GAMBAR EDISI TERBARU

GAMBAR EDISI TERBARU
Kekal bersama...selamanya.

Monday, February 7, 2011

KENANGAN LALU 3

KENANGAN LALU 3
Hasnan, Seni Lukis dan Cinema Club SMBK.
Kenangan Lalu Siri 2 saya mendapat perhatian dari beberapa orang sahabat. Terima kasih Normah, Jalil, Sharif dan LAR kerana menambah kenangan manis kita bersama. Saya sengaja menyebut nama Abang Datuk Izat dan Kakak Cikgu Saedah, sebab inilah dua insan yang turut menjadikan saya seperti adanya saya pada hari ini selain dari ayahanda saya dan Cikgu Zain Rais. Jalil masih teringat lukisan ‘Koboi ber’draw’ saya. Itu poster untuk Wayang Gambar anjuran Cinema Club ‘Stagecoach’ (lakonan Mike Connors (Mannix) dan ‘The Gunfighter’. Cinema Club ini miliki sejarah dan kenangannya sendiri.
Dunia lukisan saya terbuka bila berkenalan dengan Hasnan. Semasa saya berada dalam Form 3B, Hasnan menjadi kawan baik saya. Hasnan sangat pandai melukis. Lukisan figuranya cukup bergaya. Pensil dan pen sketchesnya cukup bertenaga.
Semasa berada di Form 3B, Hasnan telah menyiapkan sebuah Komik (tajuknya dah lupa). Komik ini dihasilkannya sendiri, dengan lukisan tangan. Cukup cantik, macam komik yang dibeli di kedai. Masa itu lukisan komik Abdul Halim Teh sangat popular. Seronok melihat mainan jari jemari Hasnan melukis dan hasil lukisannya.
Saya terpengaruh dengan hasil karyanya dan cuba untuk meniru. Dari sinilah bibit seni lukis saya bermula. Namun begitu, komik yang saya harapkan itu tidak berjaya saya siapkan. Saya cuba menghasilkan komik cerita Perang Dunia Kedua seakan-akan cerita Dirty Dozen, tapi tak kesampaian. Hasnan banyak memberi komen berkenaan lukisan saya. Adakalanya gembira dengan komennya itu dan adakalanya sakit hati diketawakannya. Pirdaus sepatutnya masih ingat banyak mengkritik karya saya. Namun itulah bermulanya proses seni lukis saya. Gaya lukisan saya banyak dipengaruhi oleh gaya lukisan Hasnan.
Semasa berada di Form 4, Hasnan meninggalkan SMBK ke TMS. Kami tidak pernah lagi bersua selepas itu. Cikgu Md. Zain Rais mengenengahkan bakat saya. Saya masih ingat, ketika kerajaan menganjurkan Pesta Pembangunan di Rembau, saya telah diminta oleh Cikgu Zain untuk membuat poster kejayaan seorang petani di Jempol. Berhempas pulas juga saya berusaha untuk menyiapkan lukisan tersebut. Cikgu Zain ingin perkataan ‘SYABAS’ sebagai tajuk poster untuk menggambarkan kejayaan petani berkenaan. Akhir sekali, menggunakan idea Cikgu Zain, kami memotong perkataan SYABAS dari iklan Benson and Hedges dan ‘montage’kan pada poster saya. Hasilnya sangat unik dan luar biasa. Teknik itu kemudian saya pelajari semasa belajar di ITM dengan gelaran ‘collage’. Saya berkesempatan ke Pesta Pembangunan itu dan melihat sendiri hasil karya poster saya terpamer di salah sebuah gerai dan cukup seronok melihat orang ramai terpegun dengan idea ‘Collage’ itu. Sesuatu yang baru ketika itu.
Saya terus melukis. Cinema Club menjadi platform saya mengasah bakat. Mr. Ramu Naidu, penasihat kelab akan meminta saya melukis poster untuk tayangan gambar sekolah.
Saya masih ingat panggung wayangnya ialah bilik darjah yang dibuka partition dan digabungkan dengan dewan. Tingkap akan ditutup dengan kain hitam untuk mencegah kemasukan cahaya. Projektor akan ditempatkan di belakang dewan/panggung untuk memutarkan filem. Setiap kali filem bertukar reel, tayangan akan dihentikan. Bila tingkap ditutup, bilik jadi panas, murid berpeluh dan akan menjelmalah kepelbagaian bau yang menusuk hidung. Namun kami seronok menonton filem. Lebih seronok mengenangnya kembali.
