GAMBAR EDISI TERBARU

GAMBAR EDISI TERBARU
Kekal bersama...selamanya.

Sunday, January 30, 2011

KENANGAN LALU 1

KENANGAN LALU BERSAMA CIKGU HAJI ZAIN RAIS

Di sekolah saya bukanlah siapa. Saya menganggap diri saya sederhana sahaja malah adakalanya lemah. Bila saya masuk sekolah menengah Batu Kikir, dua kategori (meminjam kata-kata Pirdaus) menjadikan saya lagi merendah diri. Apa tidaknya, kawan sekelas bertaraf abang dan kakak sebab mereka tua setahun lebih dari saya. Semasa Tingkatan Satu dan Dua, saya berasa diri saya sederhana juga dan adakalanya lemah. Bila masuk Tingkatan Tiga, berlakulah titik hitam dalam hidup. Saya terpelanting ke kelas 3C. Peristiwa ini bagai membenarkan bahawa saya sememangnya lemah dan tidak layak berada dengan kumpulan sahabat di kelas A. Saya terpisah dengan sahabat akrab. Tahir, Murad, Firdaus, Zamrus, Asnani, Rusminah (Allahyarhamah) Siti Hawa, Siti Shara, Latifah, Razali, Md. Shah, Sharif Wahab dan beberapa yang lain kekal di kelas A. Teruk saya menjadi mangsa jenaka Arwah Kamaruddin Abdullah. Saya diketawakan kerana dimasukkan ke kelas C. Tahun itu LCE dan saya berada di kelas C. Di rumah, faham sajalah bagaimana saya dimarah. Rupanya terdapat kesilapan pada susunan nama pelajar dan saya ditempatkan ke kelas 3B. Di sini saya mengenali akrab dengan Hasnan, Hasnah Bujang, Zakaria Kalam, Majid Kasbi dan Zainon (kini bertugas di JPJ Kuala Pilah).

Selepas lulus LCE (Gred A Aggregate ?...malu nak cakap) masuk ke kelas Form 4. Tak ramai yang tinggal sebab ramai yang bertukar sekolah. Ada yang masuk aliran Sains di TMS Kuala Pilah dan SDM Bahau, ada yang ke Asrama Penuh dan sebagainya. Form 4 ini adalah kelas perintis sebab inilah kali pertama SMBK mengadakan kelas aliran Inggeris Form 4 ini. Yang saya ingat yang kekal di SMBK ialah Halimah, Md Shah, Sharif, Salim, Nordin, Iskandar, Alias, Azimah, Zainun Mustafa dan Siti Normah dan beberapa orang yang lain.

Kemasukkan saya ke kelas 3B semasa Form 3 menjadikan saya merasa rendah dan lemah dari yang lain. Saya masih menganggap diri saya lemah, tidak sehebat kawan yang lain seperti Jalil, Md. Shah, Sharif, Iskandar serta kumpulan dari kelas From 3A lalu. Saya berkenalan dengan Rashid Yahya yang sama-sama meminati muzik. Dia jadi kawan akrab dan banyak mengajar saya bermain gitar. Warna kehidupan menjadi indah kerana pengalaman muzik bersama Rashid.

Saya masih ingat tidak lama berada di Form 4, perlantikan pengawas dilakukan di dataran perhimpunan. Pemilihan pengawas dibuat oleh guru badan pengawas dan saya masih ingat Allahyarham Cikgu Yunus Ali yang berkuasa memilih. Saya tidak terpilih. Saya tahu dan saya tidak layak, maka tidak pernah terlintas untuk menjadi seorang pengawas. Norhashim, Sufian, Zaharin menjadi sahabat akrab sebab mereka bersama saya dari kelas Form 3B.

Satu hari, selepas rihat, Cikgu Md Zain, Pengetua ketika itu, tiba-tiba muncul dipintu depan kelas. Memandang dengan wajahnya yang serius. Semua pelajar terdiam. Kenapa dia marah? Rasanya kelas tidaklah bising sangat? Tiba-tiba dia menunjuk tepat kepada saya. ‘Jumpa saya di pejabat’ katanya sambil mengarahkan dua rakan pelajar yang lain.

Hilang rasanya diri ketika itu. Langkah-langkah ke pejabatnya bagaikan berjalan atas angin, tidak terasa kerana terlalu takut. ‘Apa salah saya?’ ‘Siapa yang mengadu dan buat cerita?’ ‘Aduh! Habislah, ni mesti kena ni!’ Mulut terasa kekeringan, meneguk air liur yang tiada.  Saya terbayang akan kena pelempang, sebuah bayangan yang menakutkan sebab pernah melihat sendiri pelajar yang dihukum demikian. Itulah yang ada dalam benak kepala ketika melangkah ke pejabatnya.

Terketar-ketar mengetuk dan menolak pintu pejabatnya bersama dua sahabat yang lain. Cikgu Md Zain sudah duduk dikerusinya, memandang serius dan menyuruh berdiri tegak dihadapannya. Dia berdiri dan mencapai lencana Pengawas yang berada di atas mejanya dan memberikan setiap satu kepada kami dan diikuti dengan pemberian tali leher (berwarna biru bercorak batik).

‘Saya tahu awak boleh memimpin. Hari ini saya lantik awak jadi pemimpin pelajar.’ Itulah kata-kata yang dilafazkan oleh Cikgu Md. Zain. ‘Jalankan tugas dan jaga disiplin,’ sambungnya lagi.

Saya tak tahu apa nak kata. Rasa takut pastinya hilang datang pula rasa tak keruan. ‘Ya Allah, apa sebenarnya yang sedang berlaku ni? Sedikitpun saya tak percaya, dalam diam dan rendah diri saya ada seorang insan yang memerhati, menilai saya dan mengenali saya.

Saya dilantik secara peribadi bukan melalui saluran yang ditetapkan. Saya mendapat kepercayaan Cikgu Md Zain sendiri. Lahir satu tekad dan semangat yang kuat untuk menjaga nama dan kepercayaan itu.

Dari saat itu segalanya berubah. Dari ‘no one’ saya jadi ‘someone’ dan harus memikul tugas dan tanggung jawab. Kini saya tahu saya memiliki sesuatu. Saya ada kelebihan dan bukan pelajar biasa lagi. Kalau tidak kerana sesuatu yang saya miliki itu, takkan Cikgu Md. Zain memilih saya sebagai pemimpin pelajar.

Form 4. Itulah tahun perubahan bagi diri saya. Saya menemui semula keyakinan diri. Saya ada tanggung jawab. Sebagai pengawas harus berdisiplin, ada kelebihan dan yang paling penting mesti pandai dalam pelajaran. Sebagai pemimpin pelajar juga mesti cemerlang dalam segala lapangan. Segalanya perlu berubah.

Cikgu Md Zain terus membuatkan saya mengesan kelebihan diri saya. Dia juga yang mengenali bakat seni saya. Banyak lukisan saya tergantung kerananya antaranya di Pesta Pembangunan di Rembau, Jelebu dan di bangunan MPS Seremban.

Apabila keputusan MCE diumumkan, 11 orang berjaya cemerlang. Seorang pelajar dapat Gred 1, Halimah, dan 10 yang lain Gred 2. Saya salah seorang daripadanya. Dengan kelulusan itu serta keyakinan diri yang tinggi saya melangkah masuk ITM (kini UiTM) dalam bidang Seni Lukis dan terus tanpa memandang kelemahan diri lagi sampailah hari ini. Di ITM saya bergerak aktif sebagai pemimpin pelajar dan menjawat JPP (hari ini MPP), jawatan yang dilatik melalui pilihanraya kolej, selama dua penggal. Kesedaran untuk mencapai kecemerlangan akademik juga terus kekal bersemangat hinggalah dianugerahkan gelaran Dr.

Semuanya bermula di SMBK. Berputik dari seorang guru. Cikgu Haji Mohd Zain bin Rais. Terima kasih cikgu…..

‘Thank you for guiding us to our vision and sharing so much of you wisdom’

Yang merendah diri
Rashidi…
(menulis bersama linangan airmata)

6 comments:

  1. Terima kasih Shidi kerana turut mengembalikan kenangan silam yang indah ini.. Harap rakan-rakan lain mula menulis dalam blog kita. MSA.

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah..indahnya nukilan rasa dari Prof, seronok I baca,Cikgu Md Zin mesti amat berbesar hati dgn segala usaha , visi dan kebijaksanaannya telah membuahkan hasil yg lumayan, mmg sewajarnyalah beliau d beri penghormatan pd mlm itu dan selama2nya.

    ReplyDelete
  3. Doc,
    Bermula dari SMBK sehingga berjaya ke hari ini..saya juga turut terkenang semasa saya diSMBK sehinggalah hari ini...banyak benua yang sudah saya tempuh,mencari ilmu dan sehingga hari ini masih mencari dengan kerjaya saya sebagai researcher...Dr A Zuhaidi Yahya...Juasseh..

    ReplyDelete
  4. Terima kasih LAR dan Dr. A Zuhaidi. Saya bersyukur kerana masih sempat menyatakan terima kasih saya. Dua perkara yang memeranjatkan saya selepas menulis blog itu ialah pertama, Hasnan menelefon saya. Kami berbual panjang. Ini terjadi hanya kerana saya mention nama dia dalam artikel saya. Kedua, tak sangka HZR turut membaca artikel tersebut dan menghantar SMS untuk saya. Terperanjat dan terharu dengan penghargaannya. Saya bersyukur sebab sempat menyatakan perasaan saya. sekali lagi, Terima kasih. ...shidi...

    ReplyDelete
  5. Maso reunion banyak member cito ponah kono lompang kek Hj Zain. Nak au tak ese lak tak ponah kono jontek kek orang tuo tu. Ini menunjukan :
    1. Ese budak baik maso sekolah dulu.
    2. Ese tak popular .
    3. Ese tak pandai sukan - mcm kaki bangku la.
    4. Ese tak ado girl friend - sobab soda diri maso tu tak handsome.
    TAK CAYO? TANYO RASHID YAHAYA.

    CHANG CAPIT.

    ReplyDelete
  6. Se pun takdo kono polompang ee.Tapi takut ee lokek sampai ari ni.

    ReplyDelete