GAMBAR EDISI TERBARU

GAMBAR EDISI TERBARU
Kekal bersama...selamanya.
Showing posts with label Mecca. Show all posts
Showing posts with label Mecca. Show all posts

Friday, June 27, 2014

PENGORBANAN KELUARGA.

Oleh Jokiden:


   
Menikmati ice cream di Jabar Rahmah pun terasa seronoknya.


Catatan Perjalanan Ke Tanah Suci ini mungkin berakhir di sini, panjang dah kisahnya. Kecualilah jika ada hal-hal menarik yang saya teringat dan perlu dikongsikan dengan rakan-rakan, mungkin saya akan sambung juga. Jika tidak cukup sampai di sini saja...

Bukan mudah sebenarnya untuk dapat serentak berada bersama keluarga di Tanah Suci. Memanjang ada alasan dan rintangan, namun kuasa Allah, syukur kerana telah mengizinkan kami. Sokongan keluarga isteri dan keluarga saya  dalam pelbagai bentuk amatlah menyintuh perasaan dan tidak sesuai dicatatkan di sini.

Ahli keluarga mungkin lebih gembira daripada kami. Mungkin mereka juga lebih bimbang daripada kami. Kami dibekalkan dengan duit, dengan pakaian, dengan buku, dengan doa, dengan nasihat dan motivasi dan sebahagian besar mengiringi kami dengan linangan airmata. Ah sayu juga hati, namun tekad sudah bulat dan "panjang umur kita berjumpa lagi.."

Jika saya tidak menuliskan di sini sebagai suatu kenangan yang sepatutnya kekal dalam ingatan saya, tentang pengorbanan keluarga, maka mungkin saya termasuk ke dalam golongan orang-orang yang tidak tahu bersyukur.

Saya bersyukur, malah amat bersyukur dengan segala pengorbanan keluarga saya. Isteri dan anak-anak saya amat memahami masalah saya dan mereka memberikan perhatian yang sepenuhnya. Kepada semua, kepada isteriku suamimu ini amat menghargai segala sumbangan baktimu semasa berada di sana. Kepada anak-anakku, ayahmu tiada secebis komplen.

Sehari sebelum pulang ke tanah air, saya lihat keluarga saya seolah-olah berada di dalam keadaan yang stress sangat. Bersolat di ruang atas tingkat dua Masjidil Haram, Afiq dan Qawiyy di sebelah kiri saya, Bang Ngah di sebelah kanan, wajah mereka jelas tidak ceria. Kusam dan muram atau murung.

Menyaksikan keadaan itu, saat-saat akhir pula saya berdoa sepenuh hati kepada Allah swt agar mengembalikan kegembiraan dan keceriaan anak-anak saya. Mereka tidak tahu apa doa saya, tetapi mereka menyaksikan betapa air mata saya merembes keluar tanpa dapat di tahan-tahan. Ketika itu saya merasakan amat menyayangi mereka semua.

Seperti kilat doa saya dimakbulkan Allah. Beberapa minit selepas itu, selesai bersolat, isteri saya datang kepada kami dan dia melihat kesan-kesan air jernih di pipi saya. Apa yang kami saksikan ialah ketiga-tiga anak bujang kami kembali ceria dengan wajah yang berseri-seri.

Saya memberitahu isteri saya bahawa sebelum solat tadi ketiga-tiganya kelihatan murung dan tertekan, saya tidak tahu apa puncanya. Dengan penuh rasa kesyukuran saya dan isteri meneruskan agenda sendiri dan anak-anak kami meneruskan agenda masing-masing. Sementara itu Kaklong dan Dik As berada di hotel, tidak turut bersama kami kerana kedua-duanya uzur.


   
Awal tahun lepas CTN di sana


Bersama rakan-rakan ahli rombongan yang lain semasa berada di sana amat membantu dan menggembirakan. namun bersama ahli keluarga ia sangat-sangat menakjubkan. Segala-galanya kami lakukan bersama dengan penuh semangat, teruja dan seronok. 

Mundar mandir, ke hulu ke hilir bersama anak-anak mencari ruang solat yang sesuai di dalam masjid amat menggembirakan kami. Ada waktunya kami terlewat juga tiba di masjid. Pernah juga bersolat di atas tangga di tengah panas di depan pintu yang telah tertutup kerana kami terlewat.

Pernah juga sekali bersolat di Dataran sahaja kerana kami tidak dapat masuk. Pada hari Jumaat pula kami diberitahu agar ke masjid tidak lewat daripada pukul 10 pagi jika mahukan tempat di dalam MH. Kami patuhi nasihat tersebut, namun ketika kami sampai semua ruang di dalam sudah di penuhi dan selama 1 jam 20 minit kami berlegar mencari tempat untuk bersolat. Gagal. Akhirnya kami mendapat tempat berhampiran tempat saie.

