Oleh Jokiden:
Hari ini Rabu, genap 8 hari kita berpuasa. Selepas solat zuhur hari ini tetiba sahaja hati ini teringin untuk membuka blog SMBK. Semalam terbaca kisah 'roda' dalam Utusan dan saya kongsikan seperti di bawah. 
Hati juga teringat kepada rakan-rakan. Semuga semuanya selesa dan bertenaga menjalani ibadah puasa. Ada di kalangan rakan-rakan kita yang mungkin sedikit payah untuk berpuasa kerana komplikasi beberapa jenis penyakit. Namun kita kenal mereka mempunyai daya tahan dan semangat yang kuat.
Cang Capit, Pak Ongah, Tok Lombago dan Hasidin di doakan kalia segar bugar dalam bulan Ramadan yang penuh barakah ini. Prof Shidi antara yang sukar nak berpuasa tu, sebab dia berulang alik antara Melaka, Shah Alam dan Ulu Bendul. Harap-harap tiada air mineral dalam keretanya. Hahaha.. teringat saya zaman tingkatan tiga dan empat di SMBK, ramai juga yang berasap di tepi sungai belakang masjid tu.
Dalam usia emas ini rasanya tiada lagi rakan-rakan yang mempunyai perangai lama tersebut. Kalau ada juga memang nak nahaslah.
Surau di taman saya masih penuh saf.. minggu depan belum tahu lagi. Pada minggu pertama ini di mana-mana sahaja di seluruh pelusuk Tanah air, surau dan masjid sesak dengan para Jemaah untuk bertarawih.
Minggu depan pula mungkin pusat membeli belah atau shopping complexs pulak yang sesak. Biasalah tu. Rancanglah macam mana pun, belilah se awal manapun, akhirnya kemeriahan pada saat akhir tidak mampu juga untuk dielakkan.
Pasar Ramadan nampaknya masih padat dengan pengunjung di mana sahaja. Juadah berbuka di pamirkan di depan mata dengan segala kreativiti. Jika hendak selamat, jangan keluar rumah, duduk dalam bilik dan baca Quran. Jika keluar sahaja siaplah godaan sepanjang jalan.
Kepada rakan-rakan, mohon maaf atas segala kesalahan atau kesilapan. Saya juga telah memaafkan semua kesalahan rakan-rakan atau sesiapa sahaja. Sebenarnya kalian tiada apa-apa kesalahan kepada saya. Selamat meneruskan ibadah puasa seterusnya selamat menyambut Hari Lebaran. Makoii aii copek bona nak ghayo ni..  
RAMADAN SARAT GANJARAN
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Barang siapa yang gembira dengan  datangnya bulan Ramadan, Allah haramkan jasadnya daripada sentuhan api neraka." 
Safwak Sa'adallah al-Mukhtar menceritakan, pada suatu hari ada sepasang suami  isteri yang kaya raya sedang makan bersama-sama di rumah mereka. 
Tiba-tiba pintu rumah diketuk seseorang. Setelah dibuka ternyata seorang  pengemis meminta-minta. elihat pengemis itu, isterinya sangat kasihan dan hiba dan ingin memberikan  sesuatu. 
Dia meminta izin daripada suaminya bolehkan dia memberikan sesuatu kepada  pengemis itu. Suaminya dengan suara kasar berkata: "Usir sahajalah, tutup pintu itu dan  mari makan." 
Setelah masa berlalu, kehidupan keluarga itu mengalami masa suram. Perusahaan  makin merosot dan menanggung banyak hutang. Keluarga itu jatuh miskin, rumah  tangga mereka kelam kabut sehingga berlaku perceraian. 
Kata Safwak, suaminya sangat menderita dan bekas isterinya itu berkahwin pula  dengan seorang pengusaha kaya dari daerah lain. 
Pada suatu hari, ketika pasangan suami isteri yang baharu itu sedang makan  bersama-sama, tiba-tiba pintu rumah diketuk. 
