GAMBAR EDISI TERBARU

GAMBAR EDISI TERBARU
Kekal bersama...selamanya.

Wednesday, January 26, 2011

CATATAN MALAM GALA SMBK

Oleh Mohd Sharif Ahmad

Salam kawan-kawan, muga sihat sejahtera.

Saya mungkin menulis beberapa kali mengenai Gala Nite SMBK ini, sekurang-kurangnya untuk kenangan saya dihari muka kelak.

Ada reunion seramai 5 orang, ada berpuluh orang dan ada beratus orang. Reunion berlaku di seluruh duinia oleh sesiapa sahaja dan oleh pelbagai kumpulan. Reunion bukan sahaja majlis untuk mengimbau kisah silam, tetapi lebih kepada untuk mengiratkan kembali siratulrahim setelah lama renggang. Dr Mahathir dan rakan-rakannya hanya berreunion dalam 6 orang. Dalam usia 86 tahun kebanyakan rakan beliau sudah tiada.

Kita masih bernasib baik kerana dalam usia setengah abad jumlah kita masih ramai. Mari kita gunakan sebaik mungkin sisa-sisa yang ada ini untuk menikmati apa sahaja peluang yang kita terlepas suatu ketika dahulu.

Reunion pertama ini sudah tentu memberi kesan yang mendalam kepada Halimah Ujang. Betapa sayunya hati bila mendengar selama ini seorang murid sepanjang hidupnya mengharapkan secebis senyuman dari seorang guru yang disayanginya. Akhirnya impian beliau tercapai apabila di Ilham Resort ini beberapa kali beliau menyaksikan Cikgu Md Zain tersenyum. Segerun manapun wajah kita, sehodoh manapun rupa kita, apabila kita tersenyum seri tetap terpancar ke wajah. Itulah anugerah Allah kepada setiap insan.

Idola pastinya menjadi ikutan..Rashidi mempunyai versinya yang tersaendiri, apabila suatu hari dia dipanggil ke bilik Pengertua dan amat terkejut apabila diberikan lencana Pengawas. Saat itu sesungguhnya telah merubah hidup beliau. Saat itu tranformasi mulai berputik dalam dirinya. Saat itu beliau mulai mengesan bakat yang ada dalam dirinya. Saat itu beliau tidak lagi asyik menyanyi lagu hindustan. Beliau berubah. hari ini beliau merupakan seorang profesor yang berwibawa.

Idola juga menjadin sumber inspirasi. Apa sahaja yang mampu dimiliki oleh idola, akan cuba digapai meskipun terpaksa berkorban. Mohd Sah Zainal menjadikan Cikgu Md Zain sebagai idolanya, hari ini walaupun beliau boleh menduduki pejabat yang berhampiran dengan rumah beliau, namun jejak idola menjadikan perjalanan 150km setiap hari begitu dekat baginya. Beliau berulang alik ke Jempol sebagai PPD Jempol, kerana cikgu Md Zain pernah bertugas sebagai PPD. 

Beberapa waktu yang lalu beliau mengidamkan jawatan Pengetua di KGV, semata-mata idolanya pernah memegang jawatan tersebut. Begitulah hebatnya pengaruh idola.

Saya, Iskandar, Salim, Ali, Rashid dan ramai lagi, pernah ditampar atau dirotan oleh Cikgu Md Zain. Peristiwa tersebut bukannya menjadikan kami memusuhi beliau, bukan menjadikan kami membenci beliau, sebaliknya kami semua sayang padanya. Hari penting dalam hidup saya iaitu Ahad 21 November 1981, kira2 30 tahun dahulu, saya bersanding sebagai raja sehari. Cikgu Md Zain dan isterinya satu-satunya cikgu saya yang hadir. Terima kasih cikgu. Saya tahu hari bersejarah Jalil juga dihadiri oleh beliau, namun pasti ada perbezaannya.

Terlanjur menyebut Jalil, saya mengucapkan tahniah kepada beliau kerana menjadi MC cemerlang pada malam tersebut. Beliau mempunyai bakat hebat hinggakan kita tidak merasa terdera walaupun terpaksa duduk sehingga jam 1.45 pagi. Ketahanan rakan-rakan amat mengkagumkan saya.

Selepas kita berpisah sekian lama, saya kira sayalah MC hebat dalam apa juga majlis. Rupa-rupanya Jalil sangat bersahaja dalam pengacaraannya. Patutlah pada pertama kali dia mengarahkan saya menyusun program beliau telah berkata "MC pada malam tu den..kau jangan nak memandai-mandai.." Ramai juga yang terharu apabila Pengetua kita juga sanggup mencemar duli sehingga ke akhir acara.