Baju dan pakaian saya isteri yang uruskan sama seperti ketika kami di tanah air. Selipar saya, sejadah kecil saya dan botol air minuman saya semuanya di uruskan oleh anak-anak. Saya hanya menyarungkan kaki dan melangkah. Tempat untuk bersolat mereka yang carikan. Air zam-zam setiap kali saya minum anak-anak saya yang ambilkan. Mereka benar-benar berbakti kepada ayahnya. Bang Ngah, Afiq dan Qawiyy berebut-rebut untuk menjaga ayahnya. Jika jubah tidak betul mereka segera membetulkan.

Ihram saya mereka yang pakaikan. Setelah keadaan saya sempurna barulah mereka menguruskan diri mereka pula. Beg dan name tag saya mereka yang ingatkan. Di Masjid Nabi saya bawa rokok, qawiyy yang uruskan tempat menyimpannya. Di Masjidil Haram saya tidak membawa rokok, namun apabila singgah minum di D' Saji atau makan ais kerim di tepi jalan, saya akan berusaha untuk mendapatkan rokok dari pekerja di situ.


   
Penyerang Chelsea Demba Ba yang berasal dari Senegal, berada di Masjid Nabawi ketika rakan-rakannya berada di Brazil untuk Piala Dunia 2014


Sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam semuanya anak-anak saya yang ambilkan. Jika saya nak makan di bilik mereka bawakan ke bilik. Jika kami makan di hotel, saya hanya duduk sahaja dan mereka yang ambilkan. Saya tidak ada peluang untuk beratur seperti orang lain.

Masa berlalu begitu pantas sehinggakan apabila diberitahu bahawa esoknya kami akan berangkat pulang, kami seolah-olah terkejut.. "Eh copek ea nak balik.." Segala-galanya indah di sana. Segala-galanya mengasyikan. Sepanjang masa hati terhibur dan berasa seronok. Hanya sekali dua saya terasa berdebar-debar bimbang entah apa, namun saya segera memohon kepada Allah agar memberikan kekuatan dan ketenangan. Tidak lama hanya sekadar untuk beberapa minit perasaan tenang dan indah kembali kepada saya.

Kecualilah orang itu seorang penulis terkenal, selain daripada itu rasanya tidak ada yang mampu untuk menggambarkan menerusi tulisan betapa suasana di sana begitu asing, begitu indah, begitu manis dan syahdunya. Saya tidak mampu. Lagipun pengalaman berada di sana tidak sama antara satu sama lain.

Pertama kali melihat Kaabah secara nyata, dan ketika ingin berdoa wajah pertama yang muncul di depan mata saya ialah wajah anak buah saya dari Palong. Along Besar kemudian diikuti satu persatu saudara mara yang lain. Hairan juga saya kenapa wajah dia yang pertama muncul, tidak wajah ibu dan wan atau abang saya.

Di Masjid Nabawi seperti yang saya pernah tulis wajah rakan kita kakcik yang pertama muncul. Syukur saya mengingati semuanya termasuk Wahab dan Zaharin dari Lumut Perak. Doa saya semuga semuanya menikmati kehidupan yang indah dan segera serta kerap kali di jemput oleh Allah menjadi tetamuNya. Wajah Enab dan MCC sering muncul dalam ingatan, sementara nama Hawa kerap kali saya sebut. Muga kesemuanya mendapat perkenan Allah jua.

Esok  kita akan menyambut kedatangan Ramadan yang penuh barakah. Bulan ini segala amalan kita akan memperolehi ganjaran berlipat kali ganda, Insya Allah. itu janjiNya. Mari kita gunakan sebaik mungkin. Saya berbisik kepada keluarga saya bahawa, kita baru sahaja berada di bumi yang penuh barakah dan kini kita dipertemukan pula dengan bulan Ramadan yang mulia. Lakukan beberapa perkara iaitu solat berjemaah, membaca Al Quran, berdoa sepenuh hati dan bersedekah. Selebihnya kita serahkan kepada Allah.


   
Ada orang membantah pembesaran ini, atas alasan untuk mengekalkan struktur yang lama. 100 tahun dahulu jumlah tetamu Allah hanya sekitar 10,000 pada musim haji, kini jumlahnya melebihi 5 juta. Bagaimana mungkin para jemaah akan berasa selesa dan selamat jika tidak ada usaha pembesaran ini.


Sebaik-baik sedekah ialah sedekah pada bulan Ramadan. Berilah apa sahaja yang kita mampu termasuk senyuman yang menyenangkan dan berkata-kata dengan kata-kata yang baik. Istimewanya solat sunat Tarawih, hanya ada di bulan Ramadan.

