GAMBAR EDISI TERBARU

GAMBAR EDISI TERBARU
Kekal bersama...selamanya.

Saturday, June 7, 2014

INDAHNYA TANAH SUCI INI - PART TWO

Oleh Jokiden:


  




Masjid Nabi dan Masjidil Haram menjadi tumpuan jemaah dari seluruh dunia. Saya berdoa kepada Allah untuk menikmati kebesaranNya setiap kali memasuki ke dua-dua masjid ini. Saya asyik. Apa yang kita lihat usah di komen atau ditegur walaupun di dalam hati. Lihat sahaja dan nikmati. Seperti yang saya sebutkan awal dahulu, rasanya kesemua mereka yang berada di sana adalah mendapat keampunan dan rahmat Allah. Lalu siapa kita untuk memberikan komen, atau untuk mengadilinya. 

Segalanya akan menjadi bertambah indah apabila kita menyerahkan kesemuanya kepada Allah swt. Bukan sedikit yang berpakaian compang camping dan tidak terurus sambil kyusuk melakukan solat. Di Masjid Putra Jaya atau Masjid Wilayah Persekutuan jemaah di sekitar kita akan merasa pelik sekiranya terlihat ada jemaah yang menangis teresak-esak atau mengeluarkan air mata dalam renungan yang sayu sambil menadah tangan berdoa. Mungkin ada yang akan berkata di dalam hati "entah siapalah saudara mara dia yang meninggal dunia ni.."

Pengalaman di sana jauh berbeza. Tidak ada sesiapa yang memperdulikan sesiapa. Menagislah semaunya, orang sebelah tidak akan berkata apa-apa. Biasa kita lihat di kiri dan kanan kita orang mengalirkan air mata tanpa emosi. Di sana kita merasakan diri kita tersangat kerdil.

Kita tidak tahu siapa yang sedang mengalirkan airmata di sebelah kita, mungkin bekas penyangak tegar yang sedang bertaubat kepada Illahi, mungkin yang sedang bersujud di sebelah kita adalah seorang jutawan. Mungkin yang sedang bermunajat di samping kita ialah saudara mara atau kerabat diraja yang merendah diri. Mungkin juga mereka terdiri daripada orang yang paling miskin dari sebuah kampung pendalaman dari sebuah negara Afrika. Mana kita tau.

Satu waktu itu saya ditegur oleh seseorang di sebelah saya sambil menghulurkan tangan. "Anak dari mana..?" tanyanya. Sepantas kilat saya tahu dia orang Malaysia dan saya mengatakan saya Jokiden dari Seremban, NSDK. Badannya kurus dan wajahnya memang telah uzur. Mengikut katanya ini kali ketiga dia berada di situ, sekali haji dan dua kali umrah. Usianya 80 tahun berasal dari Jengka Pahang. "Ini mungkin kedatangan pakcik yang terakhir ke sini, usia telah lanjut.." Katanya sayu membuatkan saya terkedu. Alhamdulillah.

Semasa menjamu selera, teh tarik dan roti canai di Restoren D' Saji di Safwa Tower saya bertemu dengan jemaah dari Perak. Seorang berusia 67 tahun dan seorang lagi 73 tahun. Mereka mengatakan itu adalah kali pertama menjejak kaki ke Tanah Suci. Juga Alhamdulillah. Saya ingin memberi jaminan bahawa menikmati teh tarik dan roti canai di sana jauh lebih nikmat daripada mana-mana lokasi di negara kita ini. Bukan rasa makanannya yang enak yang mendatangkan nikmat, tetapi suasananya yang sukar dinyatakan. Sekurang-kurangnya saya mengalami keadaan itu. 

Di kedua-dua Masjid ini jika kita merasakan ibadat kita sudah cukup sempurna, ketahuilah ada beratus ribu lagi jemaah lain yang lebih sempurna ibadatnya. Jika kita merasakan doa kita sudah cukup banyak, percayalah ada beratus ribu lagi yang berdoa lebih banyak daripada kita.

Jika kita merasakan zikir kita sudah banyak sangat, ada beribu-ribu lagi yang berzikir melebihi kita. Jika kita merasakan kita paling damai di sana, ada beribu-ribu lagi yang lebih damai dan syahdu daripada kita.

Jika kita merasakan diri kita paling malang dalam hidup ini di sana ada beribu-ribu lagi yang lebih malang daripada kita. Jika kita merasakan kita paling bahagia, maka ada beribu-ribu lagi jemaah yang lebih bahagia daripada kita. Sebab itu di sana kita adalah kita dan kita tidak sama dengan jemaah yang lain. Keinsafan ini membuatkan suasana menjadi semakin indah di dua Kota Suci ini.

Di Masjid Nabi, apabila tiba waktu sembahyang fadhu, jemaah akan berduyun-duyun ke masjid dan diwaktu pulang juga begitu. Perjalanan sehala. Sementara di Masjidil Haram perjalanan selama 24 jam adalah dua hala. Di kala beribu-ribu jemaah menuju ke Masjid untuk menunaikan solat fardhu, maka terdapat beribu-ribu juga yang menentang arus pulang dari Masjid menuju ke hotel masing2.

