Ibu 100 tahun tabah jaga anak orang kurang upaya

Meliah  Md. Diah  menyuap nasi kepada
  Abd. Rahman Saud  di rumah mereka di Kampung Bukit Nambua, Belimbing 
Kanan, Padang Terap, Kedah, semalam.  - BERNAMA
 PADANG TERAP 7 Feb. - Biarpun telah berusia 100 
tahun, seorang ibu di Kampung Bukit Nambua, Belimbing Kanan di sini 
tabah menjaga anaknya yang berumur 62 tahun dan cacat anggota badan.
Lebih menyayat hati, warga emas itu, Meliah Md. Diah terpaksa menjaga
 anak bongsunya, Abd. Rahman Saud yang cacat sejak kecil akibat penyakit
 sawan.
Menurut Meliah, Abd. Rahman yang hanya mampu terbaring dan tidak 
boleh berjalan itu mengharapkan bantuan sepenuhnya daripada orang lain 
termasuk untuk mandi serta makan.
"Setiap hari saya akan mandikan dia, suapkan makanan kerana dia tidak
 boleh lakukan sendiri, kadangkala cucu saudara yang tinggal berhampiran
 sini turut membantu," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di 
sini hari ini.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, 
Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan negeri, Badrol 
Hisham Hashim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang 
hadir bagi menyampaikan sumbangan wang dan makanan kepada Meliah.
Turut hadir, Unit Komunikasi Korporat Jabatan Pendaftaran Negara 
(JPN) Kedah yang memberikan perkhidmatan memperbaharui kad pengenalan 
Abd. Rahman.
Meliah yang kini tinggal bersama Abd. Rahman mempunyai empat orang 
anak namun tiga daripada mereka telah meninggal dunia manakala suaminya 
meninggal dunia sejak 20 tahun lalu.
Kata Meliah, dia yang mengamalkan makan ulam-ulam hanya mengalami 
masalah pendengaran dan tidak menghidapi sebarang penyakit kronik atau 
sakit tua.
"Saya amat bersyukur kerana dikurniakan kesihatan yang baik dan masih
 mempunyai kudrat untuk menjaga Abd. Rahman yang memerlukan perhatian 
sepenuhnya.
"Andai kata satu hari nanti saya meninggal dunia dahulu, saya berharap saudara-mara yang ada dapat menjaga dia," ujarnya.
Sementara itu, Badrol Hisham berkata, beliau amat terharu melihat 
kasih sayang warga emas itu masih menjaga anaknya yang kurang upaya dan 
ia harus dijadikan pengajaran kepada masyarakat.
Ujar beliau, walaupun Meliah mendapat bantuan daripada Jabatan 
Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Zakat Negeri Kedah, namun 
pihaknya akan memastikan keperluan lain juga mencukupi.

