GAMBAR EDISI TERBARU

GAMBAR EDISI TERBARU
Kekal bersama...selamanya.

Monday, April 11, 2011

SAYANGI KELUARGA KITA

Oleh Jokiden:

Bulan April ini menyaksikan ramai rakan-rakan kita menyambut hari jadi. Antaranya Tahir, Mona Kiah, Ali Ahmad, Zamrus dan juga Norisah. Saya mempunyai sesuatu untuk dikongsi bersama rakan-rakan smbk sempena hari jadi ini. Sebelum itu Selamat Hari Jadi Semua.

Asalnya saya tidak berhasrat untuk menulis tentang hari lahir ini, kerana saya mempunyai sesuatu yang lain untuk ditulis. Namun senja tadi saya sempat kena teh tarik dengan Jalil di Stadium Nasional dan dia telah menegur baju yang saya pakai. Mungkin warna baju saya tidak menarik kepadanya. Mungkin jenis kain baju saya dari jenis yang tiada kualiti.. Tak kisahlah. "Ini hadiah hari jadi dari datin den.." kata saya pada Jalil dan dia mengangguk faham dan bagi saya inilah baju yang paling berharga dalam dunia ini. Lalu saya teruja untuk menulis dalam blog kita malam ini.

Ada orang menganggap sambutan hari jadi tidak membawa apa-apa makna dalam hidup mereka. Ada orang tidak ingatpun tarikh lahir dia. Ada orang tidak merayakan apa-apa atau tidak mengadakan apa-apa peringatan sempena sambutan hari jadi mereka. Bagi mereka apa dihairankan kerana pada waktu hari jadi mereka terdapat berjuta insan lain yang juga lahir pada tarikh yang sama. Ada pula yang tidak tidur sepanjang malam kerana merayakan sambutan hari jadi.

Ada yang mengadakan majlis besar-besran dengan menjemput rakan taulan dan menjamu mereka dengan mewah sekali. Ada juga yang mengadakan majlis doa selamat sempena hari ulang tahun kelahiran mereka. Pelbagai cara memperingati hari penting tersebut. Terpulanglah kepada diri masing-masing dan keluarga masing-masing. 

Seorang rakan saya pernah berkata kepada saya bahawa dia tidak mempunyai sesiapa di dunia ini selain daripada saya semata-mata hanya saya sorang yang ingat tarikh hari lahirnya. "Tidak boleh membuat ukuran begitu, jom kito kono teh tarik" Kata saya memujuk apabila saya dapati dia terlalu stress dengan peristiwa kecil tersebut.

Lalu saya bawa dia ke KLIA, melihat kapal terbang turun naik, melihat ribuan orang pelbagai bangsa yang mundar mandir di situ dan akhirnya kami ke food court di tingkat dua. "You pesan apa saja... den bolanjo aghi ni sompono aghi jadi kau" 

Saya berlagak sikit dengan harapan jiwanya kembali segar dan murungnya cepat berlalu. Pengajaran yang saya terima ialah, apabila seseorang itu dikelilingi oleh suasana mewah, segala kepahitan dan kerunsingan bisa lenyap begitu saja tanpa kita sedari. Kawan saya akhirnya ceria walaupun kami hanya menikmati segelas teh tarik dan sekeping roti canai di situ. Selamat duit saya.

"Lain kali jika hati runsing jangan sesekali pergi melepak di warung-warung tepi jalan atau kedai mamak, cari tempat-tempat begini, atau pergi sejukan badan di lobi hotel mewah.." kata saya memberi motivasi kepada dia. "Di tempat-tempat begini orang selalunya terlupa segala masalah yang menghimpit diri. Tidak ada yang teringat bill telefon tidak berbayar di sini. Orang akan lupa sekurang-kurangnya tuntutan ansuran kereta atau tagihan hutang lapuk."  Saya meneruskan. Kami ketawa berdekah-dekah.

