Di
tahun tahun 1950han dan di awal tahun 1960han, kampong penulis dikategorikan
sebagai kampong pendalaman. Seingat penulis untuk ke Bandar Kuala Pilah ketika
itu terpaksa berjalan kaki ke pekan Padang Lebar untuk menaiki bas ke Kuala
Pilah. Tiada perkhidmatan bas sehingga ke kampung penulis.
Untuk
sampai ke kampong penulis semestinya berjalan kaki melalui jalan tanah 6 kaki
lebih kurang 1 batu. Untuk ke kampung Ghalib (disebut golit) memerlukan
berjalan kaki 1 batu lagi. Dari simpang melalui jalan menurun bukit di antara
kedai runcit ayah Latifah Rahman dan kedai kopi Tok Sihat suami kepada Uwan
Mori.
Selebihnya
melalui tebing sawah dikiri kanannya yang ada anak air dan rimbunan pohon
rumbia. Di hadapannya jambatan kayu buat dua orang berjalan yang pada penulis sungguh panjang pada masa
itu. Penulis teruja setiap kali melintasi jambatan kayu tersebut.
Tiada
apa pembangunan di kampong penulis. Kalau ada pun Cuma sebuah sekolah papan
beratap zink yang tapaknya diwakafkan
oleh Allahyarham Tuan Haji Hasan Basir. Sekarang sekolah itu kerana kekurangan
murid telah ditutup dan menjadi Pusat Kokurikulum JPNS.
Di
seberang jalan dari sekolah itu ialah kawasan berpaya. Kami selalu ke paya tersebut untuk mencari ikan pelaga (kami
panggil ikan Karin), juga untuk mencari buah jambu air liar dan periuk kera.
Tiada
hiburan untuk kanak-kanak. Kami bermain apa saja. Paling menyeronokkan apabila
tiba musim menuai. Layang-layang akan menghiasi pemandangan di sawah. Selalunya
inilah masa musim menjebak burung tempua. Di malam hari akan bertingkah bunyi
lesung orang mengemping.
Hari
pertama penulis ke sekolah masih dalam ingatan penulis menyusuri denai jalan 6
kaki tersebut yang jauhnya setengah km dari rumah penulis. Rumah penulis dan
kebanyakan rumah lain hanya beratap rumbia, berdinding pelupuh dan berlantai
buluh. Hanya beberapa rumah saja yang beratap zink ,berdinding dan berlantai
papan yang sempurna.
Di
sawah dan tali air (bonda loghat pilahnya) banyak ikan, setakat sembilang,
puyu, haruan sangat mudah didapati. Sama ada memancing, menajur atau mengocar
akan menjanjikan lauk ikan yang lazat untuk makan malam. Penulis sangat
mengemari goring garing ikan puyu bersambal cili api.
Semasa
penulis di darjah dua seluruh kampong riuh macam pesta. Beberapa jentera berat
masuk dan menumbangkan pokok kelapa, pokok durian dan lain-lain pokok buahan
orang kampong. Pembangunan telah masuk ke kampong penulis. Jalan baru dibena.
Mulanya jalan tanah merah yang berdebu. Bukan sedikit masa untuk menaiktaraf
jalan tersebut ke jalan bertar. Mungkin lebih dari 10 tahun agaknya kami menggunakan
jalan tanah merah berdebu itu. Namun tiada siapa yang merungut.
Sesudah
itu kampong penulis mendapat balai raya, masjid baru, bangunan tambahan sekolah
baru. Setakat itu saja. Kampong masih bergelap. Air masih menggunakan perigi.
Penulis sangat nostalgic pasal air. Paling sengsara bila musim kemarau. Perigi
di rumah penulis kering kontang dan terpaksa meminta air perigi dari rumah yang
hampir dengan jalan. Bulannya sekejap, paling kurang tiga bulan. Itu pun hanya
keperluan untuk minum dan masak. Mandi dan membasuh terpaksa menggunakan air
sungai. Juga tiada siapa yang merungut.
Oleh
kerana tiada letrik maka tidak semua
rumah yang ada TV (hitam putih). Beberapa buah rumah yang ada pun dijana kuasa
letriknya oleh generator atau bateri. Maka berduyunkan orang kampong,
kanak-kanak, tua dan muda ke rumah yang ada TV terumatanya bila malam yang ada
cerita melayu. Filem lawak P.Ramlee akan meriuhkan rumah tuanpunya TV dengan
gelak ketawa.
Alangkah
bahagianya……
Hampir
penulis akan meninggalkan kampong untuk mengikuti kursus perguruan barulah tiang
letrik dipacakkan di kampong penulis. Dua tahun selepas penulis menjadi guru
barulah paip air mula mengalirkan air bersih. Selesailah penderitaan keluarga
penulis yang tidak perlu lagi meminta setong air setiap hari untuk minuman dan
memasak.
Sekarang
kampong penulis telah maju. Jalan bertar, letrik, air, telefon selular,
internet semua boleh diakses. Namun orang kampong telah hampir pupus. Keriuhan
dan kebahagiaan yang penulis rasa di zaman kanak-kanak telah hilang. Masjid dah
tak ramai jemaah, surau yang penulis kunjungi setiap petang sudah tidak
digunakan lagi. Tiada lagi pementasan drama setiap akhir tahun. Semuanya kerana
kampong penulis telah hampir pupus penduduknya. Hanya tinggal orang tua saja
menjadi penunggu kampong. Sawah yang banyak
ikan dulu telah bertukar menjadi kebun sawit. Sekolah penulis telah
bertukar menjadi Pusat Kokurikulum.
Kampongku, tanah tumpahnya darahku. Aku berharap biarlah
kampong pingitan ini akan kekal selamanya. Andainya aku meninggalkan dunia
ini ingin sekali aku disemadikan di
sini.
MCC
Dua hari lepas ibu saya berbual dengan anak bujang saya ketika anak bujang saya melayan uwannya menontong televisyen siaran langsung bolasepak EPL. Ibu saya yang daya ingatannya sudah hilang akibat penyakit saraf asyik mengulang ayat-ayat yang sama tentang sekolah Sg Jelutong di mana saya saban hari bermain bola.
ReplyDeleteKatanya "bilo bola sudah berada di kaki ayah kau.. jangan haraplah orang lain dapat mengambilnya.." itulah yang dia ulang berkali-kali dan kami hanya ketawa. Sekurang-kurangnya aktiviti menjerit tersebut terhenti seketika.
Terima kasihlah kepada MCC yang membangkitkan kembali nostalgia kampong kita, kampong ku, Tanah tumpahnya darah ku..
Kali terakhir saya pulang ke Sg Jelutong ialah pada sambutan Raya Aidil Fitri yang lalu, itupun hanya duduk di dalam rumah sahaja. Benar kata MCC, penduduk sudah semakin pupus..
As Salam, terima kasih MCC mengimbau kenangan di kampung yang semakin dilupai.. spt saya yang dah tak selalu balik kampung lagi. Kenangan demi kenangan menjelma ketika ibu bapa saya masih ada di kampung dahulu...manis, pahit maung dirasai ....tetapi saya telah meninggalkan kampung dari tahun 1970 hingga ke hari ini menjadi hanya pelawat sahaja.....tapi setlah berjumpa kwn lama LAR saya barulah balik mengikut dio kekampung...syukur kerana itu saya ingat kamung semula.....
ReplyDeleteSSAK