GAMBAR EDISI TERBARU

GAMBAR EDISI TERBARU
Kekal bersama...selamanya.

Thursday, February 16, 2012

SUKA DUKA 22 JANUARI 2012 PART TWO

Oleh:
Jokiden.
Kisah Satu


SAYA DAN BAPA SAUDARA SAYA
Berulang alik ke hospital untuk mengziarahi atau menjaga saudara mara yang sedang sakit adalah merupakan satu tugas ‘berat’ Kita berhadapan dengan pelbagai rintangan bermula daripada kerenah jaga penjaga parking, jaga yang menjaga pintu lift, pelawat yang sering mementingkan diri, jururawat yang bermuka masam sehinggalah pemandangan yang menyesakan nafas di dalam wad-wad yang penuh dengan pesakit-pesakit.
Kekuatan mental sebenarnya amat diperlukan sekiranya kita berhasrat untuk pergi ke mana-mana hospital. Saya sering berpesan kepada sesiapa sahaja, supaya menyayangi keluarga kita melebihi orang lain dalam semua segi. Saranan ini kerana sejak lama dulu saya memerhatikan sekiranya kita jatuh sakit yang kerap berada menemani kita atau berulang alik ke hospital melawat kita ialah keluarga terdekat kita.
Saya mengkagumi SSAK, suami dan anak-anak beliau dalam urusan menjaga saudara mara yang sedang sakit ini. Sejak lama dulu mereka sekeluarga berkorban masa, waktu dan wang ringgit demi mempastikan keluarga tersayang mendapat pembelaan. Ketika saya menulis ini pun SSAK sedang berada di hospital Selayang mengziarahi abang longnya. Dia berada di situ sejak Isnin dan mungkin hingga Jumaat seperti yang diberitahunya kepada saya. Dia juga menyara seorang orang gaji warga Indon khas untuk menjaga abang dan kakaknya yang sakit. “berapa you bayar Indon tu..” suatu hari saya bertanya. “RM1,000.00 sebulan, dua orang rm2,000.00” Kata SSAK. “Mak oi!!! Banyak tu, elaun I sebagai part time driver kepada isteri I pun tak sampai banyak tu..”
Itulah pengorbanan SSAK dan keluarganya. Saya tabik kepadanya. Rakan-rakan SMBK ramai yang mengetahui kisah SSAK ni. Begitu juga dengan pengorbanan Salim yang menjaga bapanya di hospital sejak beberapa lama dulu. Semuga orang-rang yang kita sayangi cepat sembuh dan kembali bersam kita dalam kehidupan seharian.
Hospital merupakan tempat yang saya cuba elakan untuk pergi dulu kini dan selamanya. Bukan sahaja disebab oleh kekangan seperti yang saya sebutkan di atas, lebih daripada itu, denyutan nadi saya selalunya berjalan laju stiap kali memasuki kawasan hospital. Cemas!!!!
Melihat keadaan pesakit di dalam mana-mana wad saya selalunya menjadi pening dan hendak pitam terutama di wad kecemasan apabila ambulan menurunkan pesakit. Memasuki ICU atau CCU pulan menyebabkan mata saya berpinau dan hendak tumbang. Pelik tetapi benar, saya tidak pernah melawat sesiapa sahaja dari kalangan keluarga saya ketika mereka berada di wad bersalin. Sungguh saya terasa teramat malu untuk ke situ. Kekecualian hanyalah ketika isteri saya melahirkan zuriat kami. Syukur saat itu telah berlalu.
Pengalaman berada di hospital ini adalah banyak terutamanya apabila saya tidak mempunyai pilihan. Ketika uwan Serak diusia lanjutnya menjalani pembedahan gastric di hospital Seremban saya berada di situ sepanjang masa, tidur dalam kereta setiap malam. Hati berat untuk meninggalkan kawasan hospital.
Ketika abang saya diserang demam dinggi selama seminggu dia berada di dalam wad, saya juga pagi petang berada di sana. Ketika ibu saya dimasukan ke wad, saya pastilah  bermastautin di situ, biar seribu kali dimaki hamun oleh jaga-jaga di sana. Namun hendak meninggalkan dia tidak sekali-kali. Faham sangat saya bagaimana tensionnya ketika berada di mana-mana hospital ini.
Ketika bapa saudara saya menjalani pembedahan jantung di HUKM sebulan sebelum bulan Ramadhan 2011 yang lalu, kebanyakan masa saya adalah di sana. Hampir tiga minggu dia berada di HUKM dan saya memberikan sokongan moral kepadanya sepanjang masa. Apa lagi yang kita mampu lakukan apabila orang-orang yang kita sayangi berada di wad? Ziarah, motivasi dan doa. Selebihnya urusan para Doktor, jururawat dan Allah swt.