Anggaplah catatan saya ini sebagai memori untuk rakan-rakan kita. Jalil merupakan Ketua Kejurulatihan di MSN. Sentiasa sibuk dan seorang pemain GOLF yang hebat. Masanya banyak dihabiskan dalam hal-hal sukan dan kerap berkunjung ke luar negara. Jika ada kesempatan beliau seorang yang suka memenuhi jemputan dan pastinya tidak menghampakan.

Semasa saya sedang menikmati teh tarik berdua-duaan di lobi hotel dengan Dr Murad lewat senja itu, Dr Murad memberitahu saya bahawa dalam permainan GOLF sebelah paginya bersama Roslan dan Zamrus, penampilan Jalil amat mengkagumkan. 

Terus terang saya katakan, pertama kali melihat Dr Murad sedang berjalan dengan Zamrus, saya tidak mengenali beliau. Kematangan beliau amat terserlah. Suatu waktu saya mendapat sedikit maklumat tentang beliau yang membuka klinik persendirian di Kelana Jaya. Beberapa kali saya cuba mencari klinik yang bertulis Dr Murad, namun saya gagal. Malam Gala selepas 39 tahun kami bertemu dan dan kemesraan kami sama seperti tahun 1972 dahulu. Saya selalu ke Bkt Jelutong dan kami mungkin berkesempatan untuk sessi teh tarik lagi selepas ini.

Nampak muda, tenang, sihat dan bergaya. Tidak pernah terbayang oleh saya bahawa Zamrus akan menjadi seorang pemain GOLF hari ini. Beliau memberitahu saya bahawa beliau akan terus berkhidmat dengan Kementrian Pendidikan sehingga mencecah usia bersara 58 tahun. Kita doakan kejayaan terus mengiringi beliau. 

Ramai rakan-rakan kita masih dalam dunia pendidikan. Mail, Iskandar, Mohd Shah, Salim, Alias, Limah, Sharifah, Rashidi, Latifah, Nor Isah Adnan, Zainun dan Halim Gumpal adalah antaranya.

Kata-kata menarik dalam FB yang saya masih ingat ialah dari Siti Normah.."Saya pencen awal sobab daghi kocik sampai tuo tak ponah bopisah dgn sokolah.." Begitu katanya bukan kepada saya, tetapi kepada rakan-rakan sembang dalam FB yang sempat saya baca.

Sebentar tadi kira-kira jam saya 10.30 mlm saya bertanya kepada beliau sudah sampai ke di Surabaya? "sudah, ni di hotel ni" katanya. "Bang Rahim mana?" tanya saya. "Ado sobolah ni aa..ngendeng oghang nengok FB" katnya. "Tak sononoh boto Bang Rahim tu.." Kata saya.

Apapun mereka berdua kelihatan amat bahagia, amat sesuai, amat serasi, saling memahami dan yang paling penting mereka berduo samo-samo ghondah!!!!

Semasa Ct Normah mendendangkan lagu CEMBURU saya lari keluar, mata saya berpasir. Isteri saya faham sangat tu.."wah duo lagu you keluar malam ni.." kata isteri saya merujuk kepada lagu Cemburu dan Setulus Cinta Mu dendangan Rashid. Tadi saya sempat memberitahu CT bahawa jika ada kesempatan kelak saya akan berduet menyanyikan lagu Cemburu untuk rakan-rakan. Saya akan nyanyi walaupun suara saya tidak merdu macam suara Rashid dan Mohd Shah dan lari dari tempo, saya tak kisah.

Jutaan terima kasih kepada Siti atas semua sumbangan yang tidak terhingga pada malam kita ini. Semuga mengharungi percutian indah bersama suami tersayang di Surabaya dan semuga selamat kembali.

Saya harap saya tidak akan terlepas menulis sesuatu tentang Iskandar kelak. Saya, dia dan Nordin abang ipar Alias amat rapat ketika di SMBK. Nampak sahaja pendiam tu, jika sesekali dia berkata-kata...kita tidak dapat lagi menahan diri dari ketawa. Kisah lanjut mengenai Tok Lombago akan menyusul. 

Saya harus mencatatkan di sini bahawa keterujaan membuatkan Utz Jajuli tidak dapat menahan diri lalu mencipta sebuah puisi  dan memohon untuk membacakannya di hadapan kita. puisinya mengenai sejarah silam dia di SMBK. Ketika beliau terlupa nama jaga di sekolah kita, 3 tetamu kehormat kita di meja saya iaitu Cikgu Md Zain, Utz Nizar dan Cikgu Zainal secara spontan dan serentak menyebut "Pak Hamzah" Moralnya di sini ialah ketiga2 tetamu kita mempunyai daya ingatan yang kuat. Lagi moralnya ialah ketiga2 mereka mengikuti dengan khusyuk sajak yang dibacakan oleh Utz Jajuli.