Kita tidak tahu hanya Allah yang maha mengetahuinya. Sebagai cotoh rombongan jemaah kami menyisiri Masjidil Haram ketika azan Maghrib bergema. Kita di bawa terus ke Hotel, daftar masuk dengan pakaian ihram masih di badan, ambil kunci bilik dan bersembahyang di bilik. Kira-kira jam 11 malam setelah semuanya selesai kami di arahkan untuk pergi menunaikan tawaf dan saie. Maka ketika kami menuju ke Masjid dengan ribuan jemah lain yang memakai ihram, maka mereka yang baru selesai menunaikan fardhu Isyak, berduyun-duyun pula pulang ke hotel. Situasi begini berlaku 24 jam sehari mengikut dari distinasi mana kita datang. Itu juga satu keindahan di Kota Suci ini.

Dikala kumpulan kami dan juga kumpulan-kumpulan lain selesai mengerjakan tahalul hampir jam dua pagi, kami berjalan pulang ke hotel. Dikala itu kami berselisih dengan jemaah yang berpakaian ihram berjalan menghala ke masjid pastilah untuk bertawaf dan mengerjakan rukun saie. Ada juga yang berjalan menuju ke masjid dengan pakaian biasa atau berjubah, maka itu tentunya mereka yang ingin segera mencari tempat sebelum masuk waktu subuh. Begitulah sentiasa setiap waktu yang sempat saya saksikan. Cuma bezanya ada waktunya jalan terlalu sesak dan ada waktunya agak longgar.

Seterusnya banyak lagi keindahan yang akan diceritakan nanti..

  



Friday, June 6, 2014

INDAHNYA TANAH SUCI INI - PART ONE

Oleh Jokiden:


   
Gambar diambil dari tingkat atas, mungkin dua tahun lagi akan siap sepenuhnya. 


Jadual ziarah dan Umrah adalah padat. Fokus tidak boleh lari. 12 hari yang perlu di menafaatkan sebaik mungkin. Tempat tumpuan adalah dua iaitu Masjid Nabi di Madinah dan Masjidil Haram atau Baitullah di Mekah. Lawatan ke tempat-tempat lain amatlah terhad. Pakej juga tidak esklusif sangat.

Yang dapat disaksikan di dua Kota ini ialah tanah gersang yang berbukit-bukit dan batu-batu pejal. Jalan yang sempit dan berlopak-lopak kecuali Lebuh Rayanya. Habuk di serata tempat dan pembangunan di sana sini termasuk pembesaran Masjidil Haram yang mungkin dua tahun lagi akan siap sepenuhnya.

Bunyi kenderaan yang bersimpang siur dan bunyi krane dalam pembinaan tidak pernah sunyi 24 jam, seperti irama dan lagu. Kenderaan yang bersaiz besar kelihatan beratus-ratus di mana-mana jalan lalu menjadikan semua laluan jam sepanjang masa. Untuk melihat kelibat motor pula mungkin 10 jam baru kelihatan sebiji. Motor di Madinah dan Mekah ibarat antah di dalam beras. Perniagaan topi keledar memang merugikan di sana, tiada sesiapa yang ingin memakainya.

Habuk yang banyak, di kelilingi oleh bukit-bukit batu, bangunan yang berjerait rapat, tiada pantai, tiada padang atau taman yang menghijau dan tiada rimbunan pokok-pokok, maka di mana indahnya berada di dua kota ini????

Saya teringat kata-kata MCC, kali pertama dia memandang Kaabah, hatinya tersentuh, jiwanya cair dan airmatanya mengalir laju. Dia terpaku dan tidak bergerak untuk seketika. Itulah antara kecantikan atau keindahan berada di sana.

Kali pertama pula saya melihat Kaabah secara nyata di depan mata, tumpuan saya terganggu oleh ceramah atau penerangan oleh Mutawif atau pemandu ziarah yang bertanggung jawab untuk membantu kami pada malam pertama UMRAH tersebut.

Dalam keghairahan dia bercerita saya sebenarnya ingin segera untuk memulakan tawaf bersama ribuan jemaah lain kerana tidak mahu urusan wajib itu terganggu. Namun oleh kerana telah bertekad untuk akur dan mematuhi segala arahan maka saya hanya merenung sayu ke arah Kaabah sambil memasang telinga mendengar apa yang diperkatakannya dalam loghat Kelantan yang pekat sehingga sukar bagi kami hendak memahaminya.

Saya mula merasakan keindahan di dalam hati apabila berada di sana. Kaabah yang tersergam gagah dikelilingi oleh ribuan manusia dari seluruh pelusuk dunia yang melakukan tawaf menjadikan ia tersangat indah. Memandang sesuatu yang hitam di dalam Masjidil Haram adalah mendapat pahala, lalu memandang Kaabah maka amat besar ganjarannya.

