GAMBAR EDISI TERBARU

GAMBAR EDISI TERBARU
Kekal bersama...selamanya.

Sunday, February 13, 2011

KENANGAN LALU 5

Helimah, Akademia dan SMBK
Malam Gala yang lalu menemukan semula saya dengan seorang insan yang cukup bermakna dalam kehidupan saya. Helimah Ujang. Terpisah dengannya sejurus tamat persekolahan, dan hanya pada Malam Gala yang lalu kami bersua kembali. Syukur ke Hadhrat Allah, kerana memberi kesempatan untuk pertemuan ini.
Seingat saya, Helimah tidak pernah berada dalam satu kelas dengan saya sehinggalah kami berada di Form 4. Atau mungkin saya tak sedar kehadirannya. Namun, yang pasti, semasa Form 4, saya mula mengenali Helimah dengan perkenalan persahabatan yang bermakna.
Semasa berada di Form 4, saya bukanlah seorang yang berminat dengan pelajaran. ‘Honeymoon Year’ itu mungkin satu ungkapan untuk bergembira dan menikmati persekolahan semasa Form 4. Tidak ada exam yang besar. Saya aktif dalam hal di luar akademik. Pengakap, muzik dan  Cinema Club menjadi platform expressi kegembiraan saya. Aktif juga dengan Drama  bimbingan Cikgu Sudin Kamari.
Saya sebenarnya tidak pernah melihat diri saya ini ada kelebihan, lebih-lebih lagi dalam akademik. Akademik tidak seberapa. Sukan? Saya tergolong dalam golongan ‘kaki bangku’. Tidak sehebat Md Shah, Sharif, Iskandar dan Salim dalam bermain bola sepak. Tidak sehandal Alias bermain Volleyball. Saya berminat dengan Badminton tetapi di sekolah Badminton bukanlah satu sukan yang popular maka harapan untuk menyerlah itu tiada. Saya hanya mewakili sekolah ke peringkat daerah dalam sukan Lompat Tinggi. Rival ketat saya, Iskandar.  Pencapaian tertinggi saya ialah tempat ke 3 (gangsa) peringkat daerah.
Kerana terlalu aktif dengan aktiviti, akademik saya tertinggal. Mungkin ada kalangan sahabat yang boleh mengembalikan ingatan bagaimana Ayah saya menulis komen pada buku ‘Report Card’ berkenaan saya terlalu aktif dalam bidang ko-kurikulum. Mr. Ramu telah menutup komen dengan menampalkan kertas di atas komen itu.
Helimah seorang sahabat yang sangat baik. Tidak pernah menyakiti hati. Tidak pernah marah dan senyum selalu. Peramah, kemas, rendah diri, suka memberi penghargaan. Sifat ‘kakak’ nya ketara mungkin saya setahun lebih muda daripadanya.
Dalam hal pelajaran, dia sangat tekun. Bagaimana sekalipun bisingnya kelas, Helimah masih boleh duduk dan terus membaca. Apa sekalipun orang lain buat dalam kelas, dia masih boleh duduk dan membaca. Sharif pernah berkata ketika itu, “Helimah ni, kalau bom gugur dalam kelas ini pun, dia masih boleh terus membaca.” Walaupun banyak kali menjadi mangsa gurauan Isklandar, Nordin, Md Shah, Salim dan yang lain, dia hanya senyum dan sabar dengan segala gurauan dan usikan nakal sahabat-sahabat.
 Dalam hal akademik, saya mengaku kalah dengan Helimah. Saya cukup cemburu ketika itu melihat tulisan berangkainya yang ditulis dengan pena berdakwat cair yang kemas, rapi dan tersusun. Prestasi akademiknya, mengalahkan kami semua, always and everytime.
Saya tahu, Helimah tidak pernah mahu dirinya dipuji dan dilihat sebagai terbaik sebab saya mengenalinya atas sifat  kerendahan dirinya. Namun hari ini, saya harus berterus terang, ikhlas dari diri saya ini.  Segala sifat Helimah inilah yang saya contohi untuk berjaya. Kerajinannya, ketekunannya, kekemasan bukunya dan yang paling penting persiapannya untuk menghadapi MCE  saya tauladani. Saya cuba mengikut stylenya belajar. Jika Helimah ada nota ringkas setiap tajuk dalam silibus untuk semua subjek, itu pun saya ikut. Akhirnya, saya berjaya dengan keputusan Grade 2 dan Helimah lebih berjaya dengan Grade 1.
Selepas sekolah, saya diberi maklumat yang salah. Saya diberitahu Helimah bertugas sebagai Jururawat di Terengganu. Oleh itu tidak ada usaha yang saya buat untuk menemuinya. Rasanya tidak akan bertemu lagi untuk mengucapkan terima kasih. Cuma menjelang reunion lalu saya dapat tahu rupanya dia seorang guru di STAR Gemas. Bersyukur. Masih ada kesempatan untuk meluahkan penghargaan.
Masa telah menjarakkan saya dengan Helimah dan nasib telah mengubah keadaan. Kebanyakan kita berjaya. Kemasukan saya ke ITM meyakinkan saya kepada haluan hidup seni dan academia. Saya bernasib baik dapat masuk ITM kerana ia menawarkan segala kemudahan sehingga kejayaan hari ini.  Namun, jauh disudut hati ini, saya tetap ingat bahawa kejayaan saya hari ini, bermula di sekolah dulu, dan ketika itu, Helimah, satu watak yang sangat bermakna, contoh dan tauladan akademia yang cukup mempengaruhi academia saya. Saya tidak pernah sempat untuk meluahkan penghargaan ini, dan saya bukannya jenis yang pandai berkata-kata untuk memuji, takut disalah anggap. Kalau saya berhadapan dengannya, penghargaan ini tidak akan dapat saya luahkan dengan perkataan. Hanya melalui tulisan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Helimah atas segala contoh dan tauladan membolehkan saya berjaya. Saya juga mahu anak-anak saya membaca penulisan ini agar dapat mereka mengenali mereka yang menyumbang  kepada kejayaan ayahnya. Semoga Helimah dan keluarga berbahagia
….shidi.

1 comment:

  1. Shidi, bukan you sorang yo yang ngaku kalah ngan Limah dalam bab akademik ni..sumo ea kalah.. Dio soghang yo dapek grade satu dlm MCE 1974 tu.. Yang lain 2, 3 n 4. Apopun kito kigho handa tu..MSA

    ReplyDelete