Saya sangat teruja menanti kedatangan Ramadan. Rutin tahunan saya sejak sejak dahulu ialah menyaksikan sembahyang sunat tarawih dari Masjidil Haram atau Masjid Nabawi. Saya tidak pernah ketinggalan walau untuk satu malam dan saya tidak pernah merasa mengantuk dan saya tidak pernah merasakan masa saya terbuang untuk menuntunnya.

Kali ini mungkin ada kelaian sedikit, di mana sambil menuntun saya juga mungkin tercari-cari tempat di mana pernah meletakkan dahi ini di sana, bersujud kepada Illahi.

Sebelum catatan ini berakhir, saya ingin menyebutkan bahawa rombongan kami juga di bawa melawat telaga zam-zam. Bukit Uhud, Gua Hiraq, Gua Tsur dan banyak lagi tempat. Melihat ketinggian tempat-tempat bersejarah ini, tidak terbayang oleh kita betapa 1400 tahun dahulu Rasulullah dan para sahabat mampu menghadapi segala kesukaran ketika itu. Mungkin kesukarannya terutama ketika menyelamatkan diri dari buruan Kafir Quraish adalah berkali ganda daripada yang kita dapat bayangkan.


  
Yang berjiwa kental mampu sampai ke atas sana..





Sekarang ada anak tangga, 1400 tahun dahulu bagaimana???



Berulang alik dari Gua Hiraq ke kediaman Baginda untuk menerima wahyu dari Allah adalah sesuatu yang manusia biasa tidak mungkin sanggup melakukannya. Mendaki bukit yang tinggi sehingga ke 5000 kaki tentulah amat mencabar kudrat kita.

Berada di tempat-tempat bersejarah ini sebenarnya tiada nilai jika dibandingkan dengan sesuatu yang lain termasuk wang ringgit. Sesiapa yang berkemampuan, pergilah ke sana dan alami sendiri sesuatu yang asing yang sungguh indah. Pengalaman yang pastinya tidak akan kita temui di tempat lain.


  
Ini pun sebenarnya menyebabkan kita akan berasa rindu untuk ke sana lagi. Air zam zam yang percuma, minumlah semaunya.

Berjuta cawan plastik digunakan pada setiap hari.


Sesiapa yang telah pergi ke sana, berdoalah dan berhasratlah supaya dapat pergi lagi. Sesiapa yang sihat dan mempunyai banyak wang, pergilah kerap kali kerana tiada ruginya berkunjungi ke bumi suci tersebut. Jika sibuk dan tiada masa, maka carilah ruang yang sesuai dan ziarahlah ke Makam Rasulullah, Masjid Nabawi dan Masjidil Haram. Di sana ada kedamaian yang mutlak sekiranya kita benar-benar menyerahkan diri kepada Allah swt. 

Kota Mekah dan Madinah adalah Kota Makmur, itu janji Allah. Saya hanya ingin berkongsi tentang perniagaan pengangkutan di sini. Terdapat beribu-ribu buah bas yang besar yang sentiasa bersedia untuk mengangkut para jemaah dari satu tempat ke satu tempat. Agaknya ini merupakan salah satu perniagaan yang menguntungkan.

Industri bas ini juga menyedikan peluang pekerjaan yang banyak untuk warga tempatan dan mungkin juga warga asing. Selalu digembar gemburkan bahawa para pemandu dengan sengaja mengurangkan tahap kedinginan hawa di dalam bas. Hanya setelah diberi sedikit tip atau sagu hati barulah udara benar-benar nyaman di dalam bas.

Saya tidak tahu namun mutawif kami kerapa kali memohon maaf kerana pendingin udara di dalam bas kurang berfungsi. Pernah kami sedang memakan ihram, namun keadaan sangat panas dan tidak selesa. namun kami iaitu kumpulan saya tidak mengadu atau komplain atau komen. Kami terima seadanya dan tip juga tidak ada diberikan. 

Selamat Berpuasa kepada semua pembaca blog ini, mohon ampun dan maaf sekiranya ada yang tidak kena dengan selera kalian. Semuga Ramadan kita kali ini lebih baik daripada yang lepas-lepas.


Saturday, June 7, 2014

INDAHNYA TANAH SUCI INI - PART TWO

Oleh Jokiden:


  




Masjid Nabi dan Masjidil Haram menjadi tumpuan jemaah dari seluruh dunia. Saya berdoa kepada Allah untuk menikmati kebesaranNya setiap kali memasuki ke dua-dua masjid ini. Saya asyik. Apa yang kita lihat usah di komen atau ditegur walaupun di dalam hati. Lihat sahaja dan nikmati. Seperti yang saya sebutkan awal dahulu, rasanya kesemua mereka yang berada di sana adalah mendapat keampunan dan rahmat Allah. Lalu siapa kita untuk memberikan komen, atau untuk mengadilinya. 