Jika bertahun-tahun dahulu melihat ribuan manusia mengelilingi Kaabah atau sedang bersolat di bawah payung di Masjid Nabi atau ke sana ke mari mencari tempat untuk bersolat menerusi kaca TV saya amat teruja dan kagum. Kini pemandangan itu saya tatap secara terus dan tidak syak lagi ia adalah pemandangan yang sangat indah.

Di tanah air amat jarang saya dapat melihat anak-anak saya tekun membaca Al Quran kecuali di majlis kematian saudara mara, namun di dua Masjid ini saya menyaksikan betapa tekun, khusyuk dan asyiknya mereka membaca Al Quran. Itu pemandangan yang sangat indah kepada saya dan hati saya tersangat sayu melihatnya dan saya kerap kali mengalirkan air mata.

   Photo: Mungkin potret ni akan kekal lamo dlm ingatan..
Mereka lakukan sendiri tanpa perlu saya menyuruhnya.

Kedudukan hotel kami dengan Masjid adalah kira-kira 300 meter di Madinah dan di Mekah. Sepanjang perjalanan pergi dan pulang ke Masjid kami dipayungi oleh ratusan burung merpati dan ada kalanya ribuan yang terbang laju. Rezeki burung ini tersangat murah kerana sentiasa diberi makan oleh para jemaah. Rezeki para peniaga kacang dan gandum juga murah.

Seorang darinya menawarkan kepada saya dua bungkus dan isyarat tangannya jelas menunjukkan dua dan harganya 5SR. Saya keluarkan duit dari poket dan bila dia melihat duit ditangan saya, harga terus berubah. Dia hanya memberi satu bungkus, halal.. halal, katanya dan terus mendesak saya membayar 10SR untuk dua bungkus. Dia tersilap orang, saya menolak, dia tidak melepaskan bungkusan dia dan saya tidak melepaskan duit saya. Akhirnya dia mencerabih dan melepaskan dua bungkus sambil berkata bakhil...bakhil.. bakhil.. Sebungkus untuk saya dan sebungkus lagi untuk Bang Ngah, kami menjamu burung dan meneruskan perjalanan ke Masjid.

Terlihat burung merpati saya pasti tersenyum dan teringatkan MCC. Dia pernah merasa hairan dengan jumlah burung merpati yang sangat banyak tersebut dan hatinya tertanya-tanya di manalah burung2 tersebut membuang najisnya kerana burung itu makan tanpa henti. MCC mendapat jawapan kepada pertanyaan yang hadir dalam hatinya itu sebelum dia sempat berpaling iaitu burung itu terus menjatuhkan najisnya ke atas kepalanya. Kisah itu menyebabkan MCC paling banyak datang dalam ingatan saya sepanjang di sana dan saya sentiasa berhati-hati agar tidak mempunyai soalan-soalan pelik ketika melalui kawasan burung-burung itu.

Apa lagi keindahan yang kita dapat saksikan ketika berada di sana??? Pakaian orang Arab ialah jubah. Lelaki dengan pelbagai warna sementara perempuan kebanyakannya berjubah hitam dan putih. Para jemaaah dari seluruh dunia mau tidak mau terpaksa teruja dengan pakaian jubah tersebut.

Saya gatal mulut bertanya kepada peniaga di sana, jubah datangnya dari mana? Selamba je mereka menerangkan Arab Saudi tidak mempunyai produk sendiri untuk dijual. Hampir kesemua barang jualan datang dari negara asing.

Jubah diimport dari Vietnam dan Iran. Sementara itu barang buatan dari China, Turky dan India berlambak-lambak di setiap kedai. Di sana dalam cuaca panas terik mencecah 46 C, orang selamba je memakai jubah, tidak langsung kelihatan rimas atau tidak selesa. Itulah kelebihan kota suci Mekah dan Madinah. Sekali lagi saya berpesan kepada sesiapa yang akan ke sana, tidak perlu membawa jubah dari sini kerana di sana kalian tidak akan mampu menahan selera daripada membeli dan memakainya.

   
Nampak tu,semua pakai jubah kecuali Jokiden dan seorang lagi.


  

Tuesday, June 3, 2014

MENJADI TETAMU ALLAH SWT

Oleh Jokiden:  

Duit banyak, waktu lapang banyak, kawan ramai, badan sihat, hati ceria, semua itu belum tentu membolehkan kita sampai ke Tanah Suci.

Duit tak ada, tak cukup, masa  memanjang sahaja tidak sesuai dan badan pula tidak sihat mungkin belum tentu pula menghalang sesiapa sahaja untuk berkunjung ke sana.

Dari pemerhatian saya 300,000 lebih bersolat di Masjid Nabi dan hampir sejuta di Masjidil Haram pada setiap waktu selama 12 hari saya dan keluarga di sana, maka saya bersetuju dengan pendapat ramai bahawa mereka yang berada di sana adalah atas ihsan Allah.

Hanya ketentuan Allah sahaja yang menyebabkan kita terpilih untuk diberi peluang beribadat di sana. Rasanya tidak ada sebab lain. Ramai yang mengatakan berulang kali bahawa mereka yang berada di sana adalah tetamu Allah swt. Lalu kami juga merasakan bahawa kami adalah tetamuNya. Alhamdulillah.