Setelah dibuka, ternyata yang datang itu seorang pengemis yang meminta belas  kasihan. Wanita (isterinya) masuk dan meminta izin pada suaminya: "Bolehkah saya  memberikan sesuatu kepada pengemis itu?" 
Lalu dijawab suaminya: "Boleh, boleh... berilah dia makan. Mana tahu dia  sangat lapar dan berjalan dari daerah yang jauh." 
Setelah pengemis itu diberi makan, alangkah terkejutnya si isteri, kerana  ternyata yang dia beri makan itu adalah bekas suaminya. 
Dia menangis kerana merasa prihatin dan hiba. Melihat keadaan itu, si suami  dengan hairan lalu bertanya: "Mengapa engkau menangis isteriku, adakah saya  salah kalau menyuruhmu memberi makan kepada pengemis itu?"
Isterinya menggeleng kepala dengan nada sedih teresak-esak lantas berkata:  "Saya sangat beruntung mendapatkan suami yang baik sepertimu. Namun saya sedih  melihat perjalanan takdir hidup bagi seseorang yang sungguh menakjubkan hati,  maafkan saya." 
Akhirnya si isteri berkata: "Tahukah engkau suamiku, siapa pengemis yang kita  beri makan di luar itu? Dia adalah bekas suamiku yang pertama dahulu."
Mendenar kata-kata itu, suaminya terkejut namun tetap memperlihatkan sikap  arif.  Beberapa saat kemudian, suaminya bertanya: "Tahukah engkau, siapa saya yang  saat ini menjadi suamimu ini?" Isterinya menjawab, "Tidak tahu."
Kemudian suaminya berkata: "Suamimu ini adalah pengemis yang pernah diusir  dahulu oleh bekas suamimu dan Allah berikan kepadaku rezeki hingga aku punya  harta dan memberi pula rezeki-Nya hingga kita pun dipertemukan Allah dalam satu  ikatan akad sebagai suami isteri yang insya-Allah mawaddah wa rahmah." 
Kisah di atas mengajar kita bahawa hidup dan kehidupan ini sesungguhnya  seperti roda.  Kerap kali kita menyangka bahawa apa yang kita peroleh hari ini tidak akan  berubah esok atau lusa tetapi tidak mustahil juga hilang dalam sekelip mata.
Hanya kerana kecuaian dan keangkuhan kita terhadap sesama insan, kita menutup  pintu pada orang yang miskin dan kelaparan. Natijahnya, tertutup pintu rezeki  rezeki kita.
Dalam al-Quran dinyatakan: "Dalam harta kamu ada hak peminta-minta  (sedekah)." Ibadat puasa mendidik kita bahawa sesuatu yang diberikan, waima seteguk air,  sesuap nasi atau seulas kurma akan menjadikan kita tetap kaya dalam erti nilaian  pahala berlipat kali ganda di sisi Allah SWT.  
Ibadat puasa dapat menambah apa yang ada, menutupi kekurangan serta membuka  pintu rahmat, rezeki, berkat dan hikmah Allah SWT. 
Untuk mendapatkan apa yang kita perlukan, maka berpuasalah untuk mendapat  kemaafan Allah. Berpuasalah untuk memperoleh syurga. Bahkan untuk memohon segala  hajat kepada Allah maka berpuasalah. 
Ibnu Abbas RA berkata: "Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda  bermaksud 'andai umatku tahu tentang rahsia yang terkandung dalam Ramadan, pasti  mereka mengharap seluruh bulan dalam setahun menjadi bulan Ramadan, sebab  Ramadan menghimpun segala kebaikan, doa-doa yang mustajab (dipenuhi), dosa  mereka diampunkan dan syurga merindukan mereka."
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130716/ba_01/Ramadan-sarat-ganjaran#ixzz2ZHsmvElR © Utusan Melayu (M) Bhd