Jika ramai yang meneka dengan tepat maka akan banyak lagi gambar dimasukan. Hadiah tentulah Jokiden sodiokan, mintak yolah.
CERITA SAYA 6 – JATUH CINTA, KISAH MANIS
Tidak ada sebarang aktiviti atau temu janji di pagi minggu ini. Petang nanti akan ke Nilai 3 hantar anak dara pergi cari baju raya. Semalam jadual harian saya agak padat menghadiri kenduri, seminar dan bertugas di KRT Taman, dan hanya dapat merihatkan badan jam 3 pagi. Bola??? Tak tengok walaupun dulu hantu bola.
Ruang ini digunakan untuk melihat coloteh rakan-rakan di blog, facebook, Friendster, tengok email, tengok video mana yang sempat dan baca e-paper.
Cerita menarik dari Yahoo ialah tentang Adam, lelaki jujur bekerja sebagai seorang pengukir Ice dari Chicago memerlukan sangat wang untuk urusan peribadi. Dalam keletihan dia menuju ke ATM dan setelah mengeluarkan wang, dia terjumpa bungkusan di sisi mesin ATM tersebut yang penuh dengan wang berjumlah USD17,000.00. Wang tersebut diserahkan kepada polis dan setelah disiasat disahkan kepunyaan sebuah bank lain. Tidak ada yang terperanjat kerana Adam memang terkenal dengan kejujurannya sejak dahulu lagi.
Sebelum memulakan catatan ini saya menonton lagi video Tunang Pak Dukun di wall fb saya. Saya baca komen rakan-rakan. Filem ini dilakukan penggambarannya di Juasseh Ulu, Gentam dan Kuala Pilah. Heroinnya merupakan pujaan saya, bukan saja kerana wajah ayunya tetapi juga kerana mulut lebarnya.
Merenung kembali waktu-waktu yang lama berlalu, teringat saya akan beribu-ribu kenangan manis yang sempat dialami. Namun sukar sekali bagi saya mengingati kisah atau peristiwa mana paling manis dalam hidup ini. Juga amat sukar untuk saya mengingati peristiwa mana paling pahit dalam beribu-ribu kenangan pahit yang sempat saya lalui.
Kali pertama memakai seluar panjang dalam hidup merupakan suatu kenangan manis. Berendam dalam anak air yang airnya amat sejuk agaknya peristiwa indah bagi saya, namun seketika selepas itu terpaksa pula menghadap muka tok mudim yang berpura-pura peramah adalah merupakan peristiwa yang amat mengerikan pula.
Suatu malam di serambi rumah MD (Mariani) seseorang yang bergelar ustaz menegur saya dengan mengatakan adalah tidak manis untuk memakai seluar pendek dalam majlis begitu dimana kepala lutut jelas berkilat apabila kita duduk bersila. Reaksi saya hanya diam membisu tetapi ustaz itu tidak tahu bahawa manalah saya ada seluar panjang ketika itu.
Sedaya upaya, saya cuba menyenaraikan kenangan manis dalam catatan kali ini dan dikesempatan lain akan diimbangi pula dengan kisah pahit. Pada tahun 1967 kali pertama menjejakan kaki di Kuala Lumpur mengikuti rombongan sekolah. Hingga ke hari ini teringat lagi cikgu pengiring memberitahu tiang lampu limpah di Stadium Merdeka lebih besar dari pokok kelapa.
Malam sebelum bertolak ke Kuala lumpur, mata tidak langsung terkatup, ceria dan teruja hingga ke pagi. Bukan banyak sangat yang mampu disediakan untuk rombongan tersebut, Cuma nasi bungkus cukup untuk makan tengah hari dan makan malam. Tempat popular untuk dilawati ketika itu biasalah, Zoo Negara, Stadium Negara, Tugu Negara, Mesium Negara, Masjid Negara, Station Keretapi, Taman Bunga dan sebuah kilang yang saya telah lupa namanya.
Maso tu lapan oghang budak2 kocik mogang gaun pongantin pompuan, kok tak tosangkut kek kipas tu.
Suasana dalam bas sepanjang lawatan tersebut samalah dengan yang kita saksikan dalam video Tunang Pak Dukun dalam bas Union tersebut, riuh rendah. Lewat tengah malam baru kembali ke rumah dan kerana rumah saya paling hujung, maka saya yang terakhir turun. Saya mungkin terlena seketika ketika itu kerana apabila saya terjaga saya terpinga-pingga. Saya dapati malam sunyi benar dan semua pokok-pokok di sekeliling saya rebah, bas seolah-olah melalui satu padang pasir yang luas. Saya tidak mengerti apa-apa ketika itu, hanya setelah saya dewasa barulah saya faham bahawa itu adalah Malam Lailatul Kadar. Cuma ketika itu bukannya di bulan Ramadan. Entahlah..
