GAMBAR EDISI TERBARU

GAMBAR EDISI TERBARU
Kekal bersama...selamanya.

Thursday, February 10, 2011

KENANGAN LALU 4


ISMAIL, PENULISAN DAN SMBK
Pada Malam Gala yang lalu, majlis telah memberi penghormatan kepada Saudara Ismail Mat Isa untuk menyampaikan puisi. Seronok mendengar puisinya. Adakalanya Ismail berjaya membuat kami ketawa dan yang lebih hebatnya, dia juga membuat kami merasa terharu. Adakalanya tergenang airmata mengimbau kembali kenangan puitisnya.  Ismail sememangnya handal bersastera dan banyak kenangan manis berkaitan penulisan antara saya dengan Ismail ketika di SMBK. Memilih Ismail untuk berpuisi malam itu adalah tepat, wajar, dan sebuah penghormatan.
Semasa bersekolah, minat kepada penulisan memang ada. Bakat? Entah. Minat tak semestinya berbakat. Di SMBK saya mula menulis. Penulisan kreatif. Cerpen.
‘Gigih’ begitulah nama majalah sekolah, menjadi wadah untuk mempersembahkan bakat. Selain gambar kenangan kelas, laporan persatuan, pergerakan, permainan dan sukan, ‘Gigih’ juga menyediakan ruang penulisan kreatif untuk pelajar yang berminat dalam bidang penulisan. Siti Normah, Siti Hawa, Rokiah, Zainun Mustaffa dan beberapa yang lain pernah menghiasi kulit ‘Gigih’ apabila berita pasukan bola jaring yang menjadi Johan Negeri  terpapar dalam akhbar dijadikan sebagai kulit.
Semasa saya berada di Form 4, saya mencuba untuk menjadi penulis. Saya tulis sebuah cerpen melankolik mengisahkan tentang seorang abang yang kehilangan adik kesayangannya bertajuk ‘Jangan Kau Pergi’. Ceritanya pendek. Sedih? Sudah tentu! Masa remaja, suka bermain dengan emosi. Saya hantar ke Sidang Redaksi Majalah Gigih dengan harapan yang besar ia akan dipilih untuk diterbitkan.
Ismail Mat Isa menjelma dalam kehidupan saya semasa berada di Form 4. Dia tua hampir  dua tahun dari saya, ‘remove’ dan ‘repeat’. Ismail, seorang pendiam tetapi seorang pemerhati. Pemerhatiannya cukup tajam. Seronok bersahabat dengannya kerana sifat mesra, rendah diri dan adakalanya suka berjenaka. Kerana umurnya lebih tua dari saya, adakalanya saya merasa dia seorang abang. Dia cukup berminat dengan sastera dan bidang penulisan  dan kerana itu dia terpilih untuk menganggotai majlis Sidang Redaksi Majalah “Gigih’. Guru sastera kami, Cikgu Sulaiman Kassim sangat menyayangi Ismail dan kerana sastera mereka berdua menjadi akrab.
Cerpen yang saya hantar sampai ke tangan Ismail untuk dinilai. Dia termasuk dalam Jawatankuasa yang memilih artikel dan penulisan untuk diterbitkan dalam majalah ‘Gigih’. Suatu hari saya sempat berbual dengan Ismail dan terus menanyakan kedudukan cerpen saya sama ada diterima atau tidak untuk diterbitkan. Dengan mudah dia menjawab ‘Tidak’ sebab ‘taada kualiti’ jawabnya ringkas. ‘Jalan ceritanya tak lojik’ dan ‘terlalu banyak bermain perasaan’. ‘Bahasanya pun teruk’ katanya.
Alangkah kecewanya perasaan saya ketika itu. Sakitnya hati!!! Namun keputusan Ismail terpaksa saya terima walaupun ketika itu berasa tidak berpuas hati. Cerpen saya gagal mendapat tempat dalam ‘Gigih’. Kelemahan yang dinyatakannya pada mulanya susah saya akui namun apabila berpeluang membaca hasil penulisannya dan membandingkan dengan penulisan saya, nyata, bahasa saya lemah, jauh tertinggal. Bahasa sastera Ismail sangat menyerlah. Bahasa Melayu saya memang bermasalah, tidak sebaik sepatutnya, mungkin kerana saya dari aliran Inggeris. Kekecewaan saya diubati dengan komen Ismail untuk menulis.
Minat dalam bidang penulisan tidak terkubur dengan peristiwa itu. Saya terus menulis setelah meninggalkan SMBK. Di ITM saya pula menjadi Ketua Editor akhbar pelajar ‘Biro Pelajar’ sekitar 76 – 78. Akbar ini pernah kena ‘banned’ sebab terlalu agresif memperjuangkan suara pelajar. Pernah juga menulis skrip untuk RTM dan menulis skrip drama pentas. Skrip yang dihantar ke RTM tidak diterbitkan, tetapi ada  ‘Drama Minggu Ini’ yang memaparkan cerita yang sama dengan skrip saya itu. 1985, saya memenangi hadiah Sutradara Terbaik Pesta Teater Negeri Sembilan yang mana skrip ‘Si Bongkok Tanjung Puteri’ saya ubahsuai dengan keadaan masa.
Tidak banyak karya penulisan saya hasilkan semasa bertugas sebagai guru. Namun sebagai pensyarah di Universiti, saya diberi segala kemudahan untuk menulis. 2001 adalah tahun kelahiran buku saya yang pertama. Selepas itu saya tidak berhenti menulis. Hari ini saya sedang menulis untuk menyiapkan buku saya yang ke 9, insyaAllah. Pada Malam Gala yang lalu, dengan simpanan naskhah terhad, saya sempat menghadiah 5 dari 8 buku saya kepada Cikgu Md Zain Rais. Dari lapan buah buku yang telah saya terbitkan, hanya dua buah untuk bacaan umum manakala yang lainnya buku akademik bidang senilukis atau Kesenian Islam.
Ismail Mat Isa, seorang sahabat dalam masa yang sama, seorang  abang. Kritikan pedasnya menyedarkan kelemahan saya. Sangat susah sebenarnya untuk memiliki seorang sahabat yang mengkritik dan berterus terang dengan jujur. Beliau tidak teragak-agak untuk menyatakan kelemahan sahabat. Kalau ikutkan hati, ketika itu, memang segala kritikannya itu telah mengguris hati saya, dah berkelahi dah, namun, sifat abangnya itu telah dapat memulihkan semula hati yang terguris ini dan menjadikannya semangat untuk berubah. Abang Ismail Mat Isa, hari ini buku saya terdapat di semua perpustakaan di universiti-universiti dalam negara dan beberapa universiti dan luar negara dan menjadi rujukan untuk ribuan pelajar dalam bidang seni lukis. 
Ismail Mat Isa….SMBK dan ‘Jangan Kau Pergi’. Penulisan saya bermula di sini. Terima kasih Ismail atas dorongan dan kritikan. Hari ini saya tidak boleh berhenti menulis, setiap hari mesti menulis. Kalau ada sahabat yang jemu membaca penulisan saya dalam blog ini, maaflah. Kalau idea dah datang, saya mesti menulis, tak boleh tangguh. Kalau ideanya tentang kenangan kita bersama, maka blog inilah platform menjadi mangsa ruangan penulisan saya.
Dalam usaha menyiapkan buku ke 9 ini, buku ke 10 dan 11 sebenarnya sudah bermula. Suasana di Ulu Bendul ini kondusif untuk menulis. Sunyi, dingin, angin, kejernihan air dan kehijauan alam. Saya akan terus menulis selagi Allah mengizinkan….. Ismail, terima kasih dan naskhah percuma akan saya hadiahkan sejurus menerimanya dari pihak penerbit. Shidi.



4 comments:

  1. Prof, tulihlah saya pastinya menjadi pembaca yang setia. Mail jugak pernah menghasilkan skrip drama tv dan radio tu. Antara ingatan Cikgu Md Zain ialah apabila artikel saya tiba ke sidang redaksi majalah gigih...cikgu sulaiman pasti dtg jumpa dia macam mana nak potong artikel saya yang panjang tu..Ese pun nak mintak pinjam majalah gigih sok pd Iyeh..MSA

    ReplyDelete
  2. Rep, ese berharap sangat Ismail dapek cerito pengalaman dio lak. Ese pasti, penulisan dio tontu lobih banyak dari ese. Rashid pun samo, kejayaan dio pun bosa yo tu. Kalau dio orang ji tulih, kan best, dapek share. -Tontang penulisan kau tu, at least, ado yo kono torimo, ese, langsung takdo. Bilo hantar tak kono torimo. Yang ado dalam 'Gigih' harapkan gambar kelas dengan pengawas yo. Kok lawa takpo jugo, kabur pulak tu.

    ReplyDelete
  3. Tkasih banyak Shidi kerana mengingatkan nostalgia tu pada abang. Sebenarnya abang dah lupa kisah tu tapi mintak maaf banyak-banyak kalau peristiwa tu menyebabkan ada hati yang terguris.
    Lopeh ni abang akan sentiasa aktif di blog ni untuk menyumbangkan kenangan lalu seperti yang diminta oleh kawan-kawan. Sebagai permulaan abang postkan seloka yang dibaca masa reunion kita dulu untuk ingatan kawan-kawan semua.
    Tahniah untuk kita semua kerana telah melakukan langkah pertama yang hebat.
    Buat Shidi posting yang panjang lebar tentang abang sangat mengharukan. For your information im a real "Book Hunter". Im apreciated to hold and read your book prof.

    BY: CANG CAPIT

    ReplyDelete
  4. Terima Kasih Bang, Nukilan idea tu memang sei tunggu-tunggu dalam blog ni. Bilo cukup semuo idea ini untuk dibukukan, kito bukukan untuk kenangan kito bersamo. sei bersyukur pado Allah sobab dibori maso dan kesempatan untuk menghargai orang-orang yang menyumbang kepado kejayaan sei. Ikhlas, dan Allah mengizinkan.

    ReplyDelete