksa melalui pekan Kuala Pilah. Satu hari saya mengirim kepada Jalil untuk membeli buku “perukunan sembahyang” –(buku untuk belajar sembahyang). Bila saya nak bayar harga buku itu Jalil tak nak terima. “Den sedokah kek kau” katanya.  Saya mengganggap buku pemberiannya itu istimewa dan masih saya menyimpannya  hingga sekarang.
.
BERSAMBUNG…………………..
ISMAIL@CHANG CAPIT