Segalanya akan menjadi bertambah indah apabila kita menyerahkan kesemuanya kepada Allah swt. Bukan sedikit yang berpakaian compang camping dan tidak terurus sambil kyusuk melakukan solat. Di Masjid Putra Jaya atau Masjid Wilayah Persekutuan jemaah di sekitar kita akan merasa pelik sekiranya terlihat ada jemaah yang menangis teresak-esak atau mengeluarkan air mata dalam renungan yang sayu sambil menadah tangan berdoa. Mungkin ada yang akan berkata di dalam hati "entah siapalah saudara mara dia yang meninggal dunia ni.."

Pengalaman di sana jauh berbeza. Tidak ada sesiapa yang memperdulikan sesiapa. Menagislah semaunya, orang sebelah tidak akan berkata apa-apa. Biasa kita lihat di kiri dan kanan kita orang mengalirkan air mata tanpa emosi. Di sana kita merasakan diri kita tersangat kerdil.

Kita tidak tahu siapa yang sedang mengalirkan airmata di sebelah kita, mungkin bekas penyangak tegar yang sedang bertaubat kepada Illahi, mungkin yang sedang bersujud di sebelah kita adalah seorang jutawan. Mungkin yang sedang bermunajat di samping kita ialah saudara mara atau kerabat diraja yang merendah diri. Mungkin juga mereka terdiri daripada orang yang paling miskin dari sebuah kampung pendalaman dari sebuah negara Afrika. Mana kita tau.

Satu waktu itu saya ditegur oleh seseorang di sebelah saya sambil menghulurkan tangan. "Anak dari mana..?" tanyanya. Sepantas kilat saya tahu dia orang Malaysia dan saya mengatakan saya Jokiden dari Seremban, NSDK. Badannya kurus dan wajahnya memang telah uzur. Mengikut katanya ini kali ketiga dia berada di situ, sekali haji dan dua kali umrah. Usianya 80 tahun berasal dari Jengka Pahang. "Ini mungkin kedatangan pakcik yang terakhir ke sini, usia telah lanjut.." Katanya sayu membuatkan saya terkedu. Alhamdulillah.

Semasa menjamu selera, teh tarik dan roti canai di Restoren D' Saji di Safwa Tower saya bertemu dengan jemaah dari Perak. Seorang berusia 67 tahun dan seorang lagi 73 tahun. Mereka mengatakan itu adalah kali pertama menjejak kaki ke Tanah Suci. Juga Alhamdulillah. Saya ingin memberi jaminan bahawa menikmati teh tarik dan roti canai di sana jauh lebih nikmat daripada mana-mana lokasi di negara kita ini. Bukan rasa makanannya yang enak yang mendatangkan nikmat, tetapi suasananya yang sukar dinyatakan. Sekurang-kurangnya saya mengalami keadaan itu. 

Di kedua-dua Masjid ini jika kita merasakan ibadat kita sudah cukup sempurna, ketahuilah ada beratus ribu lagi jemaah lain yang lebih sempurna ibadatnya. Jika kita merasakan doa kita sudah cukup banyak, percayalah ada beratus ribu lagi yang berdoa lebih banyak daripada kita.

Jika kita merasakan zikir kita sudah banyak sangat, ada beribu-ribu lagi yang berzikir melebihi kita. Jika kita merasakan kita paling damai di sana, ada beribu-ribu lagi yang lebih damai dan syahdu daripada kita.

Jika kita merasakan diri kita paling malang dalam hidup ini di sana ada beribu-ribu lagi yang lebih malang daripada kita. Jika kita merasakan kita paling bahagia, maka ada beribu-ribu lagi jemaah yang lebih bahagia daripada kita. Sebab itu di sana kita adalah kita dan kita tidak sama dengan jemaah yang lain. Keinsafan ini membuatkan suasana menjadi semakin indah di dua Kota Suci ini.

Di Masjid Nabi, apabila tiba waktu sembahyang fadhu, jemaah akan berduyun-duyun ke masjid dan diwaktu pulang juga begitu. Perjalanan sehala. Sementara di Masjidil Haram perjalanan selama 24 jam adalah dua hala. Di kala beribu-ribu jemaah menuju ke Masjid untuk menunaikan solat fardhu, maka terdapat beribu-ribu juga yang menentang arus pulang dari Masjid menuju ke hotel masing2.