Sebelum kisah yang lebih manis saya teruskan, sedikit ulasan saya mengenai coretan Prof Shidi bertajuk “Kenangan lalu 7 Jeram Tengkek, Md Shah, Sharif dan Ganja” Terdapat 4 komen rakan-rakan dan satu daripadanya (tak ada nama) kata “entah iyo ontah tidak….”
Saya tidak komen langsung kerana hingga ke hari ini 12 Jun, saya masih cuba mencari kebenaran kisah itu. Saya gagal untuk mengingati sebarang detik yang Shidi tuliskan. Ini bukannya penafian, mungkin Shidi mempunyai catatan khas dalam diari yang masih disimpan kemas hingga kini dan ianya fakta sahih, bukan imijinasi Shidi semata-mata.
Namun sepanjang ingatan saya yang mudah lupa ini, tidak pernah dalam hidup saya melihat ganja, apa lagi menghisap ganja. Saya hubungi Md Shah dan saya minta dia cuba ingat betul-betul kisah tersebut, dia juga menafikan segalanya. Malangnya saya tidak tahu siapa itu Gan dan siapa itu Run, lalu pengesahan daripada mereka tidak diperolehi..Jadi kawan-kawan sehingga dibuktikan sahih, anggaplah kisah yang dipaparkan oleh Shidi tersebut sebagai hiburan semata-mata. Jangan ada yang merasa benci, meluat, menyampah dan memaqndang serong kepada kami berdua.. Benar kami menghisap rokok tapi kami tidak pernah melihat benda najis tersebut.
Kembali kepada kisah manis, mengingati suasana hari bahagia saya, diijab kabul pada 21 November 1981, disalinkan pakaian berkali-kali, dipikul (dikanda) sepanjang jalan dan didudukan di atas pelamin menyebabkan airmata saya mengalir tanpa sedar. Hiba dan sayu benar rasanya hati ini terkenangkan saat manis tersebut.
Mengharungi dunia percintaan selama bertahun-tahun dengan isteri saya juga ada kalanya manis dan ada kalanya pahit. Menjalani hidup sebagai suami isteri, seperti orang lain juga mempunyai cabaran getir. Apabila anak-anak telah mula mengerti tentang perselisihan faham antara kami maka mereka mempunyai kaedah tersendiri untuk mendamaikan ibu dan ayah mereka. Di dalam kereta dan di rumah sentiasa ada lagu P.Ramlee “Sedangkan Lidah lagi Tergigit”
Lagu tersebut apabila diperdengarkan oleh anak-anak, bukan sahaja kami terbayang tidur di kandang kuda, tetapi juga kami selalunya menitiskan air mata dan akhirnya kami berdamai.
Jangan ada yang cuba menafikan bahawa lagu-lagu mempunyai signifikan mengikut zaman dan masa tertentu. Sekurang-kurangnya dua lagu Melayu lama sentiasa mengembalikan nostalgia silam saya iaitu lagu “Hitam Manis” dan “Cemburu” Kengkawan tidak akan mampu untuk membacanya sekiranya diperincikan kisah meminati lagu tersebut melainkan kita memang suka membaca novel.
Coretan MCC dan NSR walaupun dalam loghat NS totok, namun jika dibaca secara perlahan-lahan, kita akan dapat menghayati suasana yang digambarkan walaupun watak-watak di dalam pengkisahan tersebut tidak dikenali oleh rakan-rakan dari luar.
Namun kita sebenarnya tidak terpisah sangat dengan kisah kawan-kawan walaupun kita agak renggang selepas berpisah dari SMBK dan kembali rapat selepas REUNION tempoh hari. Mungkin juga kisah saya mengetuai rakan-rakan form six menyaksikan cerita Hindustan di panggung REX Kuala Pilah merupakan antara kenangan manis zaman remaja. Saya tuliskan di sini komen seorang penggiat seni bahawa pada hari ini panggung wayang penuh dan filem Melayu Box office kerana remaja Melayu menggunakan panggung sebagai tempat berdating. Zaman kita 1975 istilah tersebut tidak timbul walaupun masa itu ramai rakan-rakan sedang dilamun cinta.
Saya dengan Md Shah (Pak ongah) mengikuti kisah Jalil dan Yusmah. Kita mengetahuinya walaupun pada sangkaan Jalil kita tidak tahu. Suatu hari saya dan Jalil bertemu dan dia teruja sangat dan berkata “ekau tak tau boy (maso tu dio pangge ese boy laie) kisah den, kalau kau tau..tokojut kau..” kato dio boiyo-iyo.
“alah tau den tu..” saya jawab
“apo yang kau tau dan donga…kalau kau tau tokojut kau..”
“Den tau kau tongah bocinto ngan anak cikgu Usop kan..”
