Oleh: Jokiden.
Parlimen secara rasminya dibubarkan pada hari ini untuk memberi ruang kepada PRU13  mengambil tempat. Ayuh! rakan-rakan SMBK, mari kita menjalan dan menunaikan tanggung-jawab kita sebagai warga negara. Mari kita mengundi dan pilihan kita adalah rahsia peribadi.
PRU-13: Ucapan PM berhubung pembubaran Parlimen

PENDUDUK Taman Kobena menonton pengumuman  pembubaran Dewan Rakyat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang  disiarkan secara lansung menerusi televisyen ketika tinjauan di Bilik Gerakan  Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Kobena, Senawang, Negeri Sembilan hari ini. -  BERNAMA
KUALA LUMPUR 3 April - Berikut ucapan penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib  Tun Razak bagi mengumumkan pembubaran Parlimen, di Putrajaya hari ini.
Sehubungan dengan itu, selaras dengan  Perlembagaan Persekutuan, Baginda  telah pun  memperkenankan bagi Parlimen Ke-12  dibubarkan berkuatkuasa hari  ini
Sehubungan dengan itu, saya menasihatkan  kepada ketua-ketua kerajaan negeri  yang  berkenaan untuk mengadap ketua-ketua negeri  mereka bagi mendapat perkenan  pembubaran  DUN masing-masing agar pilihan raya umum  dapat diselaraskan secara  serentak di seluruh  negara.
Rakyat Malaysia yang dikasihi.
Hari ini empat tahun  lalu, pada tanggal 3 April 2009, saya telah  mengangkat  sumpah untuk memikul amanah  serta tanggungjawab sebagai PM negara  Malaysia  yang tercinta. 
Dalam tempoh tersebut saya bersama-sama  TPM, anggota jemaah menteri dan  anggota  pentadbiran yang lain telah pun dengan segala  ikhtiar dan upaya,  mencetuskan dan  melaksanakan pembaharuan serta perubahan  berpaksikan kepada  falsafah 1 Malaysia, rakyat di  dahulukan, pencapaian diutamakan serta dipandu   oleh Dasar Transformasi Nasional.
Dalam tempoh 4 tahun yang lepas, rakyat  Malaysia telah dapat mengalami dan  menyaksikan  sendiri bagaimana program, perancangan serta  dasar transformasi  nasional yang melibatkan  program transformasi kerajaan, ekonomi, politik  dan  sosial telah dilaksanakan dan seterusnya  membuahkan hasil dalam meningkatkan   kesejahteraan hidup mereka dan memakmurkan  negara.
Kerajaan yang ada pada hari ini adalah kerajaan  yang bertanggungjawab,  kerajaan ini ialah yang  meletakkan kepentingan tuan-tuan dan puan-puan  rakyat  Malaysia di atas segala-galanya. Kami  merupakan kerajaan yang apabila berjanji,  menepati janji, kami sebuah kerajaan yang apabila  diberi amanah akan  menjunjung dan  melaksanakannya, bukan sikap kami menanam  tebu di bibir.
Semuanya bukti komitmen kami mampu dinilai  serta diukur daripada prestasi  dan track rekod  kami sepanjang 4 tahun yang lalu. Rakyat Malaysia  yang  dikasihi, pembubaran ini akan membuka  laluan kepada bermulanya proses pilihan  raya  umum bagi kali yang ke-13 untuk negara semenjak  tahun 1959. Iaitu apabila  kita mula mengadakan  pilihan raya umum yang pertama selepas  merdeka.
Malaysia adalah sebuah negara yang  mengamalkan sistem demokrasi berparlimen  dan  raja berperlembagaan sebagai asas  pemerintahan. Kuasa mutlak untuk memilih  kerajaan berada di tangan rakyat. 
Sejarah telah menunjukkan bahawa kebunggaran  demokrasi telah berjaya  menyediakan asas-asas  yang subur untuk kestabilan dan keamanan  nasional yang  telah dinikmati warga negara ini  selama lebih 5 dekad.
Amalan demokrasi di Malaysia kekal dan berjaya  kerana walaupun bersifat  sengit dan amat  berdaya saing namun pada akhirnya ia berjaya  kerana semua  pihak menghormati proses dan  keputusannya. Saya ingin menyeru agar tradisi ini   diteruskan demi kesejahteraan rakyat dan  kestabilan nasional.
Semua parti politik yang memilih untuk terlibat  dalam pilihan raya umum kali  ini perlulah  bertanggungjawab. Janganlah kerana tidak yakin  dengan sokongan  rakyat terhadap parti  masing-masing maka ada pihak yang cuba  menyemai racun  syak wasangka dan seterusnya  merosakkan kepercayaan kepada integriti proses   pilihan raya yang bakal diadakan.
Insaflah dan ambillah iktibar daripada apa yang  berlaku di negara-negara  lain di mana taktik ini  telah cuba diguna pakai. Kesan dan akhirnya  keputusan  pilihan raya di negara-negara tersebut  tidak lagi diyakini dan mana-mana  kerajaan yang  dipilih termasuk dari parti yang mengamalkan  taktik-taktik  tersebut telah ditolak rakyat. Negara  akhirnya menjadi tidak stabil, pelabur  hilang  keyakinan, kemakmuran nasional merudum dan  akhirnya rakyat  menderita.
Sejarah selama ini telah membuktikan bahawa di  malaysia sejak merdeka lagi,  proses pilihan raya  yang diadakan bersifat berwibawa, adil dan telus.
