Disalin oleh Jokiden
 
Jaguh tanah tinggi
 
JAM menunjukkan pukul 6.30 pagi ketika Suresh Subramanyam menghidupkan  enjin Land Rover miliknya sebelum meninggalkan ahli keluarganya yang masih lena  diulit mimpi.
Begitulah rutin Suresh pada setiap hujung minggu yang membantu keluarganya  menguruskan kerja-kerja di kebun kubis seluas setengah hektar di Tanah Rata,  Cameron Highlands.
Walaupun sudah berusia lebih 45 tahun, Land Rover model 109 itu masih cukup  bertenaga mendaki laluan berbukit dan suluhan lampunya juga cukup terang untuk  'membelah' jalan yang masih berkabus.
Sesekali perjalanan pacuan empat roda itu terpaksa keluar dari laluan utama  sehingga menghimpit rapat ke 'dinding' bukit bagi memberi laluan kepada  kenderaan-kenderaan yang lebih kecil. 
"Banyak sekali jasa Land Rover ini kepada kami sekeluarga. Walaupun sudah tua  khidmatnya masih diperlukan untuk melakukan kerja-kerja di kebun.
"Jika tidak ke kebun, Land Rover yang dihadiahkan oleh bapa kepada saya ini  digunakan untuk kerja-kerja harian," katanya ketika ditemui S2  baru-baru ini.
Lelaki berusia 29 tahun itu merupakan salah seorang daripada beribu-ribu  petani di Cameron Highlands yang bergantung hidup kepada pacuan empat roda Land  Rover.
Beliau berkata, Land Rover keluaran 1989 itu dibeli oleh bapanya kira-kira 10  tahun lalu untuk kegunaan mengangkut hasil kebun kepada pemborong.
Katanya, berbekalkan modal RM7,500, Land Rover yang dibeli dibaiki sedikit  demi sedikit sebelum dapat digunakan.
"Sebagai petani kecil-kecilan kita tidak mempunyai wang untuk membeli sebuah  pacuan empat roda yang baharu. Lagipun kenderaan ini hanya digunakan untuk  kerja-kerja berat
"Kadang-kala meragam juga namun tidak memerlukan modal yang besar untuk  dibaiki ," katanya.
Bagaimanapun Suresh memberitahu, populariti Land Rover di Cameron Highlands  bukan hanya kerana ia dijual murah tetapi kenderaan itu sendiri mempunyai banyak  kelebihan.
Katanya, penggunaan pacuan empat roda itu sesuai untuk mengangkut hasil  pertanian dari kebun yang kebanyakannya terletak di lereng dan puncak bukit.
Untuk melihat kuasa sebenar sebuah Land Rover, penulis dan jurugambar dibawa  ke Lembah Bertam yang merupakan salah satu daripada kawasan pertanian utama di  Cameron Highlands.
Seperti diperkatakan oleh Suresh, dari puncak bukit itu kelihatan beberapa  buah Land Rover usang yang masih lagi gagah mengangkut beban walaupun separuh  daripada badannya senget dan mengeluarkan kepulan asap hitam.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20130316/lk_02/Jaguh-tanah-tinggi#ixzz2NokuKCIs
©  Utusan Melayu (M) Bhd 
Nota:
Baru-baru ini 3 orang menjadi korban banjir lumpur dan banjir kilat yang berlaku di Ringlet.. Pelbagai pihak dipersalahkan, namun hendak menyalahkan diri sendiri jauh sekali. Dikhabarkan penerokaan tanah untuk pertanian komersial di CH berlaku secara tidak terkawal dan amatlah membimbangkan. Mungkin benar peniaga hanya memikirkan keuntungan mereka semata-mata..
No comments:
Post a Comment