     
Ini kami rakam sendiri, sedikit lega mungkin selepas asar dan hampir waktu subuh. White people percaya jika berhenti orang Islam ini bertawaf mengelilingi Kaabah, maka dunia akan kiamat.

Beribadat di kedua-dua Masjid ini ganjarannya adalah istimewa. Jika ada yang merasakan bahawa tidak ada apa-apa perbezaan beribadat di sini dengan beribadat di masjid2 lain dalam erti kata lain sama sahaja nikmatnya, maka eloklah dia berdoa atau bermunajat bersungguh-sungguh supaya Allah memberinya peluang sekali lagi.

Berada di Masjid Nabi dan di Masjidil Haram terasa di rahmatiNya sepanjang masa. Saya mempunyai keyakinan bahawa setiap yang berada di situ lakukanlah apa sahaja, pijak kepala orang, kangkangkan orang tengah sujud, rempoh orang di Hajar Aswad, berasak-asak masuk ke dalam saf atau duduk diam sambil termenung di dalamnya, semuanya mendapat keampunan Allah swt. Apa lagi mereka yang begitu menjaga tertib seperti memberi ruang kepada jemaah lain, menghulurkan air zam-zam, membantu meletakkan Al-Quran, menolak kereta sorong dan memberi sedekah kepada petugas Masjid tentulah mendapat barakah yang lebih-lebih lagi.

Kita antara yang bertuah diantara 2 billion umat Islam dari seluruh dunia yang dijemput sebagai tetamu Allah. Jadi ambil peluang dan cuba lakukan pengisian yang terbaik sepanjang waktu. Selain melakukan yang wajib perbanyakkan juga yang sunat.

Nota: Ketika catatan ini saya buat dilaporkan dalam Saudi Gazette bahawa seorang lelaki Afrika berseluar pendek memanjat tembok Hijjr Ismail sambil memegang kerusi dan mengamuk. Di dikatakan dia kurang suiman, jemaah yang sedang tawaf ketakutan, dia sempat memecahkan lampu sebelum ditangkap oleh anggota keselamatan. Yang ini saya tidak tahu apakah kedudukannya. 

  

Bertahun-tahun lamanya saya menuntun di peti tv siaran langsung Sembahyang Terawih dari Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, maka timbul pelbagai tanggapan dan kebimbangan tentang situasi yang kita dapat lihat di sana. Terutama sekali jumlah umat yang terlampau ramai berada di satu-satu tempat dan membayangkan kesukaran-kesukaran yang bakal dihadapi oleh semua orang.

Hati kecil saya merasa hebat dan gerun serta kadang-kadang ngeri dan terdetik di hati saya apakah suatu hari nanti jika saya berada di situasi itu, adakah saya mampu menghadapinya. Melihat orang berpusu-pusu tawaf mengelilingi Kaabah, berhempas pulas berjuang untuk mencium Hajar Aswad, bersolat di bahagian atas Masjid yang tidak berbumbung, mengikuti laporan cuaca yang agak luar biasa panasnya dan bagaimana saya mampu untuk berhadapan dengan saiz badan para tetamu Allah yang besar-besar dari negara Afrika, semua itu menghantui pemikiran saya.

Akan diceritakan nanti pengalaman sebenar saya mengharungi situasi tersebut, Insya Allah.

Saya membaca banyak kisah-kisah pelik, menarik dan mencabar yang diceritakan oleh banyak orang tentang nasib seseorang apabila berada di Tanah Suci. Tidak sama antara satu sama lain. Ada yang sukar dan ada yang mudah.

Ada yang nampak Kaabah dan ada yang tidak nampak. Ada yang nampak api dan sebagainya. Ada yang tersesat kerana pintu Masjidil Haram terlalu banyak, ruang solat terlalu luas. Ada yang hilang kasut. Ada yang terjerit-jerit dalam bas. Ada yang mengambil wuduk dalam mangkuk tandas. Kesemua itu menggerunkan hati saya menyedari diri ini banyak dosa. Teringat lagi kata-kata Enab, bimbang sungguh apakah kedatangan kita diterima Allah. Yang memujuk hati ialah setiap yang berpeluang ke sana adalah atas ihsan Allah jua dan tentunya kita diterima olehNya. 



Monday, June 2, 2014

MASJID NABAWI DI KELILINGI HOTEL

Oleh Jokiden: 


  
Jokiden, isteri, Kaklong, Dik As, Abdul Qawiyy, Bang Ngah n Afiq



Melihat melalui media massa keindahan Masjid Nabi dan Masjidil Haram adalah tidak sama dengan melihat secara nyata di depan mata. Terpegun saya pada kali pertama melihat dan memasukinya. Ukiran yang terdapat di situ amat mengkagumkan. Segala-galanya indah. Jika di dalam bidang lain pengurusan Kerajaan Arab Saudi  mungkin ada cacat celanya, saya berpendapat di dalam menguruskan dua buah Masjid ini Kerajaan Arab Saudi adalah terbaik.