“Weeii ai cilakak kau, mano kau tau?.” Masih saya bayangkan wajah cerianya ketika itu.
Kisah Iyeh dan Normah, kisah Pak Ongah dan Induk, kisah MCC ngan MM…, kisah Zahari bas ngan budak keru dan budak terentang baruh tebing, kisah Tahir, kisah CTN ngan S.., kisah Dr Zaha ngan CT Aminah dan banyak laie semuanya mewarnai kisah hidup zaman silam kita.
CT Aminah ketika kami menjamu selera di La Ritzz tempoh hari mengesahkan hubungan dia dengan Dr Zaha sebenarnya berjalan terus sehinggalah Dr Zaha mendirikan rumah tangga. What a sweet memories.?
Soley pernah mengetuk pintu hati saya namun dia singgah cuma sebentar. Ramai rakan-rakan yang tahu dan saya tidak pasti apakah kunjungannya kali pertama ke teratak saya di hujung desa Sg Jelutong atau perkelahan kami di Jeram Tengkek merupakan saat paling manis dalam hidup ini. Pastinya ialah peristiwa itu menyenangkan dan menjadi antara beribu-ribu kisah yang ingin saya ingati ke hari ini.
Pertanyaan dari kakcik MD, semasa saya dipiko tu, “bobughak ko tidak?” jawapannya tidak. Kami bisu sepanjang perjalanan sambil menghalakan pandangan masing-masing ke hutan atau kebun getah sekeliling. Pengantin atau raja sehari mana boleh bobughak, kena jaga tertib.
Banyak sangat kenangan manis, bersama dia, namun saya selalu mengingati cara saya melamar isteri saya ketika itu. Kami sekampung, ada kaitan saudara, bersekolah rendah bersama. Dia bijak. Saya walaupun agak bijak juga, tapi agak jahat.Kenduri kendara pasti bertemu. Dia amat lawa, manis, lembut dan cantik, ketika itu jadi perhatian remaja kampong. Saya walupun kurang macho masa tu, namun ‘kelincahan’ saya masa tu jadi perhatian dan jadi bualan. MCC pasti boleh mengesahkan tentang perkara tersebut.
Hubungan saya dan isteri saya biasa sahaja, dia melanjutkan pelajaran ke STF sesuai dengan kepandaian dia. Saya ke SMBK. Kami terpisah. Setiap kali cuti penggal dia kembali ke desa dan setiap kali dia pulang budak-budak muda remaja akan berkumpul di kedai runcit di hadapan rumah dia. Pendapatan tuan punya kedai iaitu Hj Kail Maaisin (Ayah YB Datuk Razi) pastinya meningkat setiap kali dia pulang bercuti sebab pelanggan yang terdiri daripada kaum belia bertambah. Papan main dam aji terpaksa ditambah untuk memenuhi permintaan yang tinggi.
Saya juga menyertai rakan-rakan sebaya, berlonggok di kedai tersebut, namun saya tidak memberikan sangat tumpuan kepada gadis sunti yang pulang bercuti di dalam rumah besar seberang jalan tersebut. Saya biasa sahaja. Bila rakan-rakan bersiul galak dari jauh, semua orang akan tahu bahawa ketika itu sang gadis muncul di jendela.Saya macam tak kisah saja. Saya pula bebas ke rumah gadis tersebut atas dasar hubungan keluarga.
Berhari-hari, berminggu-minggu dan akhirnya berbulan-bulan peristiwa mengurat itu berterusan dilakukan oleh rakan-rakan saya. Suatu hari dikala rakan-rakan sibuk dan riuh rendah dengan siulannya, saya ke rumah gadis di seberang kedai untuk membeli dua biji kelapa. Orang kampong semua tahu di situ banyak kelapa. Harga saya dengan harga orang lain berbeza, pertama kerana kami bersaudara, kedua saya dianggap dari keluarga miskin yang harus dibantu. Tidak manis menjual barang kepada keluarga miskin dengan harga yang mahal. Sementara menunggu kelapa di kupas saya dipelawa masuk ke dapur untuk minum petang. Ani gadis yang menjadi ‘rebutan’ remaja kampong melayan saya seadanya.
Saat tu saya merasakan sesuatu dalam hati saya, tidak jelas, namun saya menyedarinya. Terpandang wajahnya saya jadi tak tentu arah. Gelabah kata orang muda zaman ini. Saya tidak bermain dam lagi selepas itu, saya kerap termenung sendirian memikirkan apakah sebenarnya perasaan saya terhadap dia. Tidak ada kepastian selain daripada keinginan saya untuk selalu ke rumah besar itu dan membeli kelapa. Namun keperluan kelapa untuk keluarga saya ialah sebulan atau dua minggu sekali.