Seorang rakan saya lagi, tiba saja hari jadi ibunya pada setiap tahun, jangan harap kita akan dapat bersamanya. Bagi dia dan keluarganya meraikan hari jadi ibunya adalah 'wajib' dan tidak ada sesiapa dikalangan keluarga terdekat yang dibenarkan mengelakan diri. Mereka menyambutnya di Kuala Lumpur namun seorang daripada adik beradik akan turun ke Batu Pahat semata-mata untuk membeli Nasi Beriani Gam Batu Pahat yang disukai oleh ibunya. Begitulah ragam manusia.

Saya bersyukur juga kerana hari jadi saya selalunya sentiasa diingati oleh keluarga saya. Cuma mereka tidak berani bertanyakan apa hadiah yang saya mahu. Jika mereka bertanya tentang hadiah jawapan saya mestilah satu iaitu saya mahukan 'purse' Berilah apa hadiah sekalipun, biar mahal harganya, bagi saya yang paling bererti ialah dompet duit. Hinggakan koleksi purse saya begitu banyak, tapi duit saya tidak juga banyak-banyak. Tak apalah, duit tak banyak, tapi purse banyak. Jika orang tidak belikan purse untuk saya, maka saya akan ke Sogo dan beli sendiri. Selalunya setiap dua atau tiga bulan saya bertukar purse.

Jika sesekali saya terlihat rakan-rakan saya mengeluarkan purse yang telai 'sotai motai' maka saya akan bermurah hati memberinya satu, kadang-kadang yang belum saya guna, kadang-kadang yang telah saya guna tetapi masih kelihatan baru dan jauh lebih elok daripada yang telah 'sotai motai' tadi.

Minggu lepas saya menyambut hari jadi yang ke 55 tahun. Syukur pada Allah swt. Anak-anak cuma menyanyi melalui handphone kerana waktu tiba detik 12 malam itu saya sedang memandu kereta. Jiwa terasa besar apabila ahli keluarga mengingati saat itu. Adalah sikit hadiah, tapi purse TAK ADO HUAWAAA!!!!!!

Isteri saya membelikan dua helai baju, taklah mahal sangat, namun sejak dulu saya telah terbiasa dimana nilai bukanlah jadi ukuran. Sentimental value kata oghang putih ea. Pernah anak bongsu saya tidak memiliki apa-apa untuk dihadiahkan, maka dia memberi saya cuma sebatang pensel. Itupun amat berharga bagi saya. Yang saya sangat suka dengar dari isteri dan anak-anak  ketika hari jadi ialah "Ayah, kami sayang ayah.."

Dalam serba kekurangan saya untuk keluarga, saya masih disayangi, saya masih dihargai dan saya tetap dimuliakan oleh keluarga. Apa lagi yang saya perlukan selain daripada anugerah tersebut.

Kerapkali saya berpesan kepada sesiapa sahaja supaya memberikan perhatian yang lebih kepada ahli keluarga. Sayangi mereka lebih daripada menyayangi orang lain. Muliakan mereka melebihi belaian ke atas orang lain. Keluargalah yang akan terus bersama kita dikala kita memerlukan bantuan.  

Jika kita masuk hospital, keluargalah yang kerap datang menjenguk kita saban hari. Mungkin sahabat handai, saudara jauh juga akan datang sambil membawa pelbagai jenis buah-buahan atau bunga, tetapi percayalah mereka hanya muncul sekali atau dua kali sepanjang waktu kita berada di katil hospital. Selebihnya keluarga kitalah yang bersengkang mata menjaga dan melayan kita. 

Sesekali jika kita menghadapi masalah besar dalam kehidupan kita, rakan taulan, saudara jauh hanya akan lebih banyak bersimpati, tetapi yang merasai pedih hati kita ialah keluarga kita. Lalu sayangilah keluarga kita sebaik mungkin. Carilah wang yang banyak untuk keluarga kita, layanlah semua kehendak keluarga kita, penuhi segala permintaan mereka sedaya upaya. Bawalah mereka makan ditempat-tempat istimewa. Bawa juga mereka sesekali melancung melihat negara orang.