Masjid ini sentiasa didatangi oleh jutaan manusia, namun kebersihannya mengalahkan Disney Land. Ianya sentiasa dibersihkan setiap kali selepas solat fardhu. Pekerja yang ramai dan terlatih dan dengan dibantu oleh jentera moden maka tugas mereka kelihatan mudah walaupun kawasan yang harus diliputi amat luas.

Sebelum itu program hari pertama kami berjalan lancar. Lapangan Terbang Madinah tidaklah sebesar mana dan tidaklah secantik atau secanggih manapun. Ketika pesawat yang membawa kami mendarat, hanya ada 6 buah pesawat lain di situ.

Urusan di sana juga tidak secekap yang kami bayangkan. Saya melihat pekerja yang memakai pakaian seragam merah siap dengan troly untuk memunggah beg-beg kami. Oleh kerana kami mempunyai 6 buah beg besar dan 7 buah beg bimbit, maka apabila mereka menaikkan beg kami ke atas troly kami tersenyum bangga lalu menolaknya ke arah bas yang sedia menunggu tidak beberapa jauh, hanya sekitar 50 meter sahaja.

Hairan juga saya kerana ramai ahli rombongan hanya menolak sendiri troly mereka sedangkan troly saya dan keluarga ditolak oleh pekerja di situ. Rupanya saya terpaksa membayar khidmat petugas tersebut. Setelah semua beg dimasukkan ke dalam bas, maka dia menuntut daripada saya 70 riyal, Terkejut saya kerana hampir RM70 tu. Saya minta penjelasan dan dengan susah payah, entah apa yang dia cakapkan dalam bahasa Bangla, saya tidak faham cuma mengerti bahawa satu beg saya kena bayar SR10.

Segera saya bertanya kepada beberapa orang yang tentunya sudah memahami situasi tersebut yang telah mengalami berkali-kali peristiwa begitu di situ. Untuk kepastian saya bertanya kepada tiga orang dan ketiga-tiganya mengatakan kos untuk itu hanyalah SR10 kira-kira RM8.90. Kata mereka lagi jika berasa kasihan bagilah SR20. Maka saya memilih untuk bersifat 'kasihan' dan saya membayar 20 SR kepadanya. Tentulah dia tidak puas hati dan 'mencerabih' (ikut bahasa DJA) namun saya terus menaiki bas setelah menghabiskan dua batang rokok Kent di sisi bas tersebut.

    
Depan Hotel Al Fayrod Madinah.


Kami sudah diberi taklimat apa yang harus dilakukan setelah tiba di hotel. Makan, rihat sebentar dan ke Masjid untuk solat. Tiada ruang solat di dalam bilik yang kecil dan bilik air yang sempit. Kami telah membulatkan tekad sejak di tanah air lagi, untuk tidak akan komplain apa sahaja dan akan akur atau reda ke atas apa sahaja keadaan semasa di sana. Saya menambah doa sendiri agar diri ini terkawal dan tidak menimbulkan sebarang masalah kepada anggota jemaah yang lain.

Setelah membersihkan diri kami ke Masjid untuk solat Isyak yang dihimpunkan kepadanya Maghrib. Kemudian kami tour ke dalam Masjid. Saya melihat ramai sungguh para jemaah tidur bergelimpangan dan kami juga akhirnya sama membaringkan diri sebentar. Azan subuh kali pertama pada jam 3.10 pagi dan azan kedua ialah pada jam 4.10 pagi.

Masjid yang besar dan luas itu kelihatan lenggang antara jam 12 malam hingga 3.30 pagi. Kemudian daripada itu setelah masuk waktu subuh, saya melihat setiap ruang luar dan dalam semuanya padat dengan jemaah. Saya kira lebih suku juta jemaah menunaikan solat subuh waktu itu. 

Ganjaran bersolat di Masjid Nabi ialah 1000 kali ganda. Syukur Alhamdulillah. Ganjaran untuk 100,000 kali hanya ada di Masjidil Haram dan kami sedang menuju ke sana. 

Kira-kira jam 5 pagi solat subuh beakhir dan jemaah bertempiaran menuju haluan masing-masing. Yang meneruskan tidur dan berbaring di dalam dan di luar masjid di bawah payung ramai juga. 

Kami kembali ke hotel untuk sarapan pagi. Simple sahaja, juga tidak ada komplain. Belum pukul 6 pagi matahari telah mula menyinar. Ratusan kedai menjual pelbagai barangan telah mula dibuka seawal jam 5 pagi lagi. 

Saya perhatikan di sekeliling Masjid Nabi terdiri bangunan-bangunan yang kebanyakannya adalah hotel. Keadaan luaran amat gah, cantik dan nampak hebat. Di dalam kita tidak tahu namun jika hotel kami hendak dijadikan ukuran, maka keadaanya adalah biasa, sempit dan kecil. 