Pengetahuan teknikal ketika itu terhad. Pernah satu hari, kerana tidak tahu menggunakan ‘lens adjuster’ semua pelajar menonton filem kabur dari awal hingga akhir. Peristiwa yang tidak dapat dilupakan lagi ialah filem ukuran cinemascope ditayangkan menggunakan projector scope biasa maka terpaparlah gambar kurus tinggi dan panjang. Satu lagi peristiwa ialah reel filem yang ketiga dimainkan pada reel yang kedua akibatnya, cerita itu tamat dahulu dan bersambung dengan pertengahan cerita. Ini berlaku pada cerita lakonan Rod Taylor kisah peperangan dunia kedua di Filipina. Tajuknya dah lupa. Salah satu kegemaran Mr Ramu Naidu ialah pergi menjemput filem berkenaan dengan motosikalnya, waktu sesi persekolahan, di Stesen Keretapi di Bahau. Pos Laju dan Courier belum ada lagi ketika itu.
Mr. Ramu akan memberi saya tajuk filem dan terpulanglah kepada saya untuk membuat visualization nya. Segala ilmu yang saya pelajari dari Hasnan, saya gunakan untuk melakar poster ini. Adakalanya Mr. Ramu suka dan setuju dengan visualization saya dan adakalanya tidak.
Tiket wayang juga dicetak sendiri menggunakan mesin saikostail. Photocopy belum ada lagi ketika itu.  Untuk mengelakkan tiket haram cetakan sendiri, maka Mr. Ramu akan cop pada setiap tiket dan hanya yang bercop ini sahaja akan dijual dan dibenarkan masuk ke panggung. Tapi sentiasa ada sahaja sigenius Iskandar dapat mematahkan sistem ini dan ramai juga yang masuk percuma.
Banyak poster yang saya lukis. Kemahiran lukisan saya berkembang dengan baik dan ramai yang suka dengan lukisan poster yang saya buat.
Semasa Form Five, terdapat hanya segelintir kecil sahaja pelajar yang menduduki kertas Seni Lukis. Yang saya masih ingat Iskandar. Subjek seni lukis tidak diajar dalam kelas pagi, kena belajar sendiri. Ada seorang cikgu sementara perempuan (dah lupa nama tapi lawa) yang berusaha mengadakan kelas tambahan sebelah petang, tapi calon yang tak datang.
Senilukis dalam MCE lagi dahsyat kenangannya. Saya tersalah pilih kertas. Saya terkeliru dengan ‘Lukisan Orang Hidup’ dengan ‘Lukisan Gubahan Fikiran.’ Iskandar, seingat saya cuba membetulkan kekeliruan saya, tapi ketika itu sombong, terlalu yakin tak mahu dengar cakap orang. Akibatnya, sayalah satu-satunya calon kertas ‘Lukisan Orang Hidup’.  Saya dikehendaki melukis potret. Saya masih ingat, Muzammil (Tkt. 4) menjadi model saya. Oleh kerana hari itu hari pertama peperiksaan MCE, mesyuarat semua invigilator diadakan.Oleh itu semua invigilator  hadir. Saya masih ingat saya seorang yang melukis diawasi oleh 8orang invigilator.
Namun saya berjaya dengan ‘distinction A1 untuk subjek seni lukis saya dalam MCE. Dengan kelulusan ini serta dengan khimat nasihat dan bimbingan Cikgu Ali Yakob, saya melanjutkan pelajaran ke Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka ITM. Di sini saya mendalami bidang seni lukis hingga ke peringkat tertinggi. Hari ini karya seni lukis saya terpamer dan dijadikan koleksi beberapa pengumpul karya seni lukis di Malaysia dan juga antarabangsa. Di Malaysia. karya seni lukis saya terpamer di Galeri-galeri dari Johor hingga ke Langkawi. Peringkat antarabangsa pula terdapat lukisan saya menjadi koleksi seni di Indonesia, Thailand dan Autralia. Malah dalam usaha untuk mempamerkan karya di USA dan UK.
Bila direnung semula, segalanya bermula di SMBK. Tidak pernah sekali-kali seorang anak kecil di SMBK tahun 1969-1974 dulu menyangka karyanya akan terpamer di peringkat antarabangsa. Hasnan, Mr. Ramu Naidu, Cinema Club, Cikgu Md Zain dan Cikgu Ali Yakob tidak ketinggalan, Iskandar, ….terpahat bersama setiap lukisan yang saya hasilkan. Terima Kasih semua. Shidi.