Pentingnya dalam hidup ini ialah, jangan sakiti hati keluarga kita. Jangan lukai perasaan mereka seboleh mungkin. Jangan lebihkan orang lain dan kurangkan perhatian kepada keluarga kita. Kesilapan tersebut akan menyebabkan kita terpaksa membayar dengan harga yang mahal kelak. Jika sesekali kita terlanjur, maka segeralah perbaiki kesilapan kita tersebut.

Secebis kisah ini mungkin berguna kepada kita, baca dengan nada perlahan-lahan, jangan tergopoh gapah.

Safian seorang yang amat berjaya dalam hidupnya telah bersedia untuk menyambut hari lahirnya. Dia orang penting dan ramai sangat yang ingin merayakan hari jadinya. Beberapa restoren mewah di hotel lima bintang di Kuala Lumpur telah ditempah oleh rakan-rakannya untuk meraikan hari bersejarah tersebut. Dari pagi sampai ke malam jadual dia amat sibuk pada hari tersebut.

Waktu dia ingin keluar rumah pagi itu anak bongsunya Aiman telah merapati beliau, meminta tolong dia memetikan sekuntum bunga rose dihujung laman rumah mewahnya. Tanpa menyedari kepentingan bunga tersebut kepada anak bongsunya, dia mendengus dan berlalu pergi dengan bergaya sekali meninggalkan anaknya kehampaan. "Ayah nak cepat ni, ambillah sendiri, takpun mintak tolong bibik nanti, ngacau je" bentaknya keras lalu memasuki kereta mewahnya.

Dengan segala susah payah, anak bongsunya berjaya juga memetik bunga rose tersebut dan membawanya masuk ke dalam rumah. Sekembalinya  ibunya dari pejabat (memendekan bekerja setengah hari) dan abang serta kakaknya dari sekolah, persiapan dibuat untuk menyambut hari jadi bapa mereka.

Masa  berlalu pantas, dengan sedikit hiasan di atas meja, dengan sedikit makanan yang sempat dibeli, sebuah kek buah dan tidak lupa sambal ghesek kesukaan ayah mereka tersedia, lalu mereka menunggu kepulangan ayah yang disayangi. Tengah hari ayah tidak muncul, petang ayah  mereka tidak muncul. Senja merangkak tiba, ayah juga tidak muncul. Telefon berdering berpuluh kali, namun tidak ada suara ayah yang menjawab panggilan tersebut.

Seluruh keluarga menjadi hiba, kecewa dan putus asa. Penantian diteruskan hingga lewat malam, ayah mereka tidak juga pulang. Untuk mengubati hati yang bengkak ibu mereka memarahi anak-anak yang telah layu dimeja, memerintahkan mereka masuk tidur, kerana jam telah lewat 1 pagi. namun anak bongsu masih berdegil dan keras kepala tetap setia di tepi meja sambil merenung kek buah, lilin yang tidak bernyala dan ditangannya masih tergemgam erat bunga rose. Wajahnya kosong hampa.

Hampir jam 3 pagi, anak bongsu terdengar deruan injin kereta memasuki perkarangan rumah. Namun ketika itu kelopak matanya telah hampir benar tertutup. Jiwanya kembali berbunga dan dia bangun perlahan-lahan menunggu di pintu.

Ayahnya berjalan masuk sambil terhuyung hayang, rebah rempah, dengan rambut yang kusut masai dan bau arak yang amat kuat keluar dari pernafasannya. Dia terlalu mabuk ketika itu. Dalam sinar cahaya lampu yang suram di ruang tamu rumahnya, langkahnya terhenti ketika terpandangkan anak bongsunya tercegat di depannya.

"Selamat Hari Jadi Ayah, Aiman sayang ayah" kata anak bongsu sambil menghulurkan sekuntum bunga rose kepada ayahnya.

"Memekak je, pergi tidur!!!!!!!" jerkahnya sambil sebuah penampar hinggap di pipi anaknya. Bunga rose yang dihulurkan terpelanting ke lantai. Aiman anak bongsunya terkejut, menangis kesakitan atas tamparan ayahnya dan berlari ke biliknya.