Mengingati  kembali detik bapa saudara saya menjalani pembedahan ketika itu menyebabkan jiwa saya menjadi sayu. Dia menjalani pembedahan jantungnya selepas waktu subuh, isteri dan anak-anaknya semuanya berada di sisinya ketika itu. Dikalangan keluarga lain hanya saya dan anak bujang saya. Jam 5 pagi saya dan anak saya tiba di sana dan selepas solat kami membaca surah yassin di bilik wadnya itu diketuai oleh beliau sendiri. Dikeheningan subuh, bacaan sebenarnya diiringi dengan sedu sedan dan air mata…selebihnya doa.
Selepas pulih dari pembedahan, kehidupan bapa saudara saya kembali normal. Dia seorang yang amat berdisplin dan semua saranan doctor dituruti tanpa soal. Jangan berpuasa, dia ikut. Buat latihan ringan jasmani, dia ikut, jangan makan makanan yang terlalu pedas dan berlemak, dia ikut. Jangan bawa kereta selama tiga bulan dia ikut. Satu-satunya yang dia mungkin tidak ikut ialah saranan supaya sembahyang duduk, dia tetap sembahyang berdiri.
Pernah sekali di dalam wad, ketika dia lambat sedar,  saya dan isteri ketika itu berada di sisinya melihat mata yang sudah beberapa hari tidak terbuka dan kita sebenarnya risau, anak sulungnya berbisik ke telinganya “bah, cepat sembuh nanti boleh sembahyang..”  mungkin perkataan itu seperti halilintar kepadanya lalu dia membuka mata bebera saat dan ada sedikit senyuman..
Sepanjang hidupnya seuatu yang dia tetap lakukan walaupun dengan segala kepayahan ialah menunaikan solat lima waktu sehari semalam dan berpuasa Ramadan.. he never miss it. Sembahyang juga sesuatu yang dia tidak akan berkompromi dengan isteri dan anak-anaknya. Puluhan kali dia merunggut kepada saya tentang perkara tersebut. Jika berlaku perselisihan faham antara dia dan keluarganya ialah sebab kelalaian menunaikan solat dan puasa.
Bapa saudara saya mempunyai seribu kelemahan sama seperti insan-insan lain, namun sesuatu yang kami sanjung dia ialah ketaatannya terhadap perintah Allah tersebut. Sesekali dia memimpin majlis-majlis doa keluarga kami. Bacaanya tepat dan suaranya sedap didengar apabila membaca surah-surah lazim. Saya kini merindui suara tersebut untuk selama-lamanya.
Nama bapa saudara saya ialah Abas bin Jais, adik emak saya yang ketiga. Lahir pada 22 Ogos 1943, di Majau, berhampiran kampong Tok Lombago. Selalu sakit masa kecil, lalu namanya ditukar kepada Abu, nama Abas hanya kekal dalam kad pengenalan. Seluruh penduduk kampong mengenalinya sebagai Abu. Kami memanggilnya acek Abu, separuh memanggilnya sebagai ateh Abu. Anak-anak cucu memanggilnya Tok C, singkatan kepada misi atau nurse, kerana masa anak buah saya lahir dia sibuk di hospital dan berurusan dengan misi-misi atau nurse di sana. Panggilan itu melekat sehingga hari ini. Dia memanggil saya ujang…
Walupun tidak ditunjukan secara berlebihan, hubungan saya dengan dia sebenarnya amat rapat. Hanya dalam hal-hal tertentu sahaja kami membuat keputusan masing-masing tanpa merujuk antara satu sama lain, selebihnya kami sering berbincang dan mencari penyelesaian bersama. Yang menjadi sebutan dia ialah, kemana saya dan keluarga pergi melancung, dia akan di bawa serta.
Semasa kami bercuti ke Pulau Pinang pada 24 dan 25 Disember 2011 yang lalu, dia juga sepatutnya ikut bersama. Pada pagi Jumaat sehari sebelum bertolak ke Penang pada pagi Sabtu dia menghubungi saya..”Acek domam dan tak dapek ikut kau poie Penang doh..”  Katanya hampa. “Tak po, lain kali sok kito poie…” Jawab saya untuk menyedapkan hatinya, tanpa sedikitpun terdetik di hati ini bahawa ‘lain kali’ itu tidak akan datang lagi.
