GAMBAR EDISI TERBARU

GAMBAR EDISI TERBARU
Kekal bersama...selamanya.
Showing posts with label Dr Rashidi. Show all posts
Showing posts with label Dr Rashidi. Show all posts

Monday, June 13, 2011

MULA BERTUGAS

Salam sahabatku semua,
Setahun yang lalu saya bagaikan bercuti, kebanyakan masa duduk di rumah sambil membuat penyelidikan. Sekali-sekala keluar mencari data di Lembah Kelang, Kelantan, Terengganu, Balai-Balai seni Lukis, Muzium Seni dan menemubual pakar-pakar dalam bidang tasauf. Cukup seronok berbual dan meneliti pemikir-pemikir tasauf kerana jelas pemikiran mereka terlalu tinggi hingga terkadang dilihat luar biasa. Pengamal-pengamal tasauf dari negara jiran turut menyumbang dan cukup seronok dapat memiliki sedetik waktu bersama mereka. Bagi mereka hidup cukup mudah jika ada keyakinan bahawa kita milik Allah sepenuhnya. Hidup cukup aman jika yakin Allah beserta kita. Bergaul bersama mereka menjadikan dunia ini mudah, aman dan indah.

Esok, saya akan mula memberi syarahan 2 jam sehari di UiTM Melaka. 2 orang calon PhD dan 2 orang calon MA sedang menunggu di Shah Alam untuk penyeliaan penyelidikan dan tesis. Pastinya sibuk. Namun itulah jihad seorang suami dalam usaha mencari rezki untuk anak-anak dan isteri. Kehidupan masih diberkati tanggungjawab yang besar. Belum dapat untuk berlabuh rihat seperti CT Normah atau Zainab Idris. Apapun segalanya, pastinya seronok.

Untuk itu, rasanya, blog ini akan sedikit sunyi dari diri saya. Kepada semua sahabat, diharap dapat memahami situasi.

Sejak bulan Januari lalu, saya cukup seronok dan terharu. Dapat melepas rindu dan mengembalikan nostalgia bersama sahabat-sahabat zaman persekolahan. Sepanjang 6 bulan lalu adalah masa yang sangat bermakna dan sangat indah. Senda gurau, usik mengusik, sakat menyakat masih segar di antara kita. Sharif, MD, LAR,AJA, ISHS, CCapit, SSAK, NSR dan yang lain yang tak sempat saya rakamkan di sini, terima kasih dan saya berasa cukup seronok kerana setiap hari dapat melihat apa yang terpapar pada Blog kita ini. Cikgu Zain Haji Rais, terima kasih atas segalanya.

Pertemuan pada september ini, jadikan realiti. Saya pastinya hadir kecuali Allah menegah kehadiran saya pada hari itu.

Esok bermulalah tanggung jawab akademik, berwatak ilmuan, berfikir cendekiawanan, berkata tajam, menghurai teori-teori untuk meningkatkan pemikiran pelajar dan calon-calon sarjana Melayu.

Allah pastinya beserta, segalanya akan jadi gembira.

Jumpa lagi....tetapi tak dapat nak selalu begini....

Dr. Ahmadrashidi Hasan
UiTM Melaka.

Thursday, May 26, 2011

KENANGAN LALU 7

Jeram Tengkek, Md Shah, Sharif dan Ganja
Apa yang saya paparkan kali ini agak berbeza, namun hakikatnya, pengalaman adalah  guru yang paling baik.

Pada zaman persekolahan kita di SMBK, wabak gejala dadah baru bermula.  Ganja. Heroin dan Morfin belum dengar lagi.  Merokok dilarang di sekolah, walau bagaimanapun, ada juga yang melakukannya dalam tandas, dalam bas atau di perhentian bas. Dulu kita ditakutkan dengan rokok, kononnya, menghisap merokok akan membawa kepada menghisab dadah (menurut arwah Cik Gu Yunus Ali). Apapun, mungkin kerana ketakutan itu kita terselamat dari bencana dadah, Alhamdulillah.

Cuti bulan April, 1973, saya telah diajak oleh sahabat untuk berkhemah di Jeram Tengkek. Antara yang kuat menegajak saya pergi ialah Md Shah, kini Pegawai PPD Jempol dan Sharif. Yang dua lagi ialah Gan (bukan nama sebenar) dan Run (juga bukan nama sebenar).

Kami berbasikal ke Jeram Tengkek. Saya berseorangan dari Juaseh dan menemui Run di Batu Kikir. Kami berdua meneruskan perjalanan ke Padang Lebar dan menemui Sharif, Md Shah dan Gan dalam perjalanan. Kami berlima pun berkayuh ke Jeram Tengkek. Pagi itu hujan renyai. Jalan berlopak dan dipenuhi air. Sampai di satu tempat, basikal saya terperosok dalam lubang mengakibatkan tayarnya bocor. Oleh kerana tempat berkenaan sudah hampir dengan Jeram Tengkak, kami meneruskan perjalanan dengan menumpang Run sambil memegang basikal.

Sampai di Jeram, Md. Shah yang handal dengan ilmu pengakapnya memberi arahan dan mengepalai situasi. Maka tercapailah hajat untuk berkhemah. Mandi sepuas-puasnya, masak, makan, menyanyi, menelurusi hutan dan macam-macam kami buat.  Seronok dan cukup indah kenangan itu jika dibayangkan hari ini. Bila malam tiba, kami tidur dalam 2 buah khemah, Saya tidur dengan Run dan yang 3 orang lagi dalam sebuah khemah. Kerana keletihan saya terlena awal.

