GAMBAR EDISI TERBARU

GAMBAR EDISI TERBARU
Kekal bersama...selamanya.

Friday, December 20, 2013

ANAK BUAH DAN ANAK CUCU..

 Oleh: Jokiden
  
 
Boat ke Pulau Besar sedia menanti..

Sehari dua ini pastilah media sosial penuh dengan pelbagai ucapan tahniah antara satu sama lain atas kejayaan orang tersayang dalam PMR. Dalam kegembiraan ada yang terlupa untuk berkongsi keseronokan tersebut dengan orang terdekat.

Sebaliknya keseronokan dikongsikan bersama dengan rakan-rakan di media sosial. Mungkin juga ada yang berpendapat bahawa saudara mara terdekat cukuplah sekadar mendapat berita gembira tersebut melalui media sosial juga.

Ibu bapa pastinya inginkan keputusan yang terbaik untuk anak-anak mereka. bukan sahaja untuk kepuasan diri yang selamanya bertungkus lumus menyediakan yang terbaik untuk anak-anak, tetapi juga untuk bahan bualan untuk dikongsikan malah untuk dibanggakan dengan rakan taulan.

Media arus perdana juga menyiarkan beberapa orang yang bernasib baik untuk dikongsikan ke seluruh negara. Pelbagai gelagat dan reaksi dapat kita lihat. Walaupun keputusan PMR bukanlah penentu masa depan seseorang pelajar tersebut, namun penilaian peda peringkat itu sekurang-kurangnya menjadi pandu arah kemana anak-anak tersebut akan membawa haluan.

Ada yang gembira mendapat 8A atau 9A. Ada yang mengharap akan mendapat keputusan sedemikian baik, namun entah di mana silapnya, keputusan yang diterima tidak seperti yang dihrapkan. Ada yang hanya setakat lulus sahaja semua mata pelajaran. 

Tahniah kepada anak-anak yang berjaya dengan cemerlang, 8A atau 9A atau 7A. Ada sebab kenapa mereka berjaya sedemikian rupa. Syukur juga kepada anak-anak yang tidak mendapat A tetapi tetap lulus dalam kebanyakan subjek. Masa depan anda tetap ada dalam negara tercinta ini.

Terbayang di mata saya ialah wajah ibu yang gembira dengan keputusan LCE, MCE dan HSC saya. Perkara ini telah berlaku berpuluh tahun dahulu, namun beberapa bulan yang lalu ibu menceritakan semula bagaimana saya terjebak ke sekolah aliran Inggeris. Katanya adik bongsunya yang kami panggil Acu beria-ia sangat untuk memasukkan saya ke sekolah Aliran Inggeris.

"Biar sepatah sok dio dapek bocakap Inggeris" begitu ibu saya mengulangi berpuluh kali ayat atau kata-kata pemutus Acu yang ingin memasukkan saya dan abang saya ke sekolah Inggeris.

Saya tidak pandai menceritakan kembali semua kisah itu. Panjang dan berliku. Rasanya MCC lebih arif untuk mengarang dan menggarap kisah-kisah silam ini. Apabila beliau menulis, kita akan di bawa kembali ke zaman itu seolah-olah kisah itu baru berlaku semalam.

Saya antara insan yang gembira semalam kerana anak buah saya mendapat 7B dan 1C. Saya kira pencapaian itu adalah hebat berdasarkan segala kesukaran yang beliau hadapi. Saya telah berjanji untuk membelanja dia atas kejayaan tersebut.

Melalui fb juga saya terima berita gembira bahawa cucu saya telah berjaya mendapat 8A. Akan adalah hadiah dari atuknya nanti sebagai galakan untuk dia berusaha lebih lagi kelak. Pada zaman kita siapa peduli tentang hadiah-hadiah. Siapa nak memberikan kita hadiah??? hadiah air mata adalah...Terasa sesak pulak nafas bila mengenagkan ini semua. Tahniah cucu dan anak buahku.

Nota:

Semalam saya sempat ke Palong mengziarahi uwan dan mak. Uwan nampak masih belum bermaya sejak keluar dari hospital tempoh hari. "Kau bawak apo jang"? dia bertanya lesu. "Buah langsat dan buah mangga" Kataku. "Poie amik, uwan nak.."

Dua biji buahpun sukar untuk dia makan, seleranya hilang terus. Buah mangga dia cuba makan dua iris, pun keluar semula.

Berpuluh tahun dia makan sirih, kini dia tidak mahu lagi memandang sirih. Berpuluh tahun dia tidak menjamah susu, kini dia minum pula susu seteguk dua. Berpuluh tahun uwan tidak pernah minum air putih atau air suam, kini dia menolak air teh o, sebaliknya minta air suam...

Mak tidak ceria dan tidak banyak cakap... dia telah lupa segala-galanya... berbulan-bulan dia duduk dengan saya di Seremban, dia tidak boleh makan nasi, sekadar makan bubur sahaja. Kini di waktu uwan tidak berselera makan, mak pula kembali makan nasi, makan kuih dan makan buah..

Akan panjang kisah ini nanti. Berhenti dulu, ada masa saya sambung lagi. Sekurang-kurangnya ada rekod atau memoir di sini.

Salam sayang dan salam rindu semuanya.

    





No comments:

Post a Comment