Waktu kecilnya banyak dihabiskan di rumah ayahnya di Majau, biasalah orang zaman dahulu mempunyai isteri merata-rata. Apabila Jais, ayahnya yang juga atuk saya meninggal, dia kembali ke Kg Ghalib, Sg Jelutong dan tinggal bersama kami.
Acek Abu  anak uwan Serak, Ibu kepada Serak ialah Imbam binti Nahu. Adik kepada Imbam ialah Wahab binti Nahu. Maknanya uwan Serak ialah anak buah Wahab. Salah seorang anak Wahab berkahwin dengan kakak MD (Kakcik) kekal hingga ke hari ini. Maknanya saya dan MD sudah tergolong dalam satu keluarga besar. Itu sekadar makluman sahaja..
Bapa saudara saya atas bantuan beberapa orang dan bersama-sama dengan beberapa orang rakan dari Kg Ghalib akhirnya melanjutkan pelajaran ke Sek Ugama Menengah Tinggi di Seri Menanti. Hanya itu Sekolah yang ada ketika itu. Tanpa ayah, hanya kudrat ibu tunggal, seorang abang dan kakak iaitu emak saya sebagai penjaganya atau pemberi nafkah, kehidupan bapa saudara saya di Seri Menanti sering menghadapi kesukaran.
Dia seorang pelajar yang pintar, warak, namun sering menjadi cemuhan pelajar lain atas serba kekurangan beliau. Saya pernah beberapa kali mengikut uwan serak melawat beliau di Sek Ugama Menengah Tinggi tersebut dan pernah berpeluang memasuki tingkat atas istana lama tersebut kerana kunci ‘kawasan terlarang’ itu dipegang oleh salah seorang orang kampong saya yang di lantik sebagai ketua.
Kegagalan uwan serak menjelaskan yuran peperiksaan yang hanya RM15 ketika itu, menyebabkan bapa saudara saya tidak menduduki peperiksaan akhir. Mengikut kisahnya dia sebenarnya dibenarkan menduduki peperiksaan tersebut oleh pihak sekolah setelah berunding dengan uwan Serak secara rahsia. Namun apabila dia mendapat tahu, perasaan rendah diri dan malu menyebabkan dia merajuk dan meninggalkan sekolah. Semua rakan-rakan seangkatan dengan beliau yang menduduki peperiksaan tersebut akhirnya menjadi Ustaz seperti Ustaz Hassan, Utz Mohamad, Utz Yaakob, Utz Rahman Deli dan termasuklah cikgu kita Ustaz Ayub Yassin dari lonek tersebut yang merupakan kawan baik dia.
 Nasib tidak menyebelahi beliau dan bapa saudara saya dalam usia remajanya memulai hidup berdikari di kampong. Pelbagai jenis pekerjaan dilakukannya seperti menjual buah-buahan, durian, petai, langsat, jadi penoreh getah, menjual kuih apam balik dan menjual ikan. Selaku anak buah kepadanya saya turut terlibat dalam kesemua pekerjaan yang beliau lakukan. Kami pernah ke Segamat atau Gemas awal pagi dan balik lewat malam untuk menjual petai. Itu berlaku berkali-kali sewaktu saya masih kecil.
Dia berjaya membeli basikal buruk untuk tujuan berniaga, namun saya dilarang menggunakannya. Kemudian dia berjaya pula membeli sebuah motor, saya juga dilarang menyintuhnya sama sekali. “Rosak nanti…” itulah ayat keramatnya sepanjang masa.
Saya sentiasa akur, kehidupan kami sekeluarga sesungguhnya amat perit. Tidak ada keselesaan dalam ertikata sebenarnya. Mengimbau kembali waktu itu, seluruh ahli keluarga terlibat dalam mendapatkan sumber kewangan walau kami dalam usia mentah. Uwan Serak mengambil upah, ibu saya mengambil upah dan menoreh getah orang, Harga telur ayam sebiji waktu itu cuma lima sen, harga durian sekati lima belas sen, harga getah sekati cuma dua puluh sen. Upah yang diperolehi sekadar cukup untu keperluan harian sahaja.
Bergaduh dan berselisih faham dengan bapa saudara saya adalah perkara biasa saban hari. Mak dan Uwan Serak sering memendam rasa. Kini semua hanya tinggal kenangan. Bapa saudara saya telah kembali ke Rahmatullah pada saat kita sedang menyambut Malam Nostalgia SMBK-Back To 1974. Tanggal 22 Januari 2012 akan kekal lama dalam ingatan. Suka Duka Jokiden pada tarikh tersebut. Setelah dia pergi, kini saya masih teringatkan saat-saat akhir kami bersama.. Semuga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya..amin!!.. alfatihah