6 comments:

  1. Bila baca nukilan Prof kali ni, tiba2 je sy rindu sngt kat Mr. Ramu Naidu. Masih hidupkah dia atau sudah berlalu pergi, kalau masih..apa kata next reunion ajak dia, rasanya dia sayang kat sy masa sek dulu..satu lg yg sayang kat sy ialah mendiang Gurcharan Singh {maso remove ado yg nyobut namo e Guranchan, kono tompik an}, kedua2 guru ni sayang kek se mungkin diorang ni agak se ni koturunan dio.

    ReplyDelete
  2. Shidi yang saya ingat seorang yang kreatif dan inovatif. Darah seni yang mengalir ditubuhnya sentiasa digunakan dengan sebaik-baiknya, dia pandai mengekplotasi bakat. Tambahan pula dia seorang yang penyabar, tak kisah apa orang kata (terutama bila kawan-kawan gelar dia cowboy),jika kita komen,dia akan senyum selamba sahaja. Dia pandai menggunakan komen-komen tersebut untuk memajukan dirinya, itulah sebabnya dia berjaya. Setahu saya beliau bukanlah orang yang sombong, senang diajak berbicara, mudah menerima gurauan dan sangat berhati-hati bila mengeluarkan kata-kata dan dia amat takut kalau orang lain berkecil hati. Sifat-sifat inilah yang mengiringi kejayaan dalam karier beliau.

    ReplyDelete
  3. dulu masa wayang tgh main sound system sampai keluar dewan terutama kalau citer koboi....sapo2 yg kehabisan tiket tunggu la show nak habis ehsan toke panggung bukak pintu (sobab kek dlm dah berasap...)

    ReplyDelete
  4. LAR, bilo Jalil sobut pasal koboi se tu, se pun teragak kek dio (Mr Ramu). Tu yang datang idea nulih Kenangan Lalu 3 nih. Kita cubolah cari dio. Kalau dapek memang elok ajak dio sekali.
    Tok Lombago, reunion kito ni bagaikan makbul doa sei. Bilo sei dapek yo Phd. dulu, sei berniat nak cari balik somuo orang yang ado sumbangan jasa kepado kejayaan sei, nak ucapkan berbanyak-banyak terimo kasih. Alhamdulillah, Allah makbulkan. Dengan ado ee blog ni, dapek sei luahkan raso terimo kasih sei satu persatu, torang dan joleh. Syukur. Kito ni insan,selagi namo ee insan, selagi itulah ado kelomahan dan kedhaifan. Kato-kato Tok Lombago tu sei kembalikan pado Allah, sobab Dio yang menciptokan sei macam ni. Yang dapek kito buek iolah jihad yo, jihad untuk membuek yang terbaik, itu pun ateh perintah Dio juo. Terima kasih, kato-kato Tok Lombago tu akan sei somatkan di hati biar de jadi azimat untuk membimbing sei sampai ke liang lahad. Alhamdulillah. ...shidi...

    ReplyDelete
  5. Shidi:Terima kasih kerana mengingatkan saya ttg kesah2 lalu.Mengenai Cinema Club sei mmg ingat sobab sei pun adalah AJK nengok wayang free.Patut pun free paneh bebonar dalam kelas yang bertutup.Kipas tak cukup kuat n bau masing2 subhanallah..LAR dua orang guru tu mmg sayang kat u sobab tak jauh bezo kulit e...agak e lah..Tapi semuo dah berubah sekarang dah putih gobu lopeh mandi chlorox kan...jangan marah yo gurau2 dulu kito tak pernah mesra pun ..u sonyap yo sambil nengok orang lain..

    ReplyDelete
  6. Aah..dulu se malu amek2 nak cakap dongan budak lolaki sobab adik boradik somo e pompuan. Nak cakap lai pasal Mr Ramu..dio e kalau marah ko suko ko samo yo sobab bibir e koriting. Eiii..jahat e se.

    ReplyDelete