Larut malam, atau mungkin sudah masuk pagi, saya terjaga dan dapati Run tidak berada di sebelah saya. Saya terdengar hilai ketawa kawan-kawan di khemah sebelah. Mereka bercerita pengalaman masing-masing. Bila saya  amat-amati apa yang saya dengar, perkara yang mereka bualkan bukanlah sesuatu yang kelakar atau jenaka yang harus diketawakan, tetapi hairan saya, mereka ketawa berdekah-dekah, entah apa yang mereka ketawakan sebenarnya pun tak tahu malah timbul kehairanan bagi diri saya.  Mereka bertanya sesama sendiri soalan-soalan yang mudah-mudah seperti nama ikan dan nama pokok. Apa sahaja jawapan yang diberikan, mereka akan ketawa berdekah-dekah dengan jawapan itu. Saya bangun dan terus ke khemah sebelah untuk menyertai kegembiraan kawan di sebelah. Md Shah cepat-cepat memberi isyarat kepada saya agar tidak mencampuri sahabat yang mengilai ketawa malamnya. ‘Kau tak faham ni doh!’ celah Sharip yang turut melarang saya memasuki khemah. Run dan Gan ketawa berdekah-dekah, tergolek-golek sambil memegang perut dalam khemah bila Sharif cakap ‘kau tak faham’ tu. Saya pun berasa pelik, kenapa Md Shah dan Sharif menegah saya menyertai kumpulan berkenaan dan kenapa mereka gila ketawa begitu. Sehinggalah saya tertidur semula, yang saya ingat mereka terus mengilai ketawa sambil bercerita yang bukan-bukan.

Esoknya, saya bangun awal dan menyiapkan sarapan. Saya didatangi Md Shah dan dia menerangkan apa sebenarnya berlaku pada malamnya. Barulah saya tahu, rupa-rupanya hilai ketawa sahabat-sahabat dalam khemah itu adalah akibat khayal akibat menghisab ganja. Itulah pengalaman pertama saya menyaksikan kelakuan orang akibat menghisab ganja.

Kami meneruskan aktiviti perkhemahan pada hari berikutnya. Memancing, ngoca, memanggang menjadi sebahagian aktiviti yang sangat menyeronokkan. Peristiwa malam sebelumnya itu sedikitpun tidak menjejaskan hubungan kami. Masing-masing menyimpan cerita itu pada diri sendiri. Kami pulang petang keesokan harinya dengan menumpang Bas Malay Transport (sekali dengan basikal) sehingga Padang Lebar. Di Padang Lebar, kebocoran tayar basikal saya dibaiki dan terus pulang ke Juasseh. Satu pengalaman yang sangat indah. Seronok.

Md Shah dan Sharif, terima kasih atas segala pengalaman itu. Terima kasih atas kenangan itu. Kenangan itu masih segar dalam ingatan saya malah menjadi salah satu kenangan yang menjadikan ikatan persahabatan ini begitu kukuh dan kuat. Kerana pengalaman inilah saya mengelakkan diri dari merokok apalagi menghisab hisapan yang terlarang. Sampai hari ini saya tidak merokok.

Perkhemahan kali pertama itu tidak berakhir di situ. Semasa saya bertugas sebagai guru si SMBK dari 82 – 86, setiap tahun saya akan membawa pelajar saya berkhemah dan melukis di Jeram itu. Dan setiap kali saya ke Jeram itu, bila memandang tapak tempat kita berkhemah, kenangan ini akan terus bermain di kepala. Indahnya zaman persekolahan kita. Hari ini, jika saya ke Jeram Tengkek, tapak perkhemahan itu tetap akan menjadi kenangan manis zaman remaja kami.

Jeram, Tengkek, Md Shah Sharif dan Ganja, satu pengalaman yang tidak dapat saya lupakan.

Saturday, May 14, 2011

TERLEPAS PELUANG UNTUK BERSAMA

Salam,

Hari ini sepatutnya menghadiri majlis sahabat kita Rubiah sekeluarga. Sayang, keadaan tidak mengizinkan. Walaupun tak dapat bersama, namun hati saya di sana bersama kawan-kawan di sana. Seronok membayangkan dapat bersama semula, berjumpa, bertemu dan bersembang kisah lama. Gelak ketawa, kenangan dan nostalgia.

Walaupun terlepas keadaan itu, keredhaan pada tanggung jawab ini mensejahterahkan.

Salam buat Rubiah dan keluarga. Maaf tak dapat turut serta.

Sunday, May 8, 2011

This Year Is My 25th Anniversary.


Ok Kawan, Nak tengok sangat! This is my wedding picture.19th July 1986, and this year is my 25th Anniversary.  Persandingan hanya dibuat di rumah pihak perempuan. Rumah saya buat kenduri doa selamat sahaja. Tarikhnya bersamaan cuti sempena Hari Keputeraan DYMM Yang dipertuan Besar Negeri Sembilan. 

I fell in love with my cousin, first cousin anak Pak Long. 'Love at first sight'. Bila tengok dia lawa, cuba nak mengorat, rupa-rupanya anak Pak Long. Sebabnya lama sangat tak jumpa. Last jumpa dia masa umurnya 4 tahun. Lepas tu terpisah. Jumpa balik masa umur dia 16 tahun. Tengok cun, cuba mengorat. Kantoi!! Anak Pak Long. Langsung jadi.

Namun, Alhamdulillah. 25 tahun melayari hidup dalam keindahan dan  kesyukuran. 

Dr. Ahmad Rashidi