Kita tidak tahu hanya Allah yang maha mengetahuinya. Sebagai cotoh rombongan jemaah kami menyisiri Masjidil Haram ketika azan Maghrib bergema. Kita di bawa terus ke Hotel, daftar masuk dengan pakaian ihram masih di badan, ambil kunci bilik dan bersembahyang di bilik. Kira-kira jam 11 malam setelah semuanya selesai kami di arahkan untuk pergi menunaikan tawaf dan saie. Maka ketika kami menuju ke Masjid dengan ribuan jemah lain yang memakai ihram, maka mereka yang baru selesai menunaikan fardhu Isyak, berduyun-duyun pula pulang ke hotel. Situasi begini berlaku 24 jam sehari mengikut dari distinasi mana kita datang. Itu juga satu keindahan di Kota Suci ini.

Dikala kumpulan kami dan juga kumpulan-kumpulan lain selesai mengerjakan tahalul hampir jam dua pagi, kami berjalan pulang ke hotel. Dikala itu kami berselisih dengan jemaah yang berpakaian ihram berjalan menghala ke masjid pastilah untuk bertawaf dan mengerjakan rukun saie. Ada juga yang berjalan menuju ke masjid dengan pakaian biasa atau berjubah, maka itu tentunya mereka yang ingin segera mencari tempat sebelum masuk waktu subuh. Begitulah sentiasa setiap waktu yang sempat saya saksikan. Cuma bezanya ada waktunya jalan terlalu sesak dan ada waktunya agak longgar.

Seterusnya banyak lagi keindahan yang akan diceritakan nanti..

  



Friday, June 6, 2014

INDAHNYA TANAH SUCI INI - PART ONE

Oleh Jokiden:


   
Gambar diambil dari tingkat atas, mungkin dua tahun lagi akan siap sepenuhnya. 


Jadual ziarah dan Umrah adalah padat. Fokus tidak boleh lari. 12 hari yang perlu di menafaatkan sebaik mungkin. Tempat tumpuan adalah dua iaitu Masjid Nabi di Madinah dan Masjidil Haram atau Baitullah di Mekah. Lawatan ke tempat-tempat lain amatlah terhad. Pakej juga tidak esklusif sangat.

Yang dapat disaksikan di dua Kota ini ialah tanah gersang yang berbukit-bukit dan batu-batu pejal. Jalan yang sempit dan berlopak-lopak kecuali Lebuh Rayanya. Habuk di serata tempat dan pembangunan di sana sini termasuk pembesaran Masjidil Haram yang mungkin dua tahun lagi akan siap sepenuhnya.

Bunyi kenderaan yang bersimpang siur dan bunyi krane dalam pembinaan tidak pernah sunyi 24 jam, seperti irama dan lagu. Kenderaan yang bersaiz besar kelihatan beratus-ratus di mana-mana jalan lalu menjadikan semua laluan jam sepanjang masa. Untuk melihat kelibat motor pula mungkin 10 jam baru kelihatan sebiji. Motor di Madinah dan Mekah ibarat antah di dalam beras. Perniagaan topi keledar memang merugikan di sana, tiada sesiapa yang ingin memakainya.

Habuk yang banyak, di kelilingi oleh bukit-bukit batu, bangunan yang berjerait rapat, tiada pantai, tiada padang atau taman yang menghijau dan tiada rimbunan pokok-pokok, maka di mana indahnya berada di dua kota ini????

Saya teringat kata-kata MCC, kali pertama dia memandang Kaabah, hatinya tersentuh, jiwanya cair dan airmatanya mengalir laju. Dia terpaku dan tidak bergerak untuk seketika. Itulah antara kecantikan atau keindahan berada di sana.

Kali pertama pula saya melihat Kaabah secara nyata di depan mata, tumpuan saya terganggu oleh ceramah atau penerangan oleh Mutawif atau pemandu ziarah yang bertanggung jawab untuk membantu kami pada malam pertama UMRAH tersebut.

Dalam keghairahan dia bercerita saya sebenarnya ingin segera untuk memulakan tawaf bersama ribuan jemaah lain kerana tidak mahu urusan wajib itu terganggu. Namun oleh kerana telah bertekad untuk akur dan mematuhi segala arahan maka saya hanya merenung sayu ke arah Kaabah sambil memasang telinga mendengar apa yang diperkatakannya dalam loghat Kelantan yang pekat sehingga sukar bagi kami hendak memahaminya.

Saya mula merasakan keindahan di dalam hati apabila berada di sana. Kaabah yang tersergam gagah dikelilingi oleh ribuan manusia dari seluruh pelusuk dunia yang melakukan tawaf menjadikan ia tersangat indah. Memandang sesuatu yang hitam di dalam Masjidil Haram adalah mendapat pahala, lalu memandang Kaabah maka amat besar ganjarannya.