Penyedia atau pemilik hotel seboleh mungkin akan memaksimumkan jumlah penghuni setiap bilik. Contohnya bilik yang selesa untuk 2 orang akan dimuatkan seramai 4 atau lima orang, sehinggakan tiada ruang untuk bersenang lenang di dalam bilik.

Bilik yang boleh memuatkan 3 orang selalunya diisi sehingga 7 orang. Terdapat beratus2 hotel di sekeliling Masjid Nabi yang merangkumi radius 1 kilometer. Sementara itu pembinaan terus rancak di sekitar kawasan tersebut.

Lobi hotel kesemuanya kecil dan sempit, setiap ruang ada kegunaannya. Di sekeliling hotel bahagian bawah adalah kedai-kedai yang menjual pelbagai keperluan terutamanya pakaian.

Pesan saya kepada sesiapa yang akan ke sana, tidak perlu bersusah payah mencari dan membawa jubah dari Malaysia. Di sana jubah bertimbun di setiap ruang, cantik dan murah yang pastinya akan meruntung jiwa untuk membelinya.

Lorong dari hotel ke masjid juga akan di penuhi oleh peniaga 'haram' yang akan berkeliaran lari sekiranya diserbu oleh peguatkuasa. Para peniaga segera ini, menghalang pergerakan jemaah yang pulang dari masjid. Setiap lorong mereka blog dan berlaku kesesakan. Setiap lorong ada pasar lambak sementara sekurang-kurangnya untuk tempoh satu jam.

Jemaah kita memanggilnya sebagai 'pasar lambung' kerana kebanyakan peniaga akan menjerit sambil melambung barang jualan mereka.  

Photo: Mungkin potret ni akan kekal lamo dlm ingatan..
Bang Ngah, Afiq n Qawiyy dlm Masjid Nabawi, tidak sedar gambarnya dirakam.

  

PERJALANAN KE TANAH SUCI

Oleh Jokiden:
Bersama Abdul Qawiyy.. di Masjid Nabawi
   

17 Mei 2014 saya dan keluarga dengan izin Allah jua telah ke Tanah Suci Madinah dan Mekah untuk menunaikan UMRAH. Perjalanan dari KLIA ke Madinah mengambil masa selama 8 jam 10 minit. 5 petang kami mendaftar masuk dan pesawat berlepas jam 6.50 ptg. Sebelum berlepas Kapten Nasir Yussof membaca doa. Kami mengaminkan, mohon perjalanan kami selamat. Hati tidak boleh berbohong, kisah kehilangan MH370 tetap menjelma dalam ingatan di saat kapal hendak berlepas.

Segalanya tenang selepas itu, cuma sesekali pesawat terasa bergoyang. Biasalah Kapten akan memberitahu cuaca tidak beberapa baik.

Jam 10 malam lebih kurang pesawat selamat mendarat di Lapangan Terbang Madinah. Waktu Malaysia ialah kira-kira jam tiga pagi. Sepanjang perjalanan kata-kata Enab dalam salah satu postingnya di Fb sentiasa mengimbau dalam ingatan saya. "The feeling of being not been accepted by God" Kata-kata tersebut juga membuatkan Enab paling banyak menjelma dalam ingatan saya sepanjang berada di Tanah Suci.

Keinsafan yang timbul ialah.. kami datang menyahut seruan Pencipta dengan membawa dosa yang banyak. Bimbang sangat-sangat jika kehadiran kami tidak direstui. Pelbagai kisah misteri yang sempat dibaca sebelum ini menambahkan kegerunan di hati. Namun kami percaya bahawa Allah maha pengampun, maha pengasih dan maha penyayang. Air jernih mula menitis.

Sebelum berlarutan ingin ditegaskan di sini bahawa penulisan ini tidak bermaksud apa-apa selain daripada untuk mencatatkan pengalaman yang sempat dilalui. Bagi mereka yang telah pernah ke sana, malah berkali-kali anggaplah tulisan ini sebagai imbasan kembali.

LAR, SSAK, Zali, Kakcik Mariani, CTN, Enab, DJA, MCC, Hj Salim malah ramai lagi semuanya telah pernah ke sana. Terbaru rasanya ialah Molah pada bulan April lepas.

Sementara yang belum pernah ke sana saya akan berasa teramat syukur sekiranya tulisan ini dapat menimbulkan sedikit keinginan kalian untuk ke sana.


    
Selepas subuh. Kali pertama dalam hidup saya memakai jubah.


Jangan percaya kepada kata-kata bahawa pergi ke sana tidak ada apa-apa. Pergi ke sana serupa sahaja, solat di mana-mana tempatpun sama. Pergi dulu dan rasai kelainanya dalam serba serbi.. Di sana pasti tidak sama dengan di tempat-tempat lain.

Sebagai contoh, jika berdoa setulus hati dengan penuh keinsafan bahawa segala-galanya adalah atas kehendak Allah, maka ramai yang terkejut kerana doa tersebut dimakbulkan sepantas kilat sebelum sempat kita mengerdipkan mata. Menitis lagi air jernih dari kelopak mata.

