Oleh Mohd Sharif Ahmad
Malam tadi saya berkesempatan bertemu dengan Tahir Kassim di Restoren Kayu, di Bandar ICT Shah Alam. Dia turut ditemani oleh isterinya. Pertemuan bermula lebih kurang jam 10.30 mlm dan hanya berakhir hampir jam dua pagi.
Kerancakan dan keseronokan berbual menyebabkan kami tidak terasa masa berlalu begitu cepat. Apa yang kami bualkan biasalah, kisah lama, kisah silam, kisah zaman sekolah, kisah zaman remaja, tanpa bosan. Mengumpat rakan-rakan lama juga guru-guru tidak ketinggalan.
Lepas segelas, segelas lagi kami pesan minuman supaya tokey kedai itu tidak tersinggung dengan hilai tawa kami. Berkali-kali saya membayangkan betapa jauhnya untuk kembali ke Seremban, namun Tahir buat macam tak faham je.
“Tak kisah den balik pun bukan bulih tido ni, silap2 kono jumpo oghang laie aa..” katanya seolah-olah ingin terus berbual hingga ke azan subuh. Isterinya juga tidak langsung menunjukan rasa gelisah, selalunya kita boleh mengesan bahasa badan seseorang.
Betullah dia tak boleh tidur kerana terpaksa bertugas di pondok Rukun Tetangga, Taman Sri Andalas, tetapi saya akan memandu dalam kesunyian dan kedinginan malam melalui Lebuh Raya Lekas untuk kembali ke Seremban.
Kesimpulan saya terhadap setiap pertemuan dengan rakan lama ialah keseronokan yang melampau, keriangan yang sukar digambarkan, kemesraan yang bertambah dan kita tidak tergesa-gesa untuk berpisah.
Berbual dengan Tahir menghilangkan perwatakan matang seseorang kiranya ada. Segala rupa bentuk lawak dan perkara lucu akan terhambur keluar tanpa ada keseriusan antara kami. “oghang sini tak paham apo yg kito bughakkan doh, lainlah kek Sonawang” katonya tanpa kisah.
Sejak kebelakangan ini saya agak ‘sibuk’ sikit. Blog kita sebenarnya tidak pernah sunyi kerana sentiasa dikunjungi pada setiap hari. Cuma posting baru agak kurang kerana lebih ramai yang membaca dari yang menulis. Tidak perlu ada sesiapa yang merasa bersalah dalam hal ini.
Cuma saya sedikit rasa kasihan dengan Kakcik Mariani kerana dia merasakan blog kita kurang meriah tanpa komen dan posting rakan-rakan. Saya tidak pula ada perasaan merajuk seperti yang disangkakan olehnya.
Terima kasih kepada Bang Maei dan Siti Shara kerana menulis sesuatu untuk dikongsikan dan saya sebenarnya kehilangan banyak idea untuk respon. Sungguh, hati tetap tersentuh dengan catatan kalian.
Kisah di Mekah, di hadapan Baitullah, di Makam Rasullullah, kisah ditimpa tahi burung semuanya meruntun hati saya. Semuanya menginsafkan. Terasa kerdilnya diri ini.
Kisah percutian di Pert Australia sambil meraikan hari bersejarah anak bujang menyebabkan hati ini ingin sangat menikmati suasana indah tersebut. Kisah Perjalanan penuh romantis Siti Normah dan Suami ke Negara Gajah Putih dan Bangkok menyebabkan jiwa ini tertanya-tanya, bila saatnya saya akan merasainya.
Melihat gambar Jalil dan Enab di New Delhi dan New York, selain merasa bangga jiwa juga terasa ingin ke sana. Melihat gambar Dr Ahmad Zuhaidi melawat hutan Negara orang, hati terus berkata, bahawa rakan-rakanku sungguh Berjaya.
Kisah ‘Saudara Saya’ oleh Bang Maei, bukan saja mengembalikan nostalgia lama semasa di kampong halaman, tetapi juga mengimbau zaman silam yang penuh trajis, suka duka, riang ria dunia remaja saya yang penuh bergelora.
Sepatah catatan beliau membuatkan saya rasa cemburu tidak terhingga kerana kenapalah saya tidak berpeluang berpayung dikala gerimis turun berjalan seiring dengan Badariah diwaktu pulang dari sekolah.