Jika bertahun-tahun dahulu melihat ribuan manusia mengelilingi Kaabah atau sedang bersolat di bawah payung di Masjid Nabi atau ke sana ke mari mencari tempat untuk bersolat menerusi kaca TV saya amat teruja dan kagum. Kini pemandangan itu saya tatap secara terus dan tidak syak lagi ia adalah pemandangan yang sangat indah.

Di tanah air amat jarang saya dapat melihat anak-anak saya tekun membaca Al Quran kecuali di majlis kematian saudara mara, namun di dua Masjid ini saya menyaksikan betapa tekun, khusyuk dan asyiknya mereka membaca Al Quran. Itu pemandangan yang sangat indah kepada saya dan hati saya tersangat sayu melihatnya dan saya kerap kali mengalirkan air mata.

   Photo: Mungkin potret ni akan kekal lamo dlm ingatan..
Mereka lakukan sendiri tanpa perlu saya menyuruhnya.

Kedudukan hotel kami dengan Masjid adalah kira-kira 300 meter di Madinah dan di Mekah. Sepanjang perjalanan pergi dan pulang ke Masjid kami dipayungi oleh ratusan burung merpati dan ada kalanya ribuan yang terbang laju. Rezeki burung ini tersangat murah kerana sentiasa diberi makan oleh para jemaah. Rezeki para peniaga kacang dan gandum juga murah.

Seorang darinya menawarkan kepada saya dua bungkus dan isyarat tangannya jelas menunjukkan dua dan harganya 5SR. Saya keluarkan duit dari poket dan bila dia melihat duit ditangan saya, harga terus berubah. Dia hanya memberi satu bungkus, halal.. halal, katanya dan terus mendesak saya membayar 10SR untuk dua bungkus. Dia tersilap orang, saya menolak, dia tidak melepaskan bungkusan dia dan saya tidak melepaskan duit saya. Akhirnya dia mencerabih dan melepaskan dua bungkus sambil berkata bakhil...bakhil.. bakhil.. Sebungkus untuk saya dan sebungkus lagi untuk Bang Ngah, kami menjamu burung dan meneruskan perjalanan ke Masjid.

Terlihat burung merpati saya pasti tersenyum dan teringatkan MCC. Dia pernah merasa hairan dengan jumlah burung merpati yang sangat banyak tersebut dan hatinya tertanya-tanya di manalah burung2 tersebut membuang najisnya kerana burung itu makan tanpa henti. MCC mendapat jawapan kepada pertanyaan yang hadir dalam hatinya itu sebelum dia sempat berpaling iaitu burung itu terus menjatuhkan najisnya ke atas kepalanya. Kisah itu menyebabkan MCC paling banyak datang dalam ingatan saya sepanjang di sana dan saya sentiasa berhati-hati agar tidak mempunyai soalan-soalan pelik ketika melalui kawasan burung-burung itu.

Apa lagi keindahan yang kita dapat saksikan ketika berada di sana??? Pakaian orang Arab ialah jubah. Lelaki dengan pelbagai warna sementara perempuan kebanyakannya berjubah hitam dan putih. Para jemaaah dari seluruh dunia mau tidak mau terpaksa teruja dengan pakaian jubah tersebut.

Saya gatal mulut bertanya kepada peniaga di sana, jubah datangnya dari mana? Selamba je mereka menerangkan Arab Saudi tidak mempunyai produk sendiri untuk dijual. Hampir kesemua barang jualan datang dari negara asing.

Jubah diimport dari Vietnam dan Iran. Sementara itu barang buatan dari China, Turky dan India berlambak-lambak di setiap kedai. Di sana dalam cuaca panas terik mencecah 46 C, orang selamba je memakai jubah, tidak langsung kelihatan rimas atau tidak selesa. Itulah kelebihan kota suci Mekah dan Madinah. Sekali lagi saya berpesan kepada sesiapa yang akan ke sana, tidak perlu membawa jubah dari sini kerana di sana kalian tidak akan mampu menahan selera daripada membeli dan memakainya.

   
Nampak tu,semua pakai jubah kecuali Jokiden dan seorang lagi.


  

Monday, June 2, 2014

PERJALANAN KE TANAH SUCI

Oleh Jokiden:
Bersama Abdul Qawiyy.. di Masjid Nabawi
   

17 Mei 2014 saya dan keluarga dengan izin Allah jua telah ke Tanah Suci Madinah dan Mekah untuk menunaikan UMRAH. Perjalanan dari KLIA ke Madinah mengambil masa selama 8 jam 10 minit. 5 petang kami mendaftar masuk dan pesawat berlepas jam 6.50 ptg. Sebelum berlepas Kapten Nasir Yussof membaca doa. Kami mengaminkan, mohon perjalanan kami selamat. Hati tidak boleh berbohong, kisah kehilangan MH370 tetap menjelma dalam ingatan di saat kapal hendak berlepas.