Jam 5 pagi, setelah agak relax dan fikiran pulih sedikit Safian teringatkan Aiman anak bongsunya. "Apa yang telah aku lakukan tadi.." bisik hatinya. Dia mengutip bunga rose di lantai dan perlahan-lahan menuju ke bilik Aiman, daun pintu ditolak perlahan dan dia melihat Aiman telah tertidur dengan nyenyaknya namun sedu sedan Aiman masih ada. Setiap dua minit Aiman tersedu dan tersangut-sangut dalam tidurnya.

Safian amat menyesali tindakannya. Wajah tenang Aiman direnungnya sayu  "apa yang telah aku lakukan, kenapa aku layan keluargaku begini, tadi aku amat baik hati melayan kerenah kawan-kawanku, kenapa aku tampar anakku..." macam-macam lagi yang dia fikrkan. Airmatanya merembas keluar dan dia dapat melihat kesan jari tangannya di pipi Aiman.

Titis air matanya yang panas jatuh ke pipi Aiman, lalu membuatkan Aiman terjaga.. "ayah!!!" kata Aiman perlahan, masih tersedu sedan, bimbang dia ditampar lagi.

"Aiman, ayah minta maaf..." kata Safian sambil memeluk Aiman..

"Tak apa ayah, Aiman tak bagi tau mama pun.."

"Ini bunga rose untuk ayah..?" katanya sambil menunjukan bunga itu pada Aiman.

"Ya, kan setiap tahun Aiman bagi bunga rose pada hari jadi ayah..Aiman ambil sendiri tu, berdarah tangan Aiman.." katanya bangga.

Safian bungkam, sepi, bisu dan menyesali kekasaranya terhadap Aiman.

"Ayah, Selamat Hari Jadi, Aiman sayang ayah.." kata Aiman lembut.

"Terima kasih Aiman..."

SAYANGILAH KELUARGA KITA.

Suatu petang ketika minum-minum di Dataran Senawang dengan rakan-rakan, telefon salah seorang rakan saya berdering. Dia melihat nombor yang keluar dan dengan penuh hati-hati serta wajah ceria dia menjawabnya. Panjang perbualan dia dan kami dapat meneka yang menelepon itu mestilah seorang wanita berdasarkan dari cara dia melayannya.

Tidak lama kemudian dia minta diri sebentar dan bergopoh gapah ke seberang jalan. Bila dia kembali dengan wajah yang puas saya tanya dia.

"kau poie mano tadi tu.."

"poie kodai topup, awek den call, mintak tolong topupkan.. kredit dio dah abih..."

"Boghapo kau topupkan? saya bertanya terus.

"Dio mintak RM10 yo, den topupkan RM50, kang susah nak bobughak.."

"ooo camtu...hebat kau" kata saya.

"ah biasolah, nak jago awek ni"

Sanggup dio bosusah payah ke seberang jalan untuk membelikan awek dia topup. Tidak lama kemudian telefon dia berdering lagi, saya lihat mukanya berkerut sedikit apabila melihat nombor yang terpapar.

"hah.. apo hal plak ni..?" suaranya agak garang dan keras.

"Tak ado kojo lain ko, duit..duit..duit, ingat abah chop duit ko, jimatlah sikit, kan abah susah ni., mintak kek omak kau.."

Kami terdengar suaranya semakin meninggi dan segera menamatkan perbualan..

"Sapo tu?" saya bertanya kepadanya.

"alah anak den, yang kek Kuantan tu, asyik nak duit yo, macam-macam nak diboli ea, itulah inilah, ingat den banyak bona ghingit.." katanya masih tak puas hati.

"Boghapo dio mintak, dio nak boli apo?" saya bertanya terus.

" alah ngado-ngado tu, 30 hingit nak boli buku apo tah, den mano ado duit.." dengusnya lagi.

"awek nak topup 10, kau boghi 50, anak mintak 30 kau kato tak ado.." kami gelak ramai-ramai dan saya bangun sambil menghulurkan RM50 pada dia.

"apolak ni?' tanyanya.

" Bayar minum kito ni, baki ea tu kau bankin kek anak kau tu..den nak cabut.."   

  "eh tak yahlah..nantilah dulu.."

Saya terus berlalu.

SAYANGILAH KELUARGA KITA.