Saya terasa bersyukur sangat kerana hajat untuk ke sana bersama keluarga akhirnya tercapai. Pelbagai halangan, visa, cuti yang tak serentak, duit yang tidak pernah cukup, keluarga yang tidak sihat, diri sendiri yang kurang bersedia dan macam-macam lagi, akhirnya apabila kami sekeluarga berada di sana, maka saya kira itu juga sebagai satu nikmat. Alhamdulillah.

Ramai kawan-kawan saya yang telah ke sana, seorang berdua ada yang membuat catatan perjalanan tersebut namun dikalangan warga SMBK rasanya tidak ada yang menulis di blog ini walaupun Kakcik Mariani sebenarnya boleh menceritakan kisah2 menarik yang beliau lalui di sana.


Muka comeh berhampiran Rhaudah..
  
Sebenarnya perjalanan selama 8 jam dari KLIA ke Madinah adalah memenatkan walaupun hanya duduk-duduk sahaja dalam kapal terbang itu. Saya dan keluarga berada di tingkat atas sepanjang penerbangan lalu saya membayangkan suasana saya sama seperti suasana Presiden Barack Obama. Kuranglah sikit rasa gementar.

Sesekali kapten kapal memaklumkan bahawa ketinggian pesawat ialah 36,000 kaki, jika terhempas maka jadi debulah kami. Kelajuan pula tetap kekal 950kmj, jarak perjalanan meliputi sejauh lebih 7000km. Ramai yang tidur, tetapi saya berjaga sepanjang penerbangan. Buat apa??? zikir jelah mana yang ingat. Jika di rumahpun jam 3 hingga 3.30 pagi saya baru nak memadamkan lampu, itu rutin harian. Jadi bagaimana saya nak tidur dalam penerbangan tersebut.

Dikala orang sibuk nak turun dari pesawat, maka waktu itulah saya menguap berkali-kali dan terasa tersangat mengantuk. Anak-anak mengheret saya turun dari pesawat... hahaha.. goli ati den.


Wednesday, May 7, 2014


PENGUMUMAN 

BERITA WARGA SMBK 69/74

 REUNION KALI KE 4  SMBK 69/74 

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Ada pun reunion kali ini akan di adakan di Langkawi   

Tempat:  D BARON LANGKAWI 

Tarikh:     13, 14 dan 15 September 2014

                     (Sabtu, Ahad dan Isnin)

 

Semuga pihak warga SMBK bersedia dan membuat perancangan seawal-awalnya dari sekarang.

Aturcara dan berita seterusnya akan kami beritahu dari masa kesemasa melalui laman ini.

Untuk maklumat lanjut:

Sila hubungi:

Pengerusi: Encik Mohd Sharif Ahmad

Setiausaha: Puan Siti Shara A.Kadir

Bendahari:  Puan Latifah bt Abd Rahman

 

Sekian, terima kasih.

 

 SSAK

8/4/2014





 

Saturday, March 8, 2014

Walimatul Urus

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Dengan penuh kesyukuran di atas limpah kurnia dan rahmatnya kami


MD KANAFIAH BIN OTHMAN  &  BADARIAH BINTI HJ JAMALUDIN


Dengan rasa berbesar hati dan sukacitanya mempersilakan


RAKAN- RAKAN SMBK


Kemajlis perkahwinan anakanda kami


Mohammad Faiz bin Md Kanafiah

dengan pasangannya

Zaidatul Husna binti Haji Abdul Rahman


Pada hari Sabtu, 15 Mac 2014 bersamaan 13 Jamadil Awal 1435H

bertempat di:

DEWAN KOMPLEKS KEJIRANAN PRESINT 9, JALAN P9C/7, PRECINT 9, 62250 PUTRAJAYA

 



ATURCARA MAJLIS

JAMUAN MAKAN: 12.00TGH - 4.00PTG
MAJLIS BERSANDING:  1.00TGH.

Turut Mengundang:  seisi keluarga

Hubungi:   Pn Badariah binti Hj Jamaludin  - 0193795159
                 En. Md Kanafiah bin Othman - 0172781246


Saturday, February 8, 2014

KASIH IBU SEPANJANG HAYAT

Disalin Oleh Jokiden:

Ibu 100 tahun tabah jaga anak orang kurang upaya


Meliah Md. Diah menyuap nasi kepada Abd. Rahman Saud di rumah mereka di Kampung Bukit Nambua, Belimbing Kanan, Padang Terap, Kedah, semalam. - BERNAMA
PADANG TERAP 7 Feb. - Biarpun telah berusia 100 tahun, seorang ibu di Kampung Bukit Nambua, Belimbing Kanan di sini tabah menjaga anaknya yang berumur 62 tahun dan cacat anggota badan.

Lebih menyayat hati, warga emas itu, Meliah Md. Diah terpaksa menjaga anak bongsunya, Abd. Rahman Saud yang cacat sejak kecil akibat penyakit sawan.

Menurut Meliah, Abd. Rahman yang hanya mampu terbaring dan tidak boleh berjalan itu mengharapkan bantuan sepenuhnya daripada orang lain termasuk untuk mandi serta makan.