Terfikir di dalam hati andai kata waktu itu saya ada bersama, apakah kami akan berpayung bersama tiga orang serentak. Atau siapakah yang akan dibiarkan berhujan tanpa payung. Jika berkongsi juga payung tersebut siapakah mungkin yang duduk di tengah-tengah antara kami. Imiginasi harus terhenti setakat ini.
Kenapalah Bang Maei mencatatkan semua itu lalu saya menjadi semakin ingin kembali ke saat itu, saat dimana sukar untuk membezakan antara rasa persahabatan dengan jalinan kemesraan yang lain maksudnya.
Kisah gulai labu masak lomak, sambal ghesek dan kuih kodok memutarkan kembali ingatan saya kepada untung nasib saya pada zaman dulu dan kesannya hingga ke hari ini.
Jika suatu hari nanti saya akan menulis memoir hidup saya setebal 843 mukasurat, pastinya salah satu daripada topic pengkisahan saya ialah tentang sambal ghesek, lepat ubi, lepat pisang dan juga cokodok.
Semasa saya di kampus jika sesekali saya mampu membeli kuih, tiada kuih lain yang saya beli kecuali kuih kodok atau lepat pisang atau lepat ubi. Rakan-rakan semuanya faham, jika mereka bermurah hati untuk memberi saya kuih, pastinya kuih itu yang mereka pilih.
Minggu lepas anak sulung abang saya mengadakan majlis pertunangan dan semasa jamuan makan, lepat pisang dan lepat ubilah yang pertama saya sebat.
Di Seremban terdapat Pasar Malam setiap malam, jika sesekali isteri dan anak saya menggunjunginya, lepat pisang atau lepat ubi pastinya dicarikan untuk saya.
50 tahun lalu, diwaktu usia saya 5 dan enam tahun, asalkan berkunjung ke kedai abah Latifah itulah kuih yang saya nikmati.
Tidak ada kuih lain yang mampu ibu dan uwan saya sediakan masa saya kecil kecuali cokodok, lepat pisang dan lepat ubi. Kesannya hingga ke hari ini saya amat sukakan kuih tersebut.
Bang Maei bercerita benar dalam postingnya. Ketika abang saya dihantar ke sekolah aliran Inggeris pada tahun 1968, seluruh kampong menjuihkan bibir. Masa itu pelajaran bagi masyarakat kampong belum begitu dipentingkan.
Memasukkan anak ke sekolah aliran Inggeris seolah-olah menempah maut. Sengaja ‘tidak ada beban batu digalas’. Gambaran ketika itu pembelajaran dalam aliran Inggeris adalah dianggap sukar dan mahal. Orang miskin seperti kami sepatutnya hanya pergi ke sekolah aliran Melayu, sekolah agama atau berhenti sahaja apabila menamatkan pendidikan di darjah enam.
Kemiskinan dan kesusahan keluarga saya ketika itu bukanlah menjadi rahsia sesiapa. Semuanya mengetahui bahawa kami kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Orang kampong tahu situasi itu. Jiran-jiran tahu. Rakan-rakan tahu dan cikgu-cikgu juga tahu.
Saya melalui kehidupan waktu itu seadanya tanpa mengerti sangat tentang masa depan, tentang dunia, tentang Negara, tentang kaya dan tentang miskin. Namun sebagai perbandingan dengan orang lain saya tahu bahawa saya serba ketinggalan dan serba kekurangan. Dan semakin saya meningkat dewasa, saya semakin mengerti dan memahaminya.
Dikalangan rakan-rakan tempat mengadu nasib, ISHS merupakan orang yang saya pilih. Ketika itu saya merasakan dia mungkin antara rakan yang paling bersimpati dengan nasib saya.
Duit saku yang saya bawa ke sekolah hanyalah 10 sen seminggu. Jika ada 20 sen dalam poket itu adalah bonus. Saya berbelanja hanya sekali dalam seminggu. Selebihnya ke sekolah hanya dengan poket kosong. Jiwa juga ada kalanya kosong.