Kepada sesiapa sahaja yang mempunyai orang-orang tersayang, sayangilah mereka sepenuh hati dan zahirkan kasih sayang tersebut sementara peluang masih ada. Peluang dan ruang untuk berkasih sayang sebenarnya amat terbatas  dan kita tidak akan merasa puas...
Akan Bersambung ke Kisah Dua Insyaallah

3 comments:

  1. Jokiden, terharu hati membaca nukilan benar darimu..agak agak ese kenal tak dengan pak sedaro u tu...cubo masukkan gambar aruah dalam dlm blog ni nk tengok I kenal ke tidak..

    Untuk makluman bapa Salim Sharif telah pun kembali kerahmatullah tiga minggu lepas..saya juga menziarahi aruah dirumah emak Salim dkampung Jerjak. Saya lihat kesugulan Salim dan keluarganya atas kehilangan ayahanda tercintanya. Saya tk berani menegur Salim kerana saya tau Salim mungkin sedang bersedih dan terlalu sebuk menguruskan pengkebumian aruah bapanya..Alfatihah untuk saudara2 kita yang telah kempbali kepadaNya..semoga roh2 mereka dicucuri rahmat..Amin...MD

    ReplyDelete
  2. Assalam,

    Alhamdullilah abang Long sei dah keluar hospital, sekarang ada kek ghumah, jadi seilah nurse dan seilah doktor pulak. Apa2 pun apa yg Jokiden ckp tu, memang boto, sei kagum gak ngan die, kerana die sgt prihatin bab2 kekeluargaan ini. Sikap die yg menyayangi ahli keluarga dia mcm emak die, uwan serak dan paksedaro die tu, saya selalu perhatikan sifat tanggungjwb yg diberikan kepada mereka yg disayanginya, begitu juga terhadap keluarganya sendiri kepada
    isteri dan anak2nya. Sepatutnya kita ikut contohnya ini.

    Kisah bapa saudara yg telah kembali ke rahmatullah itu pun saya nmpk die terlalu komited, saya perasan die memang sayang kpd srwah tu, tapi apakan daya semuanya kepunyaan yg esa, dr die kita dtg kepada die kita dikembalikan. Al Fatihah...Amin...

    Saya terbayang pd malam Reunion 22 Jan 2012 tersebut Jokiden begitu tabah menghadapi keadaan tersebut, walaupun ramai diantara kita yg tak tahu keadaan sebenar dimana beliau bersikap bersahaja sedangkan hatinya sayu, hiba yg teramat sgt. beliau tetap menunggu hingga ke saat akhir acara kita pd malam itu. Saya amat terharu dan terkedu bila diberitahu keadaan sebenarnya. Apa2 pun semuanya telah berlalu....walau apa pun ucapan jutaan tkasih kpd beliau atas segala usaha2nya telah berjaya pd mlm itu.

    SSAK

    ReplyDelete
  3. Ucapan takziah juga sei ucapkan kepada kwn kita Hj Salim kerana kembalinya arwah bapanya ke rahmatullah, semuga rohnya berada bersama-sama dengan org2 yg beriman dan diampuni segala dosa2nya. Al Fatihah....Amin.


    SSAK

    ReplyDelete