"Setiap hari saya akan mandikan dia, suapkan makanan kerana dia tidak boleh lakukan sendiri, kadangkala cucu saudara yang tinggal berhampiran sini turut membantu," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan negeri, Badrol Hisham Hashim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang hadir bagi menyampaikan sumbangan wang dan makanan kepada Meliah.

Turut hadir, Unit Komunikasi Korporat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kedah yang memberikan perkhidmatan memperbaharui kad pengenalan Abd. Rahman.

Meliah yang kini tinggal bersama Abd. Rahman mempunyai empat orang anak namun tiga daripada mereka telah meninggal dunia manakala suaminya meninggal dunia sejak 20 tahun lalu.

Kata Meliah, dia yang mengamalkan makan ulam-ulam hanya mengalami masalah pendengaran dan tidak menghidapi sebarang penyakit kronik atau sakit tua.

"Saya amat bersyukur kerana dikurniakan kesihatan yang baik dan masih mempunyai kudrat untuk menjaga Abd. Rahman yang memerlukan perhatian sepenuhnya.

"Andai kata satu hari nanti saya meninggal dunia dahulu, saya berharap saudara-mara yang ada dapat menjaga dia," ujarnya.

Sementara itu, Badrol Hisham berkata, beliau amat terharu melihat kasih sayang warga emas itu masih menjaga anaknya yang kurang upaya dan ia harus dijadikan pengajaran kepada masyarakat.

Ujar beliau, walaupun Meliah mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Zakat Negeri Kedah, namun pihaknya akan memastikan keperluan lain juga mencukupi.

Saya merenung potret di atas berulang kali. Bermacam perasaan menguasai hati saya. Saya cuba membayangkan kesukaran si ibu ini sejak berpuluh tahun dahulu. Saya mengkagumi sangat akan ketabahannya.

Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Si ibu berusia 100 tahun dan si anak yang sakit ini berusia 62 tahun. Mereka ini mungkin merupakan insan-insan terpilih. Tetiba sahaja saya meningati banyak perkara. Teringat kisah rakan-rakan yang kini sibuk menjaga kedua orang tua mereka. Teringat kisah ayah dan ibu yang tidak mendapat pembelaan yang sebenar dari anak yang mereka besarkan.. 
   



  



Friday, February 7, 2014

Walimatul Urus

MAJLIS PERKAHWIANAN

_______________________

Assalamualaikum Warahmatullah dan Salam Sejahtera

Dengan Izin Allah S.W.T. dan rahmatnya kami


MOHD TAHIR BIN KASSIM

&

SERIBANON BINTI MUSA


Dengan penuh kesyukuran ke hidrat Ilahi, kami dengan bebear hati dan sukacitanya mempersilakan

 

RAKAN-RAKAN SMBK


Ke Majlis Perkahwinan anakanda kami

@@@@@@@@

ABDUL SYAMIL BIN MOHD TAHIR

dengan

NUR AIN BINTI HAMIDI

@@@@@@@@

Pada

HARI AHAD, 23 FEBRUARI 2014

 BERSAMAAN  23 RABIULAKHIR 1435 HIJRAH

@@@@@@@@

bertempat di

DATARAN GEMILANG,

 SEK. MEN. SRI ANDALAS

TAMAN SRI ANDALAS, 41200 KLANG, SELANGOR.


**************************************************

ATURCARA MAJLIS:


Jamuan Makan:   11.30pagi - 4.00ptg
Ketibaan Pengantin: 1.00tghari

******************************************************


NO. TELEFON:

MOHD TAHIR    :  0192865078



Semoga dengan kehadiran Tuan/Puan akan menambah seri lagi majlis ini serta diberkati Allah hendaknya.
InshaAllah.


Assalamualaikum Warahmatullah dan Salam Sejahtera

Dengan izin Allah S.W.T dan rahmatnya Kami

**********************

YUSOFF BIN IBRAHIM 

dan

SITI SHARA BT A.KADIR

***********************


Dengan penuh kesyukuran ke hadrat Ilahi dengan segala hormatnya mempersilakan


SEMUA RAKAN-RAKAN SMBK 

kemajlis perkahwinan putera kami yang di kasihi

*************************************

AHMAD YUSDI BIN YUSOFF   
dengan pasangannya
HAZEIRA BINTI ABDUL AZIZ

*************************************

Pada hari Sabtu 1 Mac 2014 bersamaan 29 Rabiul Akhir 1435 Hijrah

____________________


Bertempat di
Ballroom, Komplek Belia & Sukan Paroi
70400 Seremban, Negeri Sembilan Darul Khusus.
_____________________

Aturcara Majlis
Jamuan Makan 12.00 tghari - 4.00ptg
Ketibaan Pengantin 1.00tghari

_________________________________________

Semoga dengan kehadiran serta doa restu hadirin
 akan menyerikan lagi majlis kami serta diberkati Allah S.W.T.
Terima Kasih


Sila Hubungi

Yusoff      :   0192643833
Siti Shara :   0133563911