Kerajaan yang telah dipilih hasil pilihan raya umum  sama ada di peringkat  Persekutuan mahu pun di  peringkat Negeri ialah kerajaan yang mendapat  sokongan  serta keyakinan majoriti rakyat sesuai  dengan amalan demokrasi. Amalan  demokrasi  sebagai teras pemerintahan merupakan  mekanisme terbaik yang pernah  dicipta manusia.
Hakikatnya perbezaan pendapat, idea dan  pandangan bukannya penyebab  malapetaka atau  punca perpecahan. Malah jika ditangani dan  diuruskan secara  baik sejarah telah menunjukkan  ia mampu mendatangkan rahmat, yang akan   membahagiakan rakyat dan memajukan negara.
Marilah kita sama-sama sama ada parti kerajaan  mahupun parti pembangkang  memberikan  komitmen untuk memelihara keutuhan proses  demokrasi dan menghormati  keputusan yang  akan dibaut oleh rakyat.
Marilah kita bersama-sama berdoa agar pilihan  raya ini akan berjalan dengan  lancar aman, lancar  dan selamat.
Rakyat Malaysia yang dikasihi, saya inign beri  jaminan bahawa kerajaan yang  ada akan  meneruskan tugas dan tanggungjawabnya sesuai  dengan prinsip keluhuran  Perlembagaan dan  kedaulatan undang-undang sehingga selesai  proses pilihan  raya.
Saya juga ingin menyeru di samping memberi  jaminan kepada semua rakyat  Malaysia serta parti  politik yang terlibat bahawa jika berlaku sebarang   peralihan kuasa sama ada di peringkat  Persekutuan mahu pun di peringkat negeri  ia akan  dan perlu berlangsung secara aman dan tertib. 
Inilah iltizam kita dalam menjunjung prinsip  demokrasi. Inilah tekad kita  dalam menggerakkan  transformasi politik. Inilah komitmen kita dalam   menghormati suara dan mendahulukan  kepentingan rakyat. 
Kepada semua rakyat Malaysia terutama yang  tinggal di pantai timur Sabah  janganlah bimbang  dan takut. Laksana dan tunaikanlah  tanggungjawab tuan-tuan  dan puan-puan sebagai  warganegara Malaysia. Pihak keselamatan  negara akan  menjalankan tugas mereka untuk  memastikan persekitaran yang selamat untuk    tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
Setiap undi tuan-tuan dan puan-puan adalah  penting. Jangan bazirkan ia.  Jangan pertaruhkan  masa depan anak-anak dan  negara Malaysia.
Fikir dan renungkanlah dengan sebaik-baiknya  sebelum membuat keputusan. Ini  kerana undi  saudara saudari akan menentukan bukan sahaja  hala tuju negara dan  negeri tetapi juga untung  nasib anak cucu kita semua.
Dalam pilihan raya ini tuan-tuan dan puan-puan  bukan sahaja bertanggungjawab  memilih wakil  saudara dan saudari bagi setiap kawasan  Parlimen dan Dewan  Undangan Negeri (DUN)  tetapi juga memilih kerajaan yang akan  mendokong  aspirasi tuan-tuan dan puan-puan.
Rakyat Malaysia yang dikasihi, saya berdiri di sini  dengan penuh rasa  tawaduk dan terhormat  kerana diberi kepercayaan untuk memimpin  tuan-tuan dan  puan-puan sekalian. Saya dan  rakan-rakan amat menghargai dan menjunjung  tinggi  kepercayaan yang telah diberikan oleh  rakyat dan akan memberikan yang terbaik  demi  untuk Malaysia dan warganya. 
Di sini saya selaku ketua kerajaan Barisan (BN)  ingin merakamkan penghargaan  dan ucapan  terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana telah  memberi  kepercayaan kepada rakyat Malaysia  kepada kami kerajaan Barisan nasional (BN)  untuk  menerajui kepimpinan negara semenjak lima  tahun yang lepas.
Mulai hari ini saya dan rakan-rakan kepimpinan  Barisan Nasional (BN) akan  turun dan bertemu  dengan rakyat seluruh pelosok negara bagi  meyakinkan rakyat  Malaysia kenapa kami  Barisana Nasional (BN) perlu diberi peluang  kembali untuk  membentuk kerajaan dengan  majoriti yang kukuh.
Kami akan menggunakan mandat kukuh yang  diberi insya Allah untuk melipat  gandakan lagi  usaha bagi melakar masa depan yang lebih baik,  yang lebih  bermakna, yang lebih sejahtera untuk  saudara dan saudari serta anak cucu kita   semua.
Ayuh, teruskan perjalanan kebangsaan untuk  mencapai wawasan nasional ke arah  Malaysia  yang maju dan berpendapatan tinggi. 
Ingatlah pencapaiannya bukan secara automatik.  Ia memerlukan kita  melipatgandakan usaha dan  meneruskan kesinambungan kejayaan yang  wujud.
Marilah kita bersama-sama berganding bahu,  berpimpin untuk menjadikan impian  ini sebuah  realiti. Malaysia yang maju, makmur dan selamat penuh  dengan peluang serta sarat  harapan bagi  semua. Demi Malaysia usaha bakti kita curahkan, kepada  Tuhan kita berserah. - UTUSAN ONLINE
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pilihan_Raya/20130403/px_34/PRU-13-Ucapan-PM-berhubung-pembubaran-Parlimen#ixzz2PO2HbBzU
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment