Setahun yang lalu saya bagaikan bercuti, kebanyakan masa duduk di rumah sambil membuat penyelidikan. Sekali-sekala keluar mencari data di Lembah Kelang, Kelantan, Terengganu, Balai-Balai seni Lukis, Muzium Seni dan menemubual pakar-pakar dalam bidang tasauf. Cukup seronok berbual dan meneliti pemikir-pemikir tasauf kerana jelas pemikiran mereka terlalu tinggi hingga terkadang dilihat luar biasa. Pengamal-pengamal tasauf dari negara jiran turut menyumbang dan cukup seronok dapat memiliki sedetik waktu bersama mereka. Bagi mereka hidup cukup mudah jika ada keyakinan bahawa kita milik Allah sepenuhnya. Hidup cukup aman jika yakin Allah beserta kita. Bergaul bersama mereka menjadikan dunia ini mudah, aman dan indah.
Esok, saya akan mula memberi syarahan 2 jam sehari di UiTM Melaka. 2 orang calon PhD dan 2 orang calon MA sedang menunggu di Shah Alam untuk penyeliaan penyelidikan dan tesis. Pastinya sibuk. Namun itulah jihad seorang suami dalam usaha mencari rezki untuk anak-anak dan isteri. Kehidupan masih diberkati tanggungjawab yang besar. Belum dapat untuk berlabuh rihat seperti CT Normah atau Zainab Idris. Apapun segalanya, pastinya seronok.
Untuk itu, rasanya, blog ini akan sedikit sunyi dari diri saya. Kepada semua sahabat, diharap dapat memahami situasi.
Sejak bulan Januari lalu, saya cukup seronok dan terharu. Dapat melepas rindu dan mengembalikan nostalgia bersama sahabat-sahabat zaman persekolahan. Sepanjang 6 bulan lalu adalah masa yang sangat bermakna dan sangat indah. Senda gurau, usik mengusik, sakat menyakat masih segar di antara kita. Sharif, MD, LAR,AJA, ISHS, CCapit, SSAK, NSR dan yang lain yang tak sempat saya rakamkan di sini, terima kasih dan saya berasa cukup seronok kerana setiap hari dapat melihat apa yang terpapar pada Blog kita ini. Cikgu Zain Haji Rais, terima kasih atas segalanya.
Pertemuan pada september ini, jadikan realiti. Saya pastinya hadir kecuali Allah menegah kehadiran saya pada hari itu.
Esok bermulalah tanggung jawab akademik, berwatak ilmuan, berfikir cendekiawanan, berkata tajam, menghurai teori-teori untuk meningkatkan pemikiran pelajar dan calon-calon sarjana Melayu.
Allah pastinya beserta, segalanya akan jadi gembira.
Jumpa lagi....tetapi tak dapat nak selalu begini....
Dr. Ahmadrashidi Hasan
UiTM Melaka.