GAMBAR EDISI TERBARU

GAMBAR EDISI TERBARU
Kekal bersama...selamanya.

Friday, June 27, 2014

PENGORBANAN KELUARGA.

Oleh Jokiden:


   
Menikmati ice cream di Jabar Rahmah pun terasa seronoknya.


Catatan Perjalanan Ke Tanah Suci ini mungkin berakhir di sini, panjang dah kisahnya. Kecualilah jika ada hal-hal menarik yang saya teringat dan perlu dikongsikan dengan rakan-rakan, mungkin saya akan sambung juga. Jika tidak cukup sampai di sini saja...

Bukan mudah sebenarnya untuk dapat serentak berada bersama keluarga di Tanah Suci. Memanjang ada alasan dan rintangan, namun kuasa Allah, syukur kerana telah mengizinkan kami. Sokongan keluarga isteri dan keluarga saya  dalam pelbagai bentuk amatlah menyintuh perasaan dan tidak sesuai dicatatkan di sini.

Ahli keluarga mungkin lebih gembira daripada kami. Mungkin mereka juga lebih bimbang daripada kami. Kami dibekalkan dengan duit, dengan pakaian, dengan buku, dengan doa, dengan nasihat dan motivasi dan sebahagian besar mengiringi kami dengan linangan airmata. Ah sayu juga hati, namun tekad sudah bulat dan "panjang umur kita berjumpa lagi.."

Jika saya tidak menuliskan di sini sebagai suatu kenangan yang sepatutnya kekal dalam ingatan saya, tentang pengorbanan keluarga, maka mungkin saya termasuk ke dalam golongan orang-orang yang tidak tahu bersyukur.

Saya bersyukur, malah amat bersyukur dengan segala pengorbanan keluarga saya. Isteri dan anak-anak saya amat memahami masalah saya dan mereka memberikan perhatian yang sepenuhnya. Kepada semua, kepada isteriku suamimu ini amat menghargai segala sumbangan baktimu semasa berada di sana. Kepada anak-anakku, ayahmu tiada secebis komplen.

Sehari sebelum pulang ke tanah air, saya lihat keluarga saya seolah-olah berada di dalam keadaan yang stress sangat. Bersolat di ruang atas tingkat dua Masjidil Haram, Afiq dan Qawiyy di sebelah kiri saya, Bang Ngah di sebelah kanan, wajah mereka jelas tidak ceria. Kusam dan muram atau murung.

Menyaksikan keadaan itu, saat-saat akhir pula saya berdoa sepenuh hati kepada Allah swt agar mengembalikan kegembiraan dan keceriaan anak-anak saya. Mereka tidak tahu apa doa saya, tetapi mereka menyaksikan betapa air mata saya merembes keluar tanpa dapat di tahan-tahan. Ketika itu saya merasakan amat menyayangi mereka semua.

Seperti kilat doa saya dimakbulkan Allah. Beberapa minit selepas itu, selesai bersolat, isteri saya datang kepada kami dan dia melihat kesan-kesan air jernih di pipi saya. Apa yang kami saksikan ialah ketiga-tiga anak bujang kami kembali ceria dengan wajah yang berseri-seri.

Saya memberitahu isteri saya bahawa sebelum solat tadi ketiga-tiganya kelihatan murung dan tertekan, saya tidak tahu apa puncanya. Dengan penuh rasa kesyukuran saya dan isteri meneruskan agenda sendiri dan anak-anak kami meneruskan agenda masing-masing. Sementara itu Kaklong dan Dik As berada di hotel, tidak turut bersama kami kerana kedua-duanya uzur.


   
Awal tahun lepas CTN di sana


Bersama rakan-rakan ahli rombongan yang lain semasa berada di sana amat membantu dan menggembirakan. namun bersama ahli keluarga ia sangat-sangat menakjubkan. Segala-galanya kami lakukan bersama dengan penuh semangat, teruja dan seronok. 

Mundar mandir, ke hulu ke hilir bersama anak-anak mencari ruang solat yang sesuai di dalam masjid amat menggembirakan kami. Ada waktunya kami terlewat juga tiba di masjid. Pernah juga bersolat di atas tangga di tengah panas di depan pintu yang telah tertutup kerana kami terlewat.

Pernah juga sekali bersolat di Dataran sahaja kerana kami tidak dapat masuk. Pada hari Jumaat pula kami diberitahu agar ke masjid tidak lewat daripada pukul 10 pagi jika mahukan tempat di dalam MH. Kami patuhi nasihat tersebut, namun ketika kami sampai semua ruang di dalam sudah di penuhi dan selama 1 jam 20 minit kami berlegar mencari tempat untuk bersolat. Gagal. Akhirnya kami mendapat tempat berhampiran tempat saie.