Segalanya tenang selepas itu, cuma sesekali pesawat terasa bergoyang. Biasalah Kapten akan memberitahu cuaca tidak beberapa baik.

Jam 10 malam lebih kurang pesawat selamat mendarat di Lapangan Terbang Madinah. Waktu Malaysia ialah kira-kira jam tiga pagi. Sepanjang perjalanan kata-kata Enab dalam salah satu postingnya di Fb sentiasa mengimbau dalam ingatan saya. "The feeling of being not been accepted by God" Kata-kata tersebut juga membuatkan Enab paling banyak menjelma dalam ingatan saya sepanjang berada di Tanah Suci.

Keinsafan yang timbul ialah.. kami datang menyahut seruan Pencipta dengan membawa dosa yang banyak. Bimbang sangat-sangat jika kehadiran kami tidak direstui. Pelbagai kisah misteri yang sempat dibaca sebelum ini menambahkan kegerunan di hati. Namun kami percaya bahawa Allah maha pengampun, maha pengasih dan maha penyayang. Air jernih mula menitis.

Sebelum berlarutan ingin ditegaskan di sini bahawa penulisan ini tidak bermaksud apa-apa selain daripada untuk mencatatkan pengalaman yang sempat dilalui. Bagi mereka yang telah pernah ke sana, malah berkali-kali anggaplah tulisan ini sebagai imbasan kembali.

LAR, SSAK, Zali, Kakcik Mariani, CTN, Enab, DJA, MCC, Hj Salim malah ramai lagi semuanya telah pernah ke sana. Terbaru rasanya ialah Molah pada bulan April lepas.

Sementara yang belum pernah ke sana saya akan berasa teramat syukur sekiranya tulisan ini dapat menimbulkan sedikit keinginan kalian untuk ke sana.


    
Selepas subuh. Kali pertama dalam hidup saya memakai jubah.


Jangan percaya kepada kata-kata bahawa pergi ke sana tidak ada apa-apa. Pergi ke sana serupa sahaja, solat di mana-mana tempatpun sama. Pergi dulu dan rasai kelainanya dalam serba serbi.. Di sana pasti tidak sama dengan di tempat-tempat lain.

Sebagai contoh, jika berdoa setulus hati dengan penuh keinsafan bahawa segala-galanya adalah atas kehendak Allah, maka ramai yang terkejut kerana doa tersebut dimakbulkan sepantas kilat sebelum sempat kita mengerdipkan mata. Menitis lagi air jernih dari kelopak mata.

Saya terasa bersyukur sangat kerana hajat untuk ke sana bersama keluarga akhirnya tercapai. Pelbagai halangan, visa, cuti yang tak serentak, duit yang tidak pernah cukup, keluarga yang tidak sihat, diri sendiri yang kurang bersedia dan macam-macam lagi, akhirnya apabila kami sekeluarga berada di sana, maka saya kira itu juga sebagai satu nikmat. Alhamdulillah.

Ramai kawan-kawan saya yang telah ke sana, seorang berdua ada yang membuat catatan perjalanan tersebut namun dikalangan warga SMBK rasanya tidak ada yang menulis di blog ini walaupun Kakcik Mariani sebenarnya boleh menceritakan kisah2 menarik yang beliau lalui di sana.


Muka comeh berhampiran Rhaudah..
  
Sebenarnya perjalanan selama 8 jam dari KLIA ke Madinah adalah memenatkan walaupun hanya duduk-duduk sahaja dalam kapal terbang itu. Saya dan keluarga berada di tingkat atas sepanjang penerbangan lalu saya membayangkan suasana saya sama seperti suasana Presiden Barack Obama. Kuranglah sikit rasa gementar.

Sesekali kapten kapal memaklumkan bahawa ketinggian pesawat ialah 36,000 kaki, jika terhempas maka jadi debulah kami. Kelajuan pula tetap kekal 950kmj, jarak perjalanan meliputi sejauh lebih 7000km. Ramai yang tidur, tetapi saya berjaga sepanjang penerbangan. Buat apa??? zikir jelah mana yang ingat. Jika di rumahpun jam 3 hingga 3.30 pagi saya baru nak memadamkan lampu, itu rutin harian. Jadi bagaimana saya nak tidur dalam penerbangan tersebut.

Dikala orang sibuk nak turun dari pesawat, maka waktu itulah saya menguap berkali-kali dan terasa tersangat mengantuk. Anak-anak mengheret saya turun dari pesawat... hahaha.. goli ati den.