Ada waktunya saya dibekalkan nasi bungkus tanpa lauk oleh ibu saya. Ada waktunya nasi juga tidak ada untuk dibuat bekalan saya. Jika ada nasi kosong, sewaktu makan dengan rakan-rakan pada masa rihat saya tertinjau-tinjau lauk pauk rakan-rakan. Ada ketikanya saya diberi sedikit habuan, namun ada juga waktunya jelingan dan tinjauan saya hanya berlalu tanpa saya memperolehi apa-apa.
Sesekali jika nasib saya baik nasi saya turut dibekalkan dengan telur itik dadar dalam daun pisang. Telur dicampur dengan daun kunyit dan daun pisang digunakan sebagai ganti minyak. Ketika menulis ini saya masih dapat merasakan betapa enaknya telur itik dadar dalam daun pisang.
Pada waktu yang lain pula jika masih bernasib baik saya dibekalkan dengan nasi putih berlaukan ikan getting atau ikan takuk bakar.. enak, tetap enak kerana semua jenis makanan bagi orang miskin adalah enak.
Menuliskan ini semua membuatkan saya rasa malu, namun hakikat masa itu tidak ada sesiapa yang dapat menafikannya. Nordin tahu, Alias tahu, Tahir tahu, Halimah tahu, Badariah tahu, cikgu Yusof Daud tahu, Razali Khamis tahu, Md Shah tahu, Salim tahu, Iskandar tahu, Tipah, Mariani, Siti3, Jalil, Roslan tau dan Wahab juga tau.….Semua orang tahu!!!!!!!!!!!!!!!!!
Tidak ada sesuatu untuk dimakan di rumah adalah perkara biasa dalam hidup saya. Kali terakhir kami sekeluarga tidak mempunyai apa-apa untuk dimakan ialah pada tahun 1978. Peristiwa itu kekal terpahat diingatan saya ialah kerana waktu itu hujung minggu dan saya kembali ke kampong untuk bercuti.
Waktu itu saya ditahun dua pengajian di Universiti. Setiap kesempatan yang ada selalunya saya gunakan untuk menjenguk ibu di kampong. Keriangan bertemu dengan ibu dan uwan berakhir dengan rasa hiba yang tidak terhingga apabila ibu memberitahu “hari ini tak ada apa-apa untuk ditanak jang…samolah kito tak makan” Wajah redup dan mata sayu ibu ketika menuturkan kata-kata tersebut kekal hingga kini.
Bunyinya anih.. namun saya mengingati peristiwa itu hingga ke hari ini. Kadang-kadang apabila saya sesekali teringat tentang zaman dulu, saya tidak mampu membayangkan bagaimana sebenarnya kami sekeluarga mengharungi hidup ketika itu. Semuanya seolah-olah mimpi.
Susah, ramai orang susah, namun kesusahan saya tidak terperi. Miskin, ramai juga orang miskin namun kemiskinan saya tiada bandingannya. Lalu bagaimana sebenarnya saya melalui detik-detik penuh ranjau itu…? Mungkin hanya memoir setebal 1000 mukasurat sahaja yang dapat menjelaskannya.
Seminggu selepas menerima ijazah dan sewaktu untuk memulangkan jubah kepada pihak Universiti, saya menunjukan gambar dengan jubah kepada rakan-rakan di kampus. Seorang darinya membuat komen, “Kalau yapun nak berposing dengan jubah takkan lah sampai bergambar dalam pundung durian”
Saya katakan pada dia “Ini bukan pundung durian, ini rumah akulah..” dia tercengang, terlopong dan tidak terkata apa-apa lagi. Beberapa detik selepas itu dia berkali-kali mohon maaf kepada saya kerana dia tidak tahu yang tangga dari kayu bulat, dan dinding dari buluh itu adalah rumah saya. Ketika itu saya tidak merasa apa-apa.
Namun kini jika kisah itu sesekali kembali menjelma dalam kenangan, pasti pandangan saya menjadi kabur, mata saya berpasir, terutamanya teringatkan renungan mata ibu yang redup sayu...
Panjang coretan ini. Rakan-rakan boleh pilih mana yang ingin dibaca. Tidak bacapun tidak mengapa. Cuma Kakcik Mariani mungkin sukakannya. Sementara cikgu Md Zain mungkin cuma tersenyum kerana coretan ini gagal dipendekan seperti yang pernah disungutkan oleh cikgu Sulaiman Kassim kepadanya suatu ketika dulu.