Baju dan pakaian saya isteri yang uruskan sama seperti ketika kami di tanah air. Selipar saya, sejadah kecil saya dan botol air minuman saya semuanya di uruskan oleh anak-anak. Saya hanya menyarungkan kaki dan melangkah. Tempat untuk bersolat mereka yang carikan. Air zam-zam setiap kali saya minum anak-anak saya yang ambilkan. Mereka benar-benar berbakti kepada ayahnya. Bang Ngah, Afiq dan Qawiyy berebut-rebut untuk menjaga ayahnya. Jika jubah tidak betul mereka segera membetulkan.

Ihram saya mereka yang pakaikan. Setelah keadaan saya sempurna barulah mereka menguruskan diri mereka pula. Beg dan name tag saya mereka yang ingatkan. Di Masjid Nabi saya bawa rokok, qawiyy yang uruskan tempat menyimpannya. Di Masjidil Haram saya tidak membawa rokok, namun apabila singgah minum di D' Saji atau makan ais kerim di tepi jalan, saya akan berusaha untuk mendapatkan rokok dari pekerja di situ.


   
Penyerang Chelsea Demba Ba yang berasal dari Senegal, berada di Masjid Nabawi ketika rakan-rakannya berada di Brazil untuk Piala Dunia 2014


Sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam semuanya anak-anak saya yang ambilkan. Jika saya nak makan di bilik mereka bawakan ke bilik. Jika kami makan di hotel, saya hanya duduk sahaja dan mereka yang ambilkan. Saya tidak ada peluang untuk beratur seperti orang lain.

Masa berlalu begitu pantas sehinggakan apabila diberitahu bahawa esoknya kami akan berangkat pulang, kami seolah-olah terkejut.. "Eh copek ea nak balik.." Segala-galanya indah di sana. Segala-galanya mengasyikan. Sepanjang masa hati terhibur dan berasa seronok. Hanya sekali dua saya terasa berdebar-debar bimbang entah apa, namun saya segera memohon kepada Allah agar memberikan kekuatan dan ketenangan. Tidak lama hanya sekadar untuk beberapa minit perasaan tenang dan indah kembali kepada saya.

Kecualilah orang itu seorang penulis terkenal, selain daripada itu rasanya tidak ada yang mampu untuk menggambarkan menerusi tulisan betapa suasana di sana begitu asing, begitu indah, begitu manis dan syahdunya. Saya tidak mampu. Lagipun pengalaman berada di sana tidak sama antara satu sama lain.

Pertama kali melihat Kaabah secara nyata, dan ketika ingin berdoa wajah pertama yang muncul di depan mata saya ialah wajah anak buah saya dari Palong. Along Besar kemudian diikuti satu persatu saudara mara yang lain. Hairan juga saya kenapa wajah dia yang pertama muncul, tidak wajah ibu dan wan atau abang saya.

Di Masjid Nabawi seperti yang saya pernah tulis wajah rakan kita kakcik yang pertama muncul. Syukur saya mengingati semuanya termasuk Wahab dan Zaharin dari Lumut Perak. Doa saya semuga semuanya menikmati kehidupan yang indah dan segera serta kerap kali di jemput oleh Allah menjadi tetamuNya. Wajah Enab dan MCC sering muncul dalam ingatan, sementara nama Hawa kerap kali saya sebut. Muga kesemuanya mendapat perkenan Allah jua.

Esok  kita akan menyambut kedatangan Ramadan yang penuh barakah. Bulan ini segala amalan kita akan memperolehi ganjaran berlipat kali ganda, Insya Allah. itu janjiNya. Mari kita gunakan sebaik mungkin. Saya berbisik kepada keluarga saya bahawa, kita baru sahaja berada di bumi yang penuh barakah dan kini kita dipertemukan pula dengan bulan Ramadan yang mulia. Lakukan beberapa perkara iaitu solat berjemaah, membaca Al Quran, berdoa sepenuh hati dan bersedekah. Selebihnya kita serahkan kepada Allah.


   
Ada orang membantah pembesaran ini, atas alasan untuk mengekalkan struktur yang lama. 100 tahun dahulu jumlah tetamu Allah hanya sekitar 10,000 pada musim haji, kini jumlahnya melebihi 5 juta. Bagaimana mungkin para jemaah akan berasa selesa dan selamat jika tidak ada usaha pembesaran ini.