Monday, March 7, 2011

KENANGAN DI TANAH SUCI - PART 2

Kota Madinah aman dan tenteram.  Susun atur bangunan dan landscaping sangat menarik. Cuaca masa itu di akhir musim sejuk. Terasa macam suhu di Genting. Masjid Nabawi sangat indah dan bersih. Pertama kali masuk dan bersembahyang di Masjid Nabawi hati saya penuh dengan kekaguman tentang senibena masjid tersebut.  Alangkah tenteram jiwa berada dalam masjid yang menjanjikan 50,000 pahala beribadat di dalamnya.
.
Menziarahi Makam Rasullah dan berdoa di Raudah sangat mengharukan jiwa. Tak tertahan air mata mengalir. Segalanya amat sempurna.
.
Sebelum bertolak saya yang demam teruk tetapi bila sampai ke Madinah isteri saya pulak jatuh sakit. Dia demam dan ada kesan bintik-bintik di lengannya. Masyaallah denggikah dia....  kebimbangan yang tersangat saya rasakan. Isteri saya meminta di bawa ke hospital. Pihak hotel bermurah hati memanggil ambulan dan isteriku dibawa ke hospital berdekatan.
.
Walaupun hospitalnya kecil tapi layanannya sangat memuaskan. Sampai di hospital isteri saya dibawa terus ke bilik kecemasan dan diberi rawatan sertamerta tanpa menunggu apa-apa. Berbeza sungguh dengan rawatan di hospital kerajaan di negara kita. Lebih kurang sejam isteri saya selesai dimasukkan air (drip) dan nampak lebih bertenaga. Syukur.......  yang paling memeranjatkan saya semua rawatan yang diberikan termasuk ambulan adalah percuma.

Berada di tanah haram Madinah tidak saya sia-siakan. Setiap waktu solat di masjid dan tentunya sampai awal. Saya dapat mengunjungi Makam Rasulullah beberapa kali dan menyampaikan salam dari kawan-kawan di Malaysia. Juga bersolat di Raudah merupakan satu yang saya anggap paling istimewa.

Hari berlalu terlalu cepat. Sampai masanya akan meninggalkan kota di mana jasad Rasulullah bersemadi. Saya sekali lagi mengunjungi Makan Rasullullah untuk mengucapkan selamat tinggal dan berdoa supaya ini bukanlah kali pertama dan terakhir mengunjungi makam Rasulullah.

Selepas Zohor dan siap berihram di hotel saya dan ahli jemaah meninggalkan kota Madinah menuju Makah. Berhenti sebentar di masjid Qiblaitini (dua kiblat) untuk berniat ihram untuk mengerjakan umrah. Ketika kalimat "Talbiah" dilaungkan saya tidak dapat menahan kepiluan. Air mata bercucuran turun tanpa dapat saya tahan. Terasa kecilnya kita di bawah kuasa Tuhan  yang Maha Agung. Basah hujung kain ihram saya dengan air mata.

Jam 10.00 malam sampai di Makkah. Selesai urusan di hotel mutawif memandu kami mengerjakan tawaf. Hati saya diruntun resah. Apakah saya dapat menatap Kaabah? Terasa diri begitu hina dan banyak dosa. Saya berdoa : " Ya Allah.... hambamu datang kepadamu dengan dosa yang banyak. Hambamu tidak layak berada di rumahmu yang agung ini. Namun aku datang untuk membersihkan semua dosaku ya Allah. Terimalah kehadiranku di rumahmu yang Agung ini. " Aku menundukkan muka masuk kedalam Masjidil Haram. Tidak berani aku mendongakkan muka memandang Kaabah. Mutawif mengarahkan kami menggangkat muka dan menatap Rumah Allah buat pertama kali.

"Ya Allah...  Subhanallah.....  Allahuakbar......"  saya bagai menjerit kegembiraan dengan rasa kekaguman. Kaabah tersergam di depan mata saya. Binaan empat persegi itu saya tatap dengan penuh kekaguman. Seterusnya melakukan tawaf  dengan sempurna. Setiap kali keliling disertai dengan cucuran air mata. Isteri saya dibantu oleh mutawif wanita melakukan tawaf di tengah ribuah manusia yang bertawaf. Syukur isteri saya tabah dan sabar menahan tenaga walaupun saya tahu dia tidak berapa "fit".

Melakukan saie saya rasa sangat memenatkan. Berjalan 7 kali ulang alik dari bukit Safa dan Marwah membuatkan beberapa bahagian kaki saya telah mula merasa sakit namun digagahi. Akhirnya seletah bergunting rambut (tahalul) maka selesailah Umrah Wajib saya. Ya Allah...  betapa indahnya pengelaman ini. Selain dari umrah pertama di atas saya dapat mengulangi 3 kali lagi umrah pada hari-hari berikutnya.
BERSAMBUNG.................    Ismail Mad Isa