3 comments:

  1. As-Salam,

    Sebagaimana yg diceritakan oleh Tn Pengerusi diatas, saya sungguh terharu dan menyentuh kalbu dgn tajuk "Sayangilah Keluarga Kita'.

    Apa yg saya nak ceritakan bahawa sambutan hari lahir ni bermcm2 cara, tapi pendapat saya tidak ramai kaum bapa yg nak mengingatinya atau nak merayakannya, ada tu buat2 tak tau je. Malah kaum bapa ni lebih suka buat2 lupa atau tak ambil peduli pun, atau buat2 tak ingat tarikh2 lahir org2 yg terpenting dlm hidupnya, itu menunjukkan bahawa mereka terlalu penting diri sendiri dan kedekut. Seorang isteri selalunya tahu dan sentiasa ingat akan harijadi org2 penting dlm keluarganya terutama harijadi suami dan anak2. malahan harijadi ibubapanya. Malang si suami sentiasa lupa.....walaupun diingatkan..

    Tengok ajelah diatas bak cerita yg dipaparkan oleh Tn Pengerusi, tanyalah diri sendiri berapa ramai yg sebegini.

    Semuga apa yg dipaparkan memberi pengajaran dan keinsafan pd kita, iaitu betapa pentingnya ahli keluarga kita. Untuk siapakah kita disaat ini, dan dimanakah orang2 tersayang kita berada ketika ini, jangan bila kita susah baru kita ingat kelauarga kita bila senang kita lupakan mereka..

    Sekian.
    Berjumpa di lain masa. SSAK

    ReplyDelete
  2. Setiousaho,

    Jangan Berputus Arang, Kelak Menyesal Tak Sudah.

    Dua beranak yang saling menyayangi satu sama lain, suatu hari telah berkelahi atas kesalahan yang tidak sebesar mana. Anak lari dari rumah meninggalkan ayah yg telah tua seorang diri.

    Ayah ego, anak juga ego, namun semakin hari semakin memendam rasa. Kedua-duanya saling merindui satu sama lain, namun tidak ada yg mengambil langkah untuk kembali berbaik.

    Lima tahun berlalu, ayah diserang jantung dan dibawa ke hospital oleh jiran2. Seminggu di hospital tidak ada sesiapa yg menjenguk si ayah. Apabila ditanya oleh Dr, ayah memberitahu dia tidak mempunyai sesiapa di dunia ini. Namun si ayah memberikan satu nombor telefon kepada Dr untuk dihubungi jika terjadi sesuatu dan memohon sehelai kertas dan pensel.

    Dr menghubungi nombor telefon tersebut dan bertanyakan siapa dia dan apa hubungan dengan pesakit. "Saya anak dia" "Datang ke hospital segera kerana ayah tuan sakit dan tiada harapan untuk sembuh" kata Dr tersebut. "Baik Dr saya datang sekarang" Jawab si anak cemas.

    Dr kembali ke katil pesakit dan didapatinya siayah telah lena, kertas dan pen terlepas dari pegangannya. Dr mengambil kertas tersebut dan membacanya. Air matanya bergenang lalu menyimpan kertas tersebut.

    Beberapa jam kemudian sianak sampai dan segera mendapatkan Dr yang meneliponya. "Maaf tuan, ayah tuan telah tiada" Dr itu menjelaskan lalu memberikan sekeping kertas. Sianak segera membacanya.

    "Anakku Aiman, dikala kau membaca nota ini ayah mungkin sudah tiada, namun percayalah ayah telah memaafkan segala kesalahanmu. Ayah tahu kau amat merindui ayah, begitu juga ayah amat merindui Aiman. Ayah juga mengetahui bahawa Aiman selamanya menyayangi ayah dan tidak berdendam kepada ayah... Aiman, maafkan segala kesalahan ayah.Selamat ti........"

    Setakat itu nota tersebut dan mata si anak telah berpinar dan terus ghobah!!!!

    Jangan kita berpatah arang dgn orang tersayang...

    ReplyDelete
  3. tumpang tny.. sotai motai tu apa ye

    ReplyDelete