Sebaik-baik sedekah ialah sedekah pada bulan Ramadan. Berilah apa sahaja yang kita mampu termasuk senyuman yang menyenangkan dan berkata-kata dengan kata-kata yang baik. Istimewanya solat sunat Tarawih, hanya ada di bulan Ramadan.

Saya sangat teruja menanti kedatangan Ramadan. Rutin tahunan saya sejak sejak dahulu ialah menyaksikan sembahyang sunat tarawih dari Masjidil Haram atau Masjid Nabawi. Saya tidak pernah ketinggalan walau untuk satu malam dan saya tidak pernah merasa mengantuk dan saya tidak pernah merasakan masa saya terbuang untuk menuntunnya.

Kali ini mungkin ada kelaian sedikit, di mana sambil menuntun saya juga mungkin tercari-cari tempat di mana pernah meletakkan dahi ini di sana, bersujud kepada Illahi.

Sebelum catatan ini berakhir, saya ingin menyebutkan bahawa rombongan kami juga di bawa melawat telaga zam-zam. Bukit Uhud, Gua Hiraq, Gua Tsur dan banyak lagi tempat. Melihat ketinggian tempat-tempat bersejarah ini, tidak terbayang oleh kita betapa 1400 tahun dahulu Rasulullah dan para sahabat mampu menghadapi segala kesukaran ketika itu. Mungkin kesukarannya terutama ketika menyelamatkan diri dari buruan Kafir Quraish adalah berkali ganda daripada yang kita dapat bayangkan.


  
Yang berjiwa kental mampu sampai ke atas sana..





Sekarang ada anak tangga, 1400 tahun dahulu bagaimana???



Berulang alik dari Gua Hiraq ke kediaman Baginda untuk menerima wahyu dari Allah adalah sesuatu yang manusia biasa tidak mungkin sanggup melakukannya. Mendaki bukit yang tinggi sehingga ke 5000 kaki tentulah amat mencabar kudrat kita.

Berada di tempat-tempat bersejarah ini sebenarnya tiada nilai jika dibandingkan dengan sesuatu yang lain termasuk wang ringgit. Sesiapa yang berkemampuan, pergilah ke sana dan alami sendiri sesuatu yang asing yang sungguh indah. Pengalaman yang pastinya tidak akan kita temui di tempat lain.


  
Ini pun sebenarnya menyebabkan kita akan berasa rindu untuk ke sana lagi. Air zam zam yang percuma, minumlah semaunya.

Berjuta cawan plastik digunakan pada setiap hari.


Sesiapa yang telah pergi ke sana, berdoalah dan berhasratlah supaya dapat pergi lagi. Sesiapa yang sihat dan mempunyai banyak wang, pergilah kerap kali kerana tiada ruginya berkunjungi ke bumi suci tersebut. Jika sibuk dan tiada masa, maka carilah ruang yang sesuai dan ziarahlah ke Makam Rasulullah, Masjid Nabawi dan Masjidil Haram. Di sana ada kedamaian yang mutlak sekiranya kita benar-benar menyerahkan diri kepada Allah swt. 

Kota Mekah dan Madinah adalah Kota Makmur, itu janji Allah. Saya hanya ingin berkongsi tentang perniagaan pengangkutan di sini. Terdapat beribu-ribu buah bas yang besar yang sentiasa bersedia untuk mengangkut para jemaah dari satu tempat ke satu tempat. Agaknya ini merupakan salah satu perniagaan yang menguntungkan.

Industri bas ini juga menyedikan peluang pekerjaan yang banyak untuk warga tempatan dan mungkin juga warga asing. Selalu digembar gemburkan bahawa para pemandu dengan sengaja mengurangkan tahap kedinginan hawa di dalam bas. Hanya setelah diberi sedikit tip atau sagu hati barulah udara benar-benar nyaman di dalam bas.

Saya tidak tahu namun mutawif kami kerapa kali memohon maaf kerana pendingin udara di dalam bas kurang berfungsi. Pernah kami sedang memakan ihram, namun keadaan sangat panas dan tidak selesa. namun kami iaitu kumpulan saya tidak mengadu atau komplain atau komen. Kami terima seadanya dan tip juga tidak ada diberikan. 

Selamat Berpuasa kepada semua pembaca blog ini, mohon ampun dan maaf sekiranya ada yang tidak kena dengan selera kalian. Semuga Ramadan kita kali ini lebih baik daripada yang lepas-lepas.


No comments:

Post a Comment