GAMBAR EDISI TERBARU

GAMBAR EDISI TERBARU
Kekal bersama...selamanya.

Thursday, May 26, 2011

KENANGAN LALU 7

Jeram Tengkek, Md Shah, Sharif dan Ganja
Apa yang saya paparkan kali ini agak berbeza, namun hakikatnya, pengalaman adalah  guru yang paling baik.

Pada zaman persekolahan kita di SMBK, wabak gejala dadah baru bermula.  Ganja. Heroin dan Morfin belum dengar lagi.  Merokok dilarang di sekolah, walau bagaimanapun, ada juga yang melakukannya dalam tandas, dalam bas atau di perhentian bas. Dulu kita ditakutkan dengan rokok, kononnya, menghisap merokok akan membawa kepada menghisab dadah (menurut arwah Cik Gu Yunus Ali). Apapun, mungkin kerana ketakutan itu kita terselamat dari bencana dadah, Alhamdulillah.

Cuti bulan April, 1973, saya telah diajak oleh sahabat untuk berkhemah di Jeram Tengkek. Antara yang kuat menegajak saya pergi ialah Md Shah, kini Pegawai PPD Jempol dan Sharif. Yang dua lagi ialah Gan (bukan nama sebenar) dan Run (juga bukan nama sebenar).

Kami berbasikal ke Jeram Tengkek. Saya berseorangan dari Juaseh dan menemui Run di Batu Kikir. Kami berdua meneruskan perjalanan ke Padang Lebar dan menemui Sharif, Md Shah dan Gan dalam perjalanan. Kami berlima pun berkayuh ke Jeram Tengkek. Pagi itu hujan renyai. Jalan berlopak dan dipenuhi air. Sampai di satu tempat, basikal saya terperosok dalam lubang mengakibatkan tayarnya bocor. Oleh kerana tempat berkenaan sudah hampir dengan Jeram Tengkak, kami meneruskan perjalanan dengan menumpang Run sambil memegang basikal.

Sampai di Jeram, Md. Shah yang handal dengan ilmu pengakapnya memberi arahan dan mengepalai situasi. Maka tercapailah hajat untuk berkhemah. Mandi sepuas-puasnya, masak, makan, menyanyi, menelurusi hutan dan macam-macam kami buat.  Seronok dan cukup indah kenangan itu jika dibayangkan hari ini. Bila malam tiba, kami tidur dalam 2 buah khemah, Saya tidur dengan Run dan yang 3 orang lagi dalam sebuah khemah. Kerana keletihan saya terlena awal.

Larut malam, atau mungkin sudah masuk pagi, saya terjaga dan dapati Run tidak berada di sebelah saya. Saya terdengar hilai ketawa kawan-kawan di khemah sebelah. Mereka bercerita pengalaman masing-masing. Bila saya  amat-amati apa yang saya dengar, perkara yang mereka bualkan bukanlah sesuatu yang kelakar atau jenaka yang harus diketawakan, tetapi hairan saya, mereka ketawa berdekah-dekah, entah apa yang mereka ketawakan sebenarnya pun tak tahu malah timbul kehairanan bagi diri saya.  Mereka bertanya sesama sendiri soalan-soalan yang mudah-mudah seperti nama ikan dan nama pokok. Apa sahaja jawapan yang diberikan, mereka akan ketawa berdekah-dekah dengan jawapan itu. Saya bangun dan terus ke khemah sebelah untuk menyertai kegembiraan kawan di sebelah. Md Shah cepat-cepat memberi isyarat kepada saya agar tidak mencampuri sahabat yang mengilai ketawa malamnya. ‘Kau tak faham ni doh!’ celah Sharip yang turut melarang saya memasuki khemah. Run dan Gan ketawa berdekah-dekah, tergolek-golek sambil memegang perut dalam khemah bila Sharif cakap ‘kau tak faham’ tu. Saya pun berasa pelik, kenapa Md Shah dan Sharif menegah saya menyertai kumpulan berkenaan dan kenapa mereka gila ketawa begitu. Sehinggalah saya tertidur semula, yang saya ingat mereka terus mengilai ketawa sambil bercerita yang bukan-bukan.

Esoknya, saya bangun awal dan menyiapkan sarapan. Saya didatangi Md Shah dan dia menerangkan apa sebenarnya berlaku pada malamnya. Barulah saya tahu, rupa-rupanya hilai ketawa sahabat-sahabat dalam khemah itu adalah akibat khayal akibat menghisab ganja. Itulah pengalaman pertama saya menyaksikan kelakuan orang akibat menghisab ganja.

Kami meneruskan aktiviti perkhemahan pada hari berikutnya. Memancing, ngoca, memanggang menjadi sebahagian aktiviti yang sangat menyeronokkan. Peristiwa malam sebelumnya itu sedikitpun tidak menjejaskan hubungan kami. Masing-masing menyimpan cerita itu pada diri sendiri. Kami pulang petang keesokan harinya dengan menumpang Bas Malay Transport (sekali dengan basikal) sehingga Padang Lebar. Di Padang Lebar, kebocoran tayar basikal saya dibaiki dan terus pulang ke Juasseh. Satu pengalaman yang sangat indah. Seronok.

Md Shah dan Sharif, terima kasih atas segala pengalaman itu. Terima kasih atas kenangan itu. Kenangan itu masih segar dalam ingatan saya malah menjadi salah satu kenangan yang menjadikan ikatan persahabatan ini begitu kukuh dan kuat. Kerana pengalaman inilah saya mengelakkan diri dari merokok apalagi menghisab hisapan yang terlarang. Sampai hari ini saya tidak merokok.

Perkhemahan kali pertama itu tidak berakhir di situ. Semasa saya bertugas sebagai guru si SMBK dari 82 – 86, setiap tahun saya akan membawa pelajar saya berkhemah dan melukis di Jeram itu. Dan setiap kali saya ke Jeram itu, bila memandang tapak tempat kita berkhemah, kenangan ini akan terus bermain di kepala. Indahnya zaman persekolahan kita. Hari ini, jika saya ke Jeram Tengkek, tapak perkhemahan itu tetap akan menjadi kenangan manis zaman remaja kami.

Jeram, Tengkek, Md Shah Sharif dan Ganja, satu pengalaman yang tidak dapat saya lupakan.

4 comments:

  1. Sayang sekali Dr tak cubo. Kok cubo sekali tontu mudah nak noghang kek pelajar pelajar supayo jangan telibat ganja.

    Ese sendighi memang selalu melibatkan dighi dgn budak dadah (heroin &mophin (hujung 70an-awal 80an.Tapi ese nengok yo..sekali pun ese tak cubo doh. Mako tak dapeklah ese nak noghang'an ghaso eh doh. Tompi cagho eh ngisap bondo tu, tau ameklah ese. kok ese cubo maghin tu..ontah ado tah tidak lah ese aghi ini doh.

    Nak beghonti ngokok pun susah..Doctor sughuh beghonti..Jokiden kato aghi tu.."jangan ikut cakap dr, pemongak yo tu..Hisap yoo.. hisappplaaah"

    Ese ikut cakap jokiden yoh...
    Jokiden - timokaseh eteh nasihat aghi tu...NSR...

    ReplyDelete
  2. posa ngokok ni sei ponah tanyo dr. zaha (sobab dio pun ngokok) dio kato dr. boleh merokok sobab ee dr. tau teknik ngokok yg baik. tapi sei tak taulah dr. shidi tau atau tidak teknik merokok yg baik.mungkin dio tak tau tu ssb ee dio tak ngokok.

    sei tak ngokok do...ganja pun tak ponah ghaso do.

    ReplyDelete
  3. Saudara Rashidi,
    Terima kasih kerana menulis semula. Dah lama saya menanti tulisan saudara. Tulisan yang menarik dengan pengelaman lampau. Saya semacam dah habis idea nak mencurahkan pengelaman. Member lain macam tak minat untuk menulis pengelaman lalu. kebanyakannya hanya sekadar membaca atau memberi komen saja.
    kenangan saudara menyegarkan ingatan saya. Maaf kerana dah beberapa hari membisu. Dalam kesibukan saya terlupa membayar bil broadband menyebabkan internet saya tersekat beberapa hari.
    Mengapa member2 kita tidak menulis? Tidak tergamak saya membuat analisis kerana mungkin menyebabkan member2 tersinggung.
    Saya menunggu tulisan Iskandar dan jalil yang serius. Juga tulisan Siti Normah, Halimah dan beberapa yang lain.
    ISMAIL@CHANG CAPIT

    ReplyDelete
  4. Esei bukan tak nak nyampuk tapi tepoghanjat bilo tau ada kwn kito bomain ngan ganja ghupo ee...nasib baik tak koka ngan tabiat itu...alhamdullilah...jgn2 kok coghito kosong yo ni...takdo coghito reko coghito.....hehehe

    Ampun dan maaf dr sei.....

    ReplyDelete