GAMBAR EDISI TERBARU

GAMBAR EDISI TERBARU
Kekal bersama...selamanya.

Friday, January 28, 2011

CATATAN MALAM GALA SMBK PART 4

Oleh Mohd Sharif Ahmad.


Bertemu lagi rakan-rakan.

Pagi ini Sabtu 29 Jan, Siti Shara dan Normah Ali mengunjungi saya. kami bersarapan pagi bersama. Normah dalam perjalanan pulang ke Batu Kikir dan singgah sebentar. Biasalah kalau dah bersua tu..janji 15 minit jadi 30 minit dan akhirnya satu jam. Banyak yang kami kongsikan dan salah satu ialah untuk meneruskan penubuhan Koperasi SMBK Bhd.

Penubuhan Koperasi ini memerlukan sekurang-kurangnya 5o orang ahli sebagai pengasas. Banyak faedahnya jika kita menjadi ahli koperasi. Kita bersetuju supaya Dr Rashidi menjadi Pengerusi Penaja penubuhan Koperasi ini dan sekurang-kurangnya 10 orang AJK penaja.

Saya sepatutnya ke Pulau Pinang pagi ini tetapi ditangguhkan. Nampaknya hasrat untuk kena teh tarik bersama Wahab dan Zaharin  di Manjung tidak kesampaian. Kita hanya merancang, Allah yang menentukan. 

Saya sempat melihat blog SMBK, juga melihat komen di FB. Kita tertanya-tanya dua hari ini kemana hilangnya Jalil, rupanya sibuk dengan tugas di KK. Tentunya juga sibuk monobeh tu. Dia akan menulis dalam sedikit masa lagi.

Halimah teringin juga untuk menulis di blog kita, namun tidak tahu caranya. Saya telah memberikan sedikit panduan. Di sini saya ulangi panduan tersebut bagi sesiapa yang belum mahir. Setelah kita membuka laman blog kita ini cuba perhatikan perkataan "sign in" di sebelah atas kanan. Klik di situ dan kita dibawa keruang login. Masukan email kita iaitu smbkns@yahoo.com. Email ini milik kita bersama. Kemudian masukan password smbk1234 diruang berkenaan dan 'enter'

Kemudian klik "new post" kita akan dibawa keruang tajuk dan ruang tempat menulis. Mulakan menulis apa yang terlintas dan setelah berpuas hati klik pada butang "PUBLISH POST" di sebelah bawah kiri, selalunya berwarna kuning. Coretan kita akan siap dan boleh tengok. Untuk mengedit senang je klik pada butang "edit' di sebelah tajuk yang kita buat dan kita boleh pinda. Cubalah.

Saya mengharapkan agar lebih ramai yang menyumbangkan buah fikiran, kisah suka duka, kisah semalam, kisah silam, profil keluarga, pantun dll supaya blog kita nampak lively..ada bahan baru dari pelbagai sudut. Jika ramai yang berkongsi pengalaman di sini pastinya blog kita akan lebih meriah kelak. Jika asyik Pongorusi dan Tok Lombago yo yang nulih, lamo-lamo sok muak kengkawan.


Dr Rashidi sepatutnya rajin menulis dan dia banyak bahan untuk dikongsikan. Sekurang-kurangnya dia boleh memberikan motivasi kepada kita. Kemudian kita ada Tahir dan Siti Shara. Hawa pula boleh menulis dalam Bahasa Inggeris. Dia tak berapa ghoti nak nulih dalam BM tu, se tau tu.


Banyak peristiwa lama yang masih kental dalam ingatan kita yang jika di refresh semula pastinya akan lebih mengembalikan kita ke zaman lampau dan ini akan lebih mengeratkan persahabatan kita. Kisah macam mana kita sama-sama berpeluh menontun filem "The Dirty Dozen" lakonan James Courburn di dalam dewan smbk pastinya mengimbau kenangan. Ada orang dating masa tu, tapi saya tak ingat.


Ustaz Ayub Yassin dari Kolej Islam, ke SMBK, minta dirinya dipanggil cikgu, sesuatu yang janggal ketika itu. Dia memulakan trend baru. "Ramai ustaz yang terlibat dengan gejala tidak bermoral, saya tidak mahu terbabit.." Begitu dia memberikan alasan kenapa kita harus memanggil dia cikgu dan bukannya ustaz.


Perkara baru, ramai yang tersasul-sasul dan itu cukup menyinggungkan beliau. Yang paling kerap tersasul ialah Iskandar dan saya masih ingat bagaimana cikgu Ayub bermasam muka dengan Iskandar @ Tok Lombago. Akhirnya semua ustaz di Batu Kikir dipanggil cikgu dan hari ini saya kekal begitu dan agak kekok untuk memanggil Ustaz Nizar kerana telah terbiasa dengan cikgu Nizar.


Perintis Form V adalah kita dan tahun 1974 merupakan cabaran terbesar di mana MCE pertama kali diadakan. Entah berapa orang mendapat Grade 1, saya tak ingat, rasanya Halimah seorang sahaja. Saya sendiri amat terkejut kerana berjaya mendapat Grade 2. BM dan Sejarah menyelamatkan saya. Maths tentunya takat lulus sahaja, BI tak yah cakaplah..


Namun pencapaian sekolah kita tidaklah teruk sangat walaupun pertama kali MCE diadakan, dan Cikgu Md Zain boleh berbangga dengan kita.  Terima kasih guru-guru yang didikasi seperti Cikgu Sharif Omar yang jalan mengepak tu, Cikgu Sulaiman, Allahyarham Cikgu Mokhtar, Cikgu Ayub Yassin, Cikgu Ramlah, kemudian Cikgu Datuk Nor Azah Awin dan guru kelas yang istimewa iaitu Mr Ramu Naidu.


Ramai juga rakan-rakan yang mewakili SMBK dalam acara sukan ke peringkat Daerah seperti saya sendiri, Iskandar, Zainun, Salim dan tentunya sikecil molek kita Siti Normah. Halimah menjadi Head Girl semasa Form V bersama dengan YB Datuk Lillah Yassin sebagai Head Boy. Limah memang seorang pelajar yang amat baik, menjadi kesayangan guru-guru ketika itu. Lenggangnya masa di sekolah masih dapat saya bayangkan hingga ke hari ini.


Sekarang semuanya sudah berumur dan beberapa orang telah pergi meninggalkan kita. Antaranya Allahyarham Rusminah Baharuddin yang saya ada menaruh hati kepadanya sejak pertama kali bersua, namun sehingga kami ke Universiti bersama, hasrat itu tidak pernah dizahirkan. Tidak ada langsung keberanian untuk menyatakan rasa hati kepada beliau, namun kebahagian  secara sendirian tetap saya nikmati terutamanya pada setiap kali Hari Raya saya pasti ke rumahnya di Jemapoh tersebut. Hik..hik..hik. Alfatihah untuk Allahyarham.


Anak murid yang mengingati jasa guru, saya lihat ramai yang memberikan hadiah istimewa pada Malam Gala kita tempoh hari. Jalil, Siti Normah, Zainab dan Shidi antaranya yang menyampaikan cenderamata istimewa kepada guru-guru kita. Ustza Jajuli, Cikgu Zainal, Cikgu Nizar dan Tuan Pengetua Cikgu Md Zain, kelihatan terharu dengan penghormatan tersebut.


Dr Rashidi membawa beberapa buah buku untuk Cikgu Md Zain. Saya tidak boleh melihat buku, pasti teruja untuk memilikinya. Dalam hidup saya jika saya banyak wang saya hanya ingin melakukan 3 perkara iaitu, melancung ke serata dunia melihat kebesaran Allah, membeli buku-buku yang bermutu dan beramal ibadat. Itu saja yang ingin saya lakukan.


"Untuk den tak ado ko?" Saya bertanya Rashidi tanpa rasa malu, bila saya melihat buku-buku yang telah sedia diikat untuk Pengetua.. "Ado don't worry"  katanya.


"Jejak Kesejahteraan" begitu tajuk bukunya. Tahniah kepada beliau kerana berjaya menghasilkan buku tersebut. Saya menyimpan cita-cita untuk menulis buku sejak lebih 30 tahun lalu, namun hingga ke hari ini impian tersebut masih belum tercapai. Bila saja saya mengulangi hasrat tersebut isteri saya pasti akan menyindir saya dan berkata "Dah donga bondo tu dah sejak 30 tahun dulu.." kih,kih,kih.


Saya bukan seorang penulis, saya lebih kepada pembaca. Jika sehari tidak membaca, saya akan domam. Saya membaca apa sahaja yang saya terjumpa. Gaya penulisan Rashidi amat bersahaja, bahasa yang mudah dan tidak ada perkataan bombastik seperti selalu Tok Lombago sobut.


Jika kita ada anak, saudara mara yang belajar dan bertugas di UiTM, carilah buku "Jejak Kesejahteraan" tersebut dan bacalah. Bukan untuk berkempen kerana telah mendapat buku percuma, namun buku setebal 104 muka surat tersebut amat menarik dan sarat dengan panduan hidup. Saya telah membacanya beberapa kali dan akan terus membacanya.


Jika kita selalu runsing, bacalah buku itu, Jika kita selalu gembira bacalah buku itu. Jika kita tewas dalam emosi yang tidak menentu bacalah buku Shidi itu. Jika kita kaya, miskin, murung, lemah semangat, berjaya dalam hidup, bersemangat tinggi, kecewa, marah, nak ghobah, bingung dan alpa saya sarankan bacalah buku itu. Kita akan mendapat sesuatu darinya. Jika gagal mendapatkan naskah buku itu dimana-mana kedai buku, jangan segan telefonlah Rashidi.


Harganya saya tidak tahu, tidak tercatat di kulitnya, namun buku tersebut baru saja dicetak penghujung tahun 2010 yang lalu. Sekali lagi terima kasih saya kepada Shidi kerana kandungan bukumu sungguh bermakna buat saya.


Hampir saya terlupa, pagi tadi saya juga sempat mengunjungi Rashidi di rumah banglo besarnya di Ulu Bendul. Saya singgah sebentar cuma, dengan janji akan datang lagi untuk melihat kolam ikan di belakang rumahnya. Dia sangat bahagia dalam hidupnya kerana bagi beliau kebahagian berada di hati. Suasana yang damai dikelilingi oleh kehijauan hutan Ulu Bendul boleh dirasai di situ.


Rakan-rakan saya berhenti dulu , muga bertemu dilain posting, salam rindu dari saya.


Pengerusi.

No comments:

Post a Comment