Malam sudah larut benar, Utz Jajuli ada dua buah buku hasil karya beliau untuk dihadiahkan. Kerana tidak mahu membuang masa Jalil selaku MC menggunakan kuasa vetonya lalu memberikan buku itu kepada Puan Yusmah dan puan Rosenani. Jika ada yang lebih berhak menerimanya saya mohon maaf. Tahir boleh mencari karya Utz Jajuli ini di mana-mana kedai Buku Dewan Bahasa. Tajuk Buku ialah KALAM PERMATA oleh H.M. Jajuli. 

Bertemu Utz Jajuli di mana jua sebelum Malam Gala, pastilah saya tidak akan mengenalinya. Masih macho. sihat dan segak. Peristiwa yang saya ingat tentang beliau ialah apabila menerima cabaran dari seorang muridnya untuk berlawan tinju. Itulah kali pertama beliau memakai Glove dan penumbuk sulungnya telah merebahkan anak murid tersebut. Moralnya anak murid mana boleh lawan guru. Untuk kehadiran Utz Jajuli saya bagi pihak rakan-rakan mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Zainab dan suami yang telah membawa beliau ke Ilham. 

Terlalu sibuk dengan urusan perniagaan kateringnya dan baru saja pulang dari Bali, Zainab pada mulanya agak keletihan untuk menyertai kita semua. Namun setelah saya menghubungi beliau dan dengan sedikit pujukan, beliau terus Ghobah. Perkataan Ghobah ni akan sering saya sebut kerana hanya ini caranya saya boleh melayan Latifah dan Mariani. 

Zainab banyak berkorban untuk menjayakan majlis kita, bukan sahaja wang ringgit tetapi juga hadiah-hadiah yang banyak disumbangkannya. Saya dengar beliau dan suami menjadi PR Amerika. Saya dan isteri telah beberapa kali mengunjungi Restoren beliau di Bangi. Ikan bakarnya menyelerakan. Sepatutnya petang tadi saya sudah ke sana, namun Rashid mempunyai program bermain takraw pulak so kami menangguhkan hasrat tersebut.  

Saya tidak beberapa pandai dalam meringkaskan tulisan saya, sebab itu akhbar-akhbar yang menrima makalah dari saya sukar untuk menyiarkannya kerana memerlukan ruang yang luas. Cikgu Md Zain pernah memberitahu bahawa penasihat Majalah GIGIH sekolah kita dulu iaitu cikgu Sulaiman Kassim sering berjumpa dengan belaiu dan mengadu bahawa artikel yang saya tulis untuk GIGIH selalunya panjang...

Melalui sembang di FB saya kira antara rakan yang paling teruja untuk hadir reunion kita ialah Latifah A Rahman. Beliau mendapat sokongan penuh dari suaminya seorang pegawai polis yang menjaga satu daerah iaitu Ketua Polis Batu Pahat. Dalam kesibukan memantau keselamatan dalam PRK Tenang suami beliau sanggup juga menghadirkan diri. Terima kasih Tuan Ibrahim.

Walaupun sekampung seperti juga dengan Badariah Jamaluddin, saya dan Latifah jarang bertemu. Urusan dan kepentingan yang tidak sama anatara kami selalunya menjauhkan kami. Saya terkejut kerana anak Latifah agak ramai iaitu lapan orang. Anak saya tidak ramai cuma 5 orang, namun isteri saya sangat faham, jika ada keluar berita di akhbar tentang orang mempunyai anak ramai sehingga 12, 14 dan 16 orang saya pasti mengunting dan menyimpan artikel tersebut.

Bagi saya keluarga yang mempunyai anak ramai amat istimewa dan saya mengkaguminya. Latifah membayar untuk reunion ini jumlah yang agak besar. Terima kasih yang tidak terhingga  kepada Latifah atas semua sumbangan terutamanya hamper. Budimu tidak terbalas.

Sedikit kekesalan ialah saya hanya berpeluang berbual dengan beliau sekadar dua tiga patah perkataan sahaja. Selaku Pengerusi penganjur saya sepatutnya lebih adil kepada semua. Saya mohon maaf kepada Latifah.

Catatan ini sudah panjang, saya tamatkan di sini dulu dan pastinya saya akan menyambungnya kemudian dengan mencatatkan kisah rakan-rakan yang lain. Harapan saya agar saya tidak tertinggal walau satu namapun. 

Sebenarnya sambil menulis ini saya membuka dua tab, satu untuk saya menulis dan satu lagi untuk mendengar lagu..tentunya lagu Cemburu!!!! Jumpa lagi. 

Pengerusi Malam Gala.    

No comments:

Post a Comment