Hari-hari berikutnya perasaan tidak lagi tenteram apabila tidak menyertai rakan-rakan bermain dam aji di kedai Kail Maisin. Balik ke rumah hanya untuk seketika, selebihnya saya mulai merasa bahagia berkunjung ke kedai tersebut mengharapkan seseorang akan muncul di tingkap rumah besar di seberang jalan.
Tidak lama kemudian saya begitu pasti bahawa saya sudah jatuh hati kepadanya. Jika remaja lain asyik bersiul dan melambai, tindakan saya berbeza sekali. Beberapa hari selepas itu saya menemuinya tanpa ragu. Saya sudah tidak mampu lagi memendam rasa. Geteran di jiwa ini terlalu hebat. Saya mesti melakukan sesuatu dan saya tidak sanggup kehilangan dia. Dalam pertemuan singkat tersebut saya bagi tahu kepadanya "jangan benarkan sesiapapun memiliki hatimu, kerana ia milikku” Begitu pasti dan begitu yakin sekali pendekatan saya, macam satu arahan yang mesti dituruti. Seribu tahun lagi saya ingin terus mengingati kata-kata tersebut.
Tiada respon yang jelas ketika itu dan kami berpisah. Tiga hari kemudian kami bertemu lagi dan sambil menonton wayang di Sek Keb Sg Jelutong berjudul Si Pitung, saya memberitahunya bahawa dia mungkin tidak setuju dengan ‘lamaran’ saya. “Ani tak cakap” itulah tiga patah jawapan dia yang saya kira 200 peratus mengesahkan yang dia bersetuju dengan lamaran saya. Malam itu sesungguhnya bermulalah detik-detik manis antara saya dan dia.
Bertahun-tahun kemudian ayat keramat saya itu tercatat di mana-mana, di dinding sekolah, di kulit buku, di belakang fail, di tempat duduk di Mima Land, di Pasir Putih Port Dickson malah di belakang tempat duduk Bas Foh Hup.
Biarkan beratus remaja terus bermain dam aji dan bersiul nakal di hadapan rumahnya dari pagi hingga ke dini hari, saya telahpun merasakan bahawa hatinya menjadi milik saya. Mulai saat itu juga saya menjadi seorang perindu yang setia....
Esoknya satu kepastian terjadi. Ani menerima lamaran saya dengan sepatah perkataan “Setuju” Masa itu saya merasakan seluruh dunia tersenyum kepada saya. Benar Kakcik, NSR n Bee, itu antara saat paling manis dalam hidup ini. Betapa gembiranya hati apabila berjaya memiliki sekeping hati gadis manis berwajah lembut yang menjadi idaman ramai, hanya Allah yang tahu. GHOBAH!!!!!!!. Selebihnya tinggal sejarah dan terlalu banyak untuk diceritakan. Mulai saat itu saya mencintainya sepenuh hati sehinggalah ke hari ini.
Beberapa tahun selepas itu, sebelum kami disatukan sebagai suami isteri, saya ada bertanya kepadanya, apakah yang membuatkan dia memberikan sekeping hatinya kepada saya seorang remaja miskin yang ditinggalkan oleh ayah dan serba kekuranagn, ringkas saja dia menjawab, "cara saya melamarnya.."
Kini dalam usia emas betapa saya ingin kembali ke saat itu, saat di mana sebagai remaja disayangi dan menyayangi. Saya sering menemuinya di dalam mimpi. Jika saya tidak menemuinya di dalam mimpi, saya sering membayangkan saat itu di dalam minda saya. Harapan hanya satu iaitu saya ingin terus mengulangi ayat di atas meskipun di dalam hati, "Jangan benarkan sesiapapun memiliki hatimu kerana ia milikku"
Harap Dr Shidi berpuas hati kerana beliau pernah menyarankan, buatlah sedikit cerita jika kita memasukan gambar persandingan kita.
Jatuh cinta, suka duka, tawa ria dan air mata adalah teman orang bercinta. Jatuh cinta tidak mengira usia. Menyayangi, disayangi adalah keinginan atau naluri manusia semula jadi. Cinta milik setiap orang, jangan terkejut dalam usia emas ini ada rakan-rakan kita yang terus dilamun cinta, tidak kira uwan atau atuk. Buktinya Tahir menulis di fb nya hari ini begini:
Kelmarin kau masih bersamaku
Bercumbu dan merayu
Adakah hari esok untuk kita bercinta
Seperti yang telah kita lewati
Jika ada yang memusuhi cinta, tontonlah video Tunang Pak Dukun di wall Facebook saya. Lihatlah bagaimana bas Union menuruni jalan Bukit Putus yang berliku, pasti anda ingin mencintai dan dicintai kembali. Jangan Tanya saya kenapa? …Bersambung nanti…. Tunggulah.
JOKIDEN
Maso tu bosanding kono tunak boto-boto, mato tak leh liar macam sokaghang ni doh.