Saya budak nakal, budak jahat dan budak degil. Ramai yang menyedari sifat saya itu. Saya tidak cuba menafikannya. Perwatakan saya berbeza di sekolah, di rumah, di kampong, di kampus, di tempat kerja dan di tempat social.
Hingga ke hari ini saya masih begitu. Saya disayangi, dihormati, dikasihi dan saya juga dibenci. Sekalipun saya dibenci tetapi saya tetap dirindui.
Kehadiran saya adakalanya tidak disukai, namun ketiadaan saya juga dirasai. Ini kesimpulan mudah.
Perwatakan berbeza tersebut mungkin untuk mengimbangi sebarang kekurangan yang saya ada. Pada kebanyakan waktu semasa di sekolah misalnya, saya cuba seaktif mungkin. Kepenatan semasa di sekolah menyebabkan saya menjadi lapar yang teramat sangat. Apabila tiba di rumah apa sahaja yang ada saya mampu menelannya tanpa sedikitpun merasa mual.
Jika ada ubi, saya akan kenyang dengan ubi. Jika ada rebus pisang saya akan kenyang dengan rebus pisang sebelum sempat membuka pakaian sekolah. Jika nasib lebih baik hari itu ada nasi menunggu kepulangan saya, maka hari itu saya kenyang dengan nasi.
Kesemua makanan tersebut saya nikmati dengan satu jenis lauk sahaja iaitu sambal ghesek. Jika nasib baik ada sedikit ikan bilis sebagai campuran dan saya menambah sepinggan lagi nasi.
Bertahun-tahun saya makan berlaukan sambal ghesek, hingga ia sebati dengan selera saya. Hari ini jika sesekali saya tidak berselera untuk makan, maka isteri saya akan membuat sambal ghesek sebagai pembuka selera siap ditambah ikan bilis besar dan diperah asam limau..sedap!!!!!!!!!
Hari ini, bersarapan di mana-mana restoren saya seboleh-bolehnya cuba mencari sambal ghesek. Terdapat juga hotel yang menyediakan menu sambal ghesek pada hari ini. Maknanya makanan untuk orang miskin suatu waktu dulu telah menjadi menu istimewa bagi orang kaya di waktu ini. Saya cuma bangga!!!!!!
Tahir ada bertanya dalam serba kekurangan tersebut bagaimana saya boleh belajar hingga ke menara gading. Jawapan saya mudah saja iaitu saya bernasib baik. Masuk Universiti adalah Qadar Allah swt, bukan kerana saya pandai sangat.
Dalam hidup ini kita kena percaya juga pada untung baik dan untung jahat. Nasib jika tidak memainkan peranan 80% tetap mempunyai peranan sekitar 20% dalam setiap kejayaan seseorang.
Kaki ponteng masa di sekolah dan dilantik sebagai Pengerusi Ponteng Club oleh rakan-rakan. Mengikut catatan jumlah hari yang saya ponteng masa di form six ialah 172 hari. Ini bermakna saya hanya menghadiri suku sahaja daripada jumlah hari yang sepatutnya saya berada di sekolah dalam setahun itu.
Berada dalam tingkatan enam tidak ada sesiapa yang peduli sekiranya kita ingin ponteng. Hingga ke hari ini saya sering berselisih bahu dengan guru-guru yang pernah mengajar saya semasa di form six, namun akibat kerap sangat ponteng tidak ada guru-guru tersebut yang kenal kepada saya kecuali dua orang.
Tadi semasa menghadiri kenduri di rumah Cikgu Othman Daud, bekas Timbalan pengarah Pendidikan Negeri, saya terserempak dengan cikgu Mazlan. Dia masih segak, tetapi dia tidak mengenali saya. Kira-kira tiga bulan lalu saya duduk bersebelahan katil dalam wad Hospital Kuala Pilah, dia juga tidak mengenali saya.
Hanya cikgu yusof dan cikgu Hamzah yang masih mengenali saya dan sering menjerit bila setiap kali bertemu. Namun anak murid tetap mengenali gurunya.
Saya mempunyai keyakinan yang tinggi tentang pesanan ibu saya semasa saya belajar dulu. Katanya hendak turun dari rumah mesti dimulakan dengan kaki kanan dan baca Bismillah.. Naik bas mesti kaki kanan dulu dan baca Bismillah.. Masuk dalam kelas mesti kaki kanan dulu dan baca Bismillah… Masuk dewan hendak menjawab kertas peperiksaan mesti kaki kanan dulu dan baca 21 kali Bismillah..
Kebiasaan ini saya teruskan hingga ke hari ini dan saya terus yakin dengan berkat kalimah tersebut. Saya juga memberitahu Tahir sesekali jika saya termasuk ke dalam kelas dengan kaki kiri akibat ditolak-tolak atau diasak-asak oleh rakan2 maka saya akan keluar semula dan masuk kembali dengan kaki kanan. Apapun saya amat bersyukur.
Budak jahat ini apabila akhirnya berjaya ke Universiti, maka satu kampong riuh rendah. Pada hari mendaftar saya ditemani oleh penduduk kampong dengan menyewa sebuah bas. Mereka menghantar anak Sg Jelutong yang pertama masuk ke Universiti tersohor di Asia.
Mana-mana yang tidak sempat menghadiri majlis doa selamat dan kesyukuran yang diadakan oleh ibu saya pada waktu malamnya telah menunggu bas lalu di hadapan rumah masing-masing sama ada untuk melambai tangan atau untuk menghulurkan seringgit dua kepada saya. Indahnya saat itu.
Ketua kampong saya pagi itu telah juga menahan bas berkenaan dan menghulurkan RM3 kepada saya dengan kata-kata “buat beli air batu” dan pesanan rajin-rajin belajar serta doa beliau semuga saya berjaya. Semuanya mengharukan dan pastinya menjadi kenangan.
Hingga ke hari ini apabila sesekali saya memberi seseorang sedikit wang untuk urusan tertentu saya sering berkata “untuk beli air batu” sebagai tanda ingatan saya kepada arwah ketua kampong saya.
Ibu dan uwan saya ada memberitahu bahawa sumbangan terkecil oleh penduduk kampong saya semasa pemergian saya ke university ialah sebanyak 40 sen dari seorang ibu tunggal yang sehingga ke saat akhir hayatnya amat menyayangi saya. Orang kampong memanggilnya Ijah Anu. Dia memiliki sebuah basikal tua yang diseretnya kemana sahaja dia pergi, namun sepanjang hayatnya dia tidak pernah menunggangi basikal tersebut.
Basikal tersebut digunakannya sebagai ganti tongkat untuk mengimbangi badannya yang agak bongkok. Basikal juga digunakannya untuk membawa barang seperti padi, beras, getah, ayam dan sebagainya. Saya ditakdirkan menyayangi dia seperti saya menyayangi uwan saya.
Selepas belajar dan bekerja dengan kerajaan saya seboleh mungkin cuba membalas jasa baik dan budi masyarakat kampong saya dalam pelbagai cara. Pada peringkat awal tidak mendatangkan apa-apa masalah samada di pihak saya sebagai pemberi@pembatu dan orang kampong sebagai penerima.
Namun lama kelamaan setiap apa juga yang saya cuba lakukan pasti mengundang prejudis dari orang kampong dan akhirnya saya pasrah. Diawalnya saya dibenci, kemudian ada sedikit ruang untuk disayangi dan akhirnya kembali dibenci. Kisah ini juga memerlukan 1000 mukasurat jika ingin diceritakan.
Tidak seperti Bang Maei, tidak ada ibu bapa rakan-rakan yang sudi menjadikan saya calun menantu setakat yang saya tahu. Diluar pengetahuan saya entahlah… tak berani saya nak komen.
Antara ayah rakan-rakan yang mengenali saya cuma ayah Halimah iaitu Hj Ujang sehingga ke akhir hayatnya tetap memanggil saya sebagai anaknda. Samada terdapat maksud yang tidak terzahir atau sekadar menyayangi saya sebagai anak sendiri, saya tidak tahu. Saya juga menyayangi beliau. Terlanjur menyebut tentang Halimah, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Jadi dan doa saya tetap sama semuga panjang umur, murah rezeki, sihat tubuh badan dan tercapai segala impian.
Salam rindu kawan-